ASIMOV, ISAAC | Asimov, Isaac (1920–1992), pengarang Amerika. Dia mengarang kira-kira 400 buah buku untuk pembaca muda dan pembaca dewasa, kebanyakannya bukan fiksyen yang menitik- beratkan sains dan teknologi. Tetapi dia paling terkenal kerana fiksyen sainsnya. | UMUM | |
KESUSASTERAAN UNTUK KANAK-KANAK | Kesusasteraan untuk kanak-kanak terbahagi kepada dua jenis: kesusasteraan yang ditulis khas untuk pembaca muda – dari peringkat prasekolah sehinggalah ke peringkat remaja – dan kesusasteraan yang pembaca muda telah gunakan untuk diri mereka sendiri. Lebih daripada 100 000 jenis buku yang berlainan diterbitkan pada setiap tahun untuk kanak-kanak, iaitu pembaca berbahasa Inggeris sahaja, dari buku bergambar, puisi, dan cerita rakyat sehinggalah novel dan buku pengetahuan. United Kingdom dan Amerika Syarikat telah mempunyai pengaruh yang besar terhadap buku kanak-kanak di seluruh dunia, tetapi hampir kesemua negara mempunyai tradisi mereka sendiri yang mungkin jadi jauh berbeza tradisinya. Di India dan Afrika, sebagai contoh, kanak-kanak berkongsi cerita lisan dengan orang dewasa. Hanya apabila negara itu telah dijajah oleh orang Eropah, maka barulah cerita ditulis dan dibahagikan kepada cerita untuk kanak-kanak dan cerita untuk orang dewasa. | UMUM | |
SUSIY, ABU SHU’AYB AL- | Susiy, Abu Shu’ayb al- (173–261 H./790–874 M.), pembaca al-Qur’an yang boleh meneliti jenis-jenis bacaan yang lain. | UMUM | Umum |
STEINBECK, JOHN | Steinbeck, John (1902–1968) ialah pengarang Amerika yang menerima Hadiah Nobel tahun 1962 bagi kesusasteraan. Fiksyen Steinbeck yang paling terkenal membawa pembaca menyelami perit jerih perjuangan hidup orang miskin. Novelnya yang paling terkenal, The Grapes of Wrath (1939) memenangi Hadiah Pulitzer 1940. Novel itu mengisahkan tentang sebuah keluarga petani miskin, iaitu keluarga Joads dari Oklahoma, yang berhijrah ke California untuk mencari kehidupan yang lebih baik ketika Zaman Kemelesetan pada tahun 1930-an. Steinbeck berjaya menggambarkan dengan berkesan bagaimana perit jerih perjuangan sebuah keluarga mencerminkan kesengsaraan hidup rakyat di seluruh negara. Melalui inspirasi Jim Casy, seorang pengurus tenaga buruh, keluarga Joads mengetahui bahawa orang miskin perlu bekerjasama untuk hidup. | UMUM | |
AUTOBIOGRAFI | Autobiografi adalah satu jenis penulisan biografi. Dalam autobiografi penulis menceritakan riwayat hidup dirinya sendiri. Autobiografi menceritakan keadaan hidup peribadi orang yang menarik kepada pembaca. Ia juga memberikan maklumat oleh pemerhati sebenar tentang peristiwa sejarah atau cerita oleh orang yang membantu mencipta sesuatu peristiwa. Sesetengah orang menggunakan autobiografi untuk menerangkan atau mewajarkan tindakan dalam hidup mereka. Sesetengah autobiografi diilhamkan oleh perasaan nostalgia yang berkaitan dengan zaman silam penulis. Yang lainnya pula ditulis oleh orang masyhur yang berasa bahawa mereka boleh memperoleh wang dari minat orang ramai yang ingin tahu tentang kehidupan mereka. | UMUM | |
PERPUSTAKAAN NEGARA MALAYSIA (PNM) | Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) ialah perpustakaan awam induk yang menyimpan pelbagai khazanah ilmu dalam pelbagai bentuk dan menyediakan perkhidmatan kepada pengguna, pembaca dan penyelidik. Ia merupakan sebuah Jabatan Kerajaan Persekutuan yang berperanan merancang dan membangunkan prasarana perpustakaan di seluruh negara. | UMUM | |
TANDA SERU | Tanda seru ialah tanda baca yang ditunjukkan sebagai ! di hujung ayat. Tanda seru menunjukkan perasaan berhubung dengan apa yang ditulis. Ia menjadi tanda isyarat kepada pembaca bahawa sesuatu ayat mengungkapkan perasaan yang mendalam. Tetapi biasanya ia adalah pengganti yang lemah bagi teknik penulisan yang sepatutnya digunakan oleh penulis yang baik untuk menyatakan emosi yang kuat. | UMUM | |
NOVEL GOTHIK | Novel Gothik ialah jenis fiksyen yang popular di England pada akhir tahun 1700-an dan awal tahun 1800-an. Plot novel Gothik termasuk peristiwa misteri dan luar biasa yang bertujuan untuk mengejutkan atau menggerunkan pembaca. Ceritanya disebut Gothik kerana kebanyakan cerita berlaku di istana yang suram dan kelam yang dibina mengikut seni bina Gothik pada Zaman Pertengahan. | UMUM | |
SWINBURNE, ALGERNON CHARLES | Swinburne, Algernon Charles (1837–1909) ialah penyair Inggeris yang penting. Dia mengejutkan England pada Zaman Victoria dengan kesukaannya berfoya-foya dan keyakinan agama dan politiknya yang tidak ortodoks. Puisi-puisinya yang penuh keghairahan memeranjatkan banyak pembaca. Kini kehidupan dan puisi Swinburne tidak lagi begitu luar biasa dan memeranjatkan seperti sebelum itu. Walau bagaimanapun, kemahiran teknikal puisinya yang luar biasa masih mengekalkan kehebatannya dengan mengejutkan. | UMUM | |
ADDISON, JOSEPH | Addison, Joseph (1672–1719), penulis dan ahli politik Inggeris. Dia paling terkenal kerana gandingannya dengan Sir Richard Steele, menulis dan menerbitkan The Spectator, yang mengandungi satu siri 555 esei popular yang diterbitkan pada tahun 1711 dan pada tahun 1712. Esei ini bertujuan memperbaik moral dan tatatertib, mempertingkat tahap kebudayaan pembaca daripada golongan kelas menengah, dan memperkenalkan idea sains dan falsafah yang penting. Kebanyakan esei ini mengandungi huraian mengenai perilaku dalam masyarakat, percintaan dan perkahwinan, dan sastera. | UMUM | |