PUMPUN | Pumpun ialah sejenis cacing laut kecil yang berbadan lembut. Peminat yang memancing di laut dalam sering menggunakan cacing ini sebagai umpan. Pumpun hidup di sepanjang pinggir laut Atlantik Eropah, Amerika Utara, dan sekitar Laut Mediterranean . | UMUM | |
PERSATUAN LINGUISTIK MALAYSIA (PLM) | Persatuan Linguistik Malaysia (PLM), pertubuhan bahasa. Pertubuhan ini memperjuangkan bahasa melalui kegiatan bahasa dan mengeratkan perhubungan antara pengkaji dengan peminat bahasa. Antara kegiatan yang dijalankan oleh PLM ialah Hadiah Bahasa, Forum Remaja, Syarahan Raja Ali Haji, seminar, bengkel, ceramah, kursus bahasa dan penerbitan buku dan jurnal linguistik. | UMUM | |
POUND, EZRA LOOMIS | Pound, Ezra Loomis (1885–1972) ialah penyair dan pengkritik Amerika Syarikat. Dia merupakan salah seorang daripada tokoh kesusasteraan yang paling berpengaruh dan kontroversi pada zamannya. Peminat Pound menganggap Cantos, iaitu karyanya, sebagai puisi panjang yang paling penting dalam kesusasteraan moden, manakala pengkritiknya pula menganggap Cantos sebagai karya yang mengelirukan dan penuh dengan niat jahat. | UMUM | |
BOLA SEPAK AMERIKA | Bola sepak Amerika ialah sejenis sukan berpasukan yang menarik yang dimainkan terutamanya di Amerika Syarikat dan Kanada. Sukan ini dimainkan oleh pelajar di sekolah rendah, sekolah menengah, kolej dan pasukan profesional. Berjuta-juta orang membanjiri stadium pada setiap musim perlawanan untuk melihat pasukan pilihan mereka beraksi. Berjuta-juta lagi peminat menonton perlawanan antara pasukan-pasukan kolej dan pasukan yang bermain dalam dua liga profesional yang utama, iaitu Liga Bola Sepak Kebangsaan (National Football League – NFL) Amerika Syarikat dan Liga Bola Sepak Kanada (Canadian Football League – CFL) di televisyen. Di Amerika Syarikat, bola sepak ini dimainkan oleh dua pasukan yang setiap satunya mempunyai 11 orang pemain. Di Kanada, setiap pasukan mempunyai 12 orang pemain. Setiap pasukan mendapatkan mata dengan membuat larian dan hantaran play (manuver) untuk membawa sebiji bola yang lonjong melintasi garisan gol lawan. Larian atau hantaran seperti ini menghasilkan “touchdown”. Semasa permainan berlangsung, kawalan bola berpindah tangan antara dua pasukan tersebut. Pasukan yang memiliki bola ialah pasukan penyerang. Pasukan yang satu lagi ialah pasukan pertahanan. Pasukan pertahanan akan cuba menghalang pasukan penyerang daripada memungut mata. | UMUM | |
KONGRES BAHASA DAN PERSURATAN MELAYU | KONGRES BAHASA DAN PERSURATAN MELAYU, perhimpunan penulis, peminat sastera, pencinta bahasa dan budaya serta para cendekiawan Melayu yang mewakili badan bahasa dan persuratan Melayu dari seluruh negara. Kongres ini telah diadakan sebanyak empat kali, iaitu tiga kali sebelum Malaysia mencapai kemerdekaan dan kali terakhir pada penghujung tahun 1984. | BAHASA | Bahasa |
PARTON, DOLLY REBECCA | Parton, Dolly Rebecca (1946– ), penyanyi serta penulis muzik country dan muzik pop Amerika, menjadi penghibur terkenal pada tahun 1970-an. Suara Dolly yang terang lagi mendayu- dayu, penampilannya yang menggemparkan dengan rambut perang dan bakat pentasnya, menarik banyak peminat. | UMUM | |
PERSATUAN LINGUISTIK MALAYSIA | PERSATUAN LINGUISTIK MALAYSIA, persatuan bahasa. Persatuan ini ditubuhkan pada 26 Julai 1977 khusus untuk berjuang dalam bindang kebahasaan melalui kegiatan dan aktiviti persatuan dan mengeratkan perhubungan antara pengkaji dan peminat bahasa. Persatuan ini juga dikenal sebagai PLM. | BAHASA | Persatuan |
PERSATUAN PENULIS PULAU PINANG | PERSATUAN PENULIS PULAU PINANG, persatuan penulis. Persatuan ini dikenal sebagai 2PNP. Persatuan ini ditubuhkan pada 18 Julai 1977 di Pejabat Akhbar Bintang Timur di Jalan Penang, Pulau Pinang. Sebelum 2PNP ditubuhkan, 20 orang pengarang dan peminat sastera Pulau Pinang telah mengadakan pertemuan. Hasil daripada pertemuan tersebut, mereka bersetuju menubuhkan Persatuan Penulis Negeri Pulau Pinang dengan Ahmad Abd. Hamid telah dilantik sebagai ketua Satu dan Zainal A. sebagai Setiausaha Satu. | SASTERA | Persatuan |
SISTEM PENYIARAN MALAYSIA | SISTEM PENYIARAN MALAYSIA, sistem penyebaran maklumat di Malaysia. Sistem penyiaran di Malaysia mengambil kira faktor politik, ekonomi, sosial dan teknologi telekomunikasi dan penyiaran. Sejarah menunjukkan bahawa bidang penyiaran di Malaysia bermula dengan radio wayarles yang diterokai dan dipengaruhi British pada dekad 1920-an. Bermula sebagai hobi di kalangan peminat radio amatur British dan sekumpulan rakyat tempatan, akhirnya menjadi suatu industri yang berkembang pesat selari dengan kehendak pasaran serta evolusi teknologi komunikasi mutakhir. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Institusi/Organisasi |
GAPIM | GAPIM, persatuan penulis Islam. GAPIM ialah singkatan gabungan penulis Islam Malaysia. Persatuan ini ditubuhkan pada 30 Mei 1976 di Dewan Syarifah Radziah, Kampung Batu, Kuala Lumpur. Pengasas persatuan ini ialah sekumpulan penulis dan peminat sastera Islam yang sebahagian besarnya terdiri daripada aktivis belia dan pelajar daripada Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Persatuan Kebangsaan pelajar-Pelajar Islam Malaysia (PKPIM). Antara pengasas dan pendukung utama GAPIM termasuklah Osman Abu Bakar, Kamaludin M/ Zain, Ibrahim Ali, Surhadi Dasuki, Amaludin Darus, Baharuddin Latif, Ahmad Azam, Suhor Hussein, Anas K. Hadimaja, Nakhaie Haji Ahmad dan Abdul rahman Rukaini. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Institusi/Organisasi |