MURDOCH, RUPERT | Murdoch, Rupert (1931– ), penerbit kelahiran Australia yang memiliki banyak syarikat akhbar dan majalah di Australia, United Kingdom, Amerika Syarikat dan negara-negara lain. Penerbitannya berbagai-bagai, daripada The Times di London, iaitu akhbar harian British yang amat berpengaruh, hinggalah kepada New York Post, iaitu akhbar mingguan yang sensasi di Amerika Syarikat. Dia juga memiliki sepenuhnya atau sebahagian daripadanya studio filem dan beberapa stesen televisyen dan syarikat penerbitan buku. Dia juga terkenal kerana berjaya memulihkan syarikat yang menghadapi masalah kewangan sehingga berjaya mendapat keuntungan. | UMUM | |
BINTANG BARAT | BINTANG BARAT, akhbar yang diterbitkan oleh Ogilvie & Co, di Betawi, Jawa, pada tahun 1869. Pada peringkat awal penerbitannya, Bintang Barat merupakan akhbar mingguan, kemudian diterbitkan dua kali seminggu dan seterusnya diterbitkan secara harian pada tahun 1886. Antara editor yang terlibat termasuklah J. Keiffer, Oeij Tjai Hin dan E.F. Winggers. Bintang Barat memuatkan berita dan rencana. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Kitab |
MURRAY, SIR JAMES | Murray, Sir James (1837–1915), ahli filologi Scotland (pengkaji bahasa). Dia menjadi editor– Oxford English Dictionary selama 35 tahun. Sebagai ahli leksikografi (penulis kamus), Murray terkenal dengan penggunaan perkataan yang tepat dan pengetahuan yang luas. Walaupun kamus itu belum siap ketika dia meninggal dunia, Murray memberi sumbangan yang paling penting bagi penerbitannya. James Augustus Henry Murray lahir di Denholm, di kawasan sempadan Scotland. Dia bertugas sebagai guru di pekan berdekatan, iaitu Hawick, kemudian menjadi kerani bank dan guru di London. Dia belajar linguistik (kajian tentang bahasa) secara sendiri. Dia menjadi ahli Persatuan Teks Inggeris Awal dan Persatuan Filologi London. Dia menjadi editor Oxford English Dictionary pada tahun 1879. Dia dianugerahi pingat kesateria pada tahun 1908 yang membawa gelaran Sir. | UMUM | |
DEWAN SASTERA | DEWAN SASTERA, majalah bulanan sastera yang pertama diterbitkan di Malaysia, bertujuan membina dan mengembangkan sastera Malaysia. Majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur ini buat pertama kalinya diterbitkan pada 15 Januari 1971. Mulai keluaran Jun 1986, penerbitannya ditukar daripada pertengahan bulan kepada setiap awal bulan. Sesuai dengan sifatnya sebagai majalah yang khusus membicarakan tentang kesusasteraan, maka slogan yang digunakan ialah ‘Peneroka Sastera Kreatif’. | SASTERA | Institusi/Organisasi |
KAMUS MODEREN BAHASA INDONESIA | KAMUS MODEREN BAHASA INDONESIA, kamus ekabahasa: Indonesia-Indonesia, disusun oleh Sutan Mohammad Zain, Guru Besar Universitas Nasional di Jakarta, dan diterbitkan oleh Penerbit Grafica Jakarta tanpa menyebut tarikh penerbitannya. Kamus ini mempunyai 896 halaman dan berukuran 20.5 cm x 14.5 cm. Isi kandungannya padat, bahasanya ringkas tetapi jelas. | BAHASA | Penerbitan |
PEDOMAN EJAAN UTUSAN MELAYU | PEDOMAN EJAAN UTUSAN MELAYU, sistem ejaan Jawi yang digunakan oleh Utusan Melayu. Utusan Melayu adalah satu-satunya akhbar harian Melayu yang bertulisan Jawi yang masih berterusan penerbitannya hingga ke hari ini. Akhbar ini diterbitkan pada 29 Mei 1939 di Singapura. | BAHASA | Bahasa |
BERITA MALAI | BERITA MALAI, akhbar harian bertulisan Rumi yang diterbitkan semasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu. Akhbar ini ditertibkan di Singapura (Syonan-To) pada 1 Januari 1943 oleh Malal Shimbun Sha (Syarikat Persuratkhabaran Melayu). Penerbitannya adalah sebagai satu usaha untuk menyatukan beberapa buah akhbar yang masih erbit pada masa itu, seperti Utusan Melayu dan Warta Malaya supaya menjadi sebuah akhbar yang diletakkan di bawah pengawasan pihak Jepun. | SASTERA | Kitab |
BREYTENBACH, BREYTEN | Breytenbach, Breyten (1939– ) adalah salah seorang penyair moden Afrika Selatan yang utama. Antara karyanya ialah Yk, satu jilid puisi yang memenangi banyak anugerah selepas penerbitannya pada tahun 1983. | UMUM | |
TENGGARA | TENGGARA, judul dwibahasa. Tenggara mulai diterbitkan pada tahun 1967 oleh Universiti Malaya dengan kekerapan sekali setahun. Mulai tahun 1968, ia diterbitkan dua kali setahun. Pada tahun 1979, Tenggara dikendalikan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dan mulai tahun 1989, penerbitannya diambil alih oleh Yayasan Penataran Ilmu. Tujuan utama jurnal ini adalah untuk menghasilkan karya-karya kreatif yang asli dalam bahasa yang luas digunakan di Malaysia dan Singapura. Sungguhpun begitu rencana dalam bidang lain seperti kebudayaan, kesenian, bahasa dan kesusasteraan tradisional turut diterbitkan. Karya yang bukan dalam bahasa Inggeris diterbitkan dalam terjemahan Inggeris sementara karya tentang sastera Melayu diterbitkan dalam bentuk asal. | SASTERA | Penerbitan |
WARTA KINTA | WARTA KINTA, akhbar yang terbit di Ipoh, Perak. Akhbar setebal 24 halaman ini mula diterbitkan oleh Persama Press, Pulau Pinang pada 24 Disember 1937. Akhbar ini diterbitkan secara mingguan pada setiap Jumaat, hingga 10 Mei 1938. Setelah 17 keluaran, penerbitannya terhenti. Mulai terbitan 25 September 1939 hingga bulan Disember 1941, akhbar ini diterbitkan semula sebagai akhbar harian. Pengarang dan penerbitnya ialah Raja Mansor bin Raja Abdul Kadir, seorang novelis prolifik sebelum Perang Dunia Kedua, dengan bantuan Haji Yang Hamzah. Selepas keluaran 8 Mei 1940, pengurusan Warta Kinta diambil alih oleh Abd. Rahman bin Abd. Rahim dengan bantuan Ahmad Noor bin Abdul Shukoor. | SASTERA | Karya |