PAPUA NEW GUINEA | Papua New Guinea ialah negara merdeka yang terletak di Lautan Pasifik, di sebelah utara Australia. Negara ini asalnya ialah sebahagian daripada kawasan Papua Australia dan New Guinea. Ia membentuk kerajaan sendiri pada tahun 1973 dan mencapai kemerdekaan pada tahun 1975. Kawasannya terdiri daripada separuh bahagian Timur New Guinea, pulau kedua terbesar di dunia. Separuh bahagian di barat pulau itu ialah Irian Jaya, wilayah Indonesia. | UMUM | |
PORT MORESBY | Port Moresby (pend. 152 100) ialah pusat pentadbiran Papua New Guinea. Ia juga adalah bandar dan pelabuhan yang terbesar di Papua New Guinea. Port Moresby terletak di tenggara pantai Papua. Ia juga dikelilingi oleh batu karang yang cantik. Untuk lokasi, lihat Papua New Guinea (peta politik). | UMUM | |
MOTUAN | Motuan ialah satu kumpulan yang terdiri daripada kira-kira 10 000 orang yang tinggal di Port Moresby, Papua New Guinea dan kawasan-kawasan yang berhampiran dengannya. Mereka berbangsa Melanesia dan agak baru di Papua New Guinea. Anggota kumpulan ini mula-mula tiba di sini kira-kira 5000 tahun yang lalu. Orang Papua yang tinggal berhampiran sudah menetap di situ sejak dahulu lagi. Bahasa Motuan ada kaitannya dengan bahasa pertuturan di New Hebrides dan Fiji. Wanita Motuan mahir membuat barangan tembikar dan sejak berabad lamanya, kaum lelakinya memperdagangkan barangan tembikar tersebut dengan orang yang tinggal di sepanjang Teluk Papua untuk mendapatkan sagu. Ekspedisi perdagangan yang biasa dan dikenali sebagai hiri membawa barangan tembikar ini dalam lakatois (sampan). | UMUM | |
NEW IRELAND | New Ireland ialah pulau kedua terbesar di Kepulauan Bismarck. Pulau ini meliputi kawasan seluas 8651 kilometer persegi di barat daya Lautan Pasifik (lihat Papua New Guinea [peta]). Pulau ini mempunyai 79 000 orang penduduk. Ia merupakan sebahagian daripada negara Papua New Guinea. New Ireland merupakan pulau gunung berapi yang panjangnya kira-kira 370 kilometer. Di bahagian tengahnya terletak Pergunungan Schleinitz, yang mempunyai ketinggian antara 610 meter hingga 1200 meter. | UMUM | |
PULAU MANUS | Pulau Manus merupakan pulau terbesar dalam kelompok Admiralti Papua New Guinea. Keluasannya ialah 1890 kilometer persegi. Pulau ini bergunung-ganang dan berhutan tebal. Hanya sebahagian kecil kawasan di sepanjang pantai dan di bahagian hujung timur yang boleh digunakan untuk pertanian. Terdapat lebih kurang 20 000 penduduk tinggal di Pulau Manus dan pulau-pulau di sekelilingnya. Kebanyakan penduduk pulau ini ialah orang Melanesia yang merupakan nelayan yang mahir dan berdagang dengan penduduk yang tinggal di pulau-pulau berdekatan. Hasil tanaman penduduk pulau ini ialah taro, keladi, nanas, pisang, dan sagu. | UMUM | |
RABAUL | Rabaul (pend. 14 937) yang terletak di New Britain merupakan pelabuhan yang paling sibuk di Papua New Guinea. Rabaul mengendalikan lebih banyak kopra dan koko daripada pelabuhan lain di negara itu. | UMUM | |
NEW BRITAIN | New Britain, pulau terbesar antara lebih daripada 300 buah pulau di Kepulauan Bismarck, membentuk sebahagian negara Papua New Guinea . New Britain terletak di luar pesisir di timur laut New Guinea. Pulau ini meliputi kawasan seluas 36 500 kilometer persegi. | UMUM | |
MEKEOS | Mekeos ialah orang Austronesia yang tinggal di pedalaman bahagian tengah Sungai Angabunga, lebih kurang 150 kilometer di barat laut Port Moresby, di Papua New Guinea. | UMUM | |
KUKUKUKUS | Kukukukus ialah kaum yang mendiami kawasan pergunungan berceranggah New Guinea, yang terletak di antara Teluk Huon dan Teluk Papua. | UMUM | |
SUKAN PASIFIK SELATAN | Sukan Pasifik Selatan dibuka kepada peserta dari semua negara dan kawasan kepulauan di Pasifik Selatan kecuali Australia dan New Zealand. Kebanyakan atlet dari kepulauan utama di kawasan Pasifik Selatan mengambil bahagian lebih daripada 12 acara sukan di temasya ini. Sukan Pasifik Selatan pertama kali diadakan di Fiji pada tahun 1965. Sukan seterusnya diadakan di New Caledonia pada tahun 1967, Papua New Guinea pada tahun 1969, Polinesia Perancis pada tahun 1971, Guam pada tahun 1975, Fiji pada tahun 1979, Samoa Barat pada tahun 1983, New Caledonia pada tahun 1987, Papua New Guinea pada tahun 1991, Guam pada tahun 1999 dan Fiji pada tahun 2003. | UMUM | |