| ZON TERUSAN PANAMA | Zon Terusan Panama ialah sejalur tanah di sepanjang Segenting Panama yang ditadbirkan oleh Amerika Syarikat dari tahun 1903 hingga tahun 1979. Terusan Panama, iaitu jalan air yang menghubungkan Lautan Atlantik dengan Lautan Pasifik, merentas bahagian tengah zon ini. | UMUM | |
| PANAMA CITY | Panama City (pend. 389 172 ) ialah ibu negara dan bandar terbesar Panama, sebuah negara di Amerika Tengah. Ia terletak di hujung Terusan Panama, di pesisir Lautan Pasifik. | UMUM | |
| TERUSAN PANAMA | Terusan Panama ialah jalan air yang dibina merentas Segenting Panama dan menghubungkan Lautan Atlantik dengan Lautan Pasifik. Terusan ini adalah salah satu kejayaan kejuruteraan yang paling besar di dunia. Setelah siap dibina pada tahun 1914, terusan itu memendekkan perjalanan kapal di antara New York City dengan San Francisco hingga menjadi tidak sampai 8370 kilometer. Sebelumnya, kapal yang membuat perjalanan ini terpaksa belayar mengelilingi Amerika Selatan – suatu jarak yang melebihi 20 900 kilometer. | UMUM | |
| PANAMA | Panama ialah sebuah negara kecil di Amerika Tengah. Negara ini penting kepada seluruh dunia sebagai pusat pengangkutan. Negara ini meliputi Segenting Panama, iaitu sejaluran sempit tanah yang memisahkan Lautan Atlantik dengan Lautan Pasifik berdekatan dengan bahagian tengah Hemisfera Barat. Segenting itu direntas oleh Terusan Panama bagi menghubungkan kedua-dua lautan tersebut. Beribu-ribu buah kapal menggunakan terusan ini setiap tahun untuk pergi dari sebuah lautan ke lautan yang lain. Dengan berbuat begitu, kapal-kapal ini dapat mengelakkan pelayaran yang jauh mengelilingi hujung selatan benua Amerika Selatan. Oleh yang demikian, Panama memainkan peranan yang utama dalam sistem pengangkutan dunia. Kadang-kadang negara ini juga dikenali sebagai Persimpangan Jalan Dunia disebabkan peranannya itu semenjak tahun 1914. | UMUM | |
| SUNGAI CHAGRES | Sungai Chagres ialah sumber air yang utama bagi Terusan Panama. Sungai ini bermula dari pergunungan di sebelah timur Panama, mengalir ke barat daya, dan mengalir masuk ke Tasik Gatun – sebahagian daripada laluan di Terusan Panama. Lihat juga Terusan Panama (Tasik Gatun). | UMUM | |
| NORIEGA, MANUEL ANTONIO | Noriega, Manuel Antonio (1934– ) ialah ketua tentera yang berkuasa di Panama dari tahun 1983 hingga tahun 1989. Pada bulan Disember 1989, Presiden Amerika Syarikat, George Bush telah mengarahkan tenteranya ke Panama. Menurut Bush, tenteranya dihantar atas tindak balas pembunuhan leftenan tentera marin Amerika Syarikat oleh tentera Panama , dan hukuman atas perdagangan dadah oleh Noriega. Pada Januari 1990, Noriega menyerah diri kepada pegawai Amerika Syarikat dan dibawa ke Amerika Syarikat untuk perbicaraan. | UMUM | |
| PERJANJIAN HAY-PAUNCEFOTE | Perjanjian Hay-Pauncefote membolehkan Amerika Syarikat membina Terusan Panama. Ia telah ditandatangani oleh Amerika Syarikat dan Great Britain pada tahun 1901. Perjanjian tersebut memberi kuasa hanya kepada Amerika Syarikat untuk membina atau mengawasi kerja-kerja pembinaan terusan yang merentangi segenting di Amerika Tengah dan juga hak untuk menguruskannya. Semua negara dikenakan bayaran laluan yang adil dan sama dan menikmati hak yang sama rata sewaktu aman. Pada masa peperangan, Amerika Syarikat boleh menutup terusan itu kepada mana-mana negara. Great Britain mengakui bahawa Amerika Syarikat juga mempunyai kuasa untuk mengukuh dan mempertahankan terusan tersebut. | UMUM | |
| MORGAN, SIR HENRY | Morgan, Sir Henry (1635?–1688) ialah bajak laut (lanun) Inggeris yang terkenal. Pada zamannya, England dan Sepanyol berseteru dalam perdagangan dan perebutan tanah jajahan. Morgan menyerang kapal Sepanyol dan bandar-bandar dalam tanah jajahan Sepanyol di Hindia Barat, Amerika Tengah, dan Amerika Selatan. Pada tahun 1671, dialah yang menyebabkan kemusnahan Panama City, Panama, iaitu bandar Sepanyol yang terbesar di Amerika Tengah. | UMUM | |
| SEGENTING | Segenting ialah jalur tanah sempit yang menghubungkan tanah besar. Sesetengah segenting menghubungkan dua benua. Segenting Panama menghubungkan Amerika Utara dengan Amerika Selatan. Segenting yang lain pula menghubungkan benua dengan semenanjung. Segenting Kra terletak di antara Thailand (Siam) di Asia dengan Semenanjung Tanah Melayu (Malaysia). | UMUM | |
| MERBUK MERATAP | Merbuk meratap ialah burung di Amerika yang mengeluarkan bunyi koo yang sedih. Ia membiak dari selatan Kanada hingga ke Mexico, dan berhijrah ke selatan sejauh Panama pada musim sejuk. Burung ini lebih kurang 30 sentimeter panjangnya. Ia berwarna perang kekelabuan, dan sedikit warna samar di dadanya. Tepi ekornya berwarna putih dan berbintik-bintik hitam. Burung ini terbang laju. | UMUM | |