Avogadro, Amedeo (1776–1856), ahli fizik Itali. Pada tahun 1811, dia mencadangkan hipotesisnya yang terkenal, kini dikenali sebagai hukum Avogadro. Hukum itu menyatakan semua gas yang berada pada suhu dan tekanan yang sama mempunyai isi padu yang sama dan mengandungi jumlah molekul yang sama. Hukum ini menolong mengatasi kelemahan yang terdapat di dalam teori atom John Dalton (lihat Dalton, John ). Avogadro juga membuat perbezaan antara atom dengan molekul, dan dapat membuat jadual yang tepat untuk berat atom (lihat Atom [berat atom ]). Pembetulan dan piawaian ke atas berat atom bermula pada tahun 1858 apabila Stanislao Cannizzaro, seorang ahli kimia Itali, mengingatkan ahli kimia lain tentang kerja Avogadro. Avogadro dilahirkan di Turin. Dia diberi gelaran Conte di Quaregna. Lihat juga Kimia (Perkembangan kimia fizikal). |