SYARIKAT | Syarikat ialah perusahaan perniagaan tempat manusia bekerja bersama-sama untuk tujuan pengilangan, pembelian, atau tempat penjualan barangan, atau tempat penyediaan perkhidmatan. Hampir di kesemua negara, ada akta syarikat, undang-undang yang mengawal syarikat untuk memastikannya menjalankan perniagaan dengan cara yang betul. Umumnya, akta syarikat mendorong manusia yang mahu memulakan syarikat membuat permohonan formal. Jika permohonan diterima, syarikat akan didaftarkan di pejabat kerajaan. | UMUM | |
PUSAT PENYELIDIKAN KURMA | Pusat Penyelidikan Kurma ditubuhkan pada tahun 1402 H./1982 M. di Ahsa’ Arab Saudi. Ia bertujuan untuk mengkaji, mempelajari, menyelesaikan masalah dan memberi tunjuk ajar. Pusat ini juga menjalankan kajian secara praktikal bagi menyelesaikan segala masalah yang berkaitan dengan penanaman, pengeluaran dan pengilangan kurma. Pejabat pentadbiran penyelidikan ini terletak di pusat latihan dan kajian pertanian dan perladangan sejauh 15 kilometer melalui jalan Hufuf-Qatar. | UMUM | |
AVIGNON | Avignon (pend. 89 132; pend. kaw. met. 175 000) ialah pusat pertanian dan bandar bersejarah di Tenggara Perancis. Ia terletak di tebing Sungai Rhone, di salah sebuah kawasan pertanian paling kaya di Perancis. Untuk lokasi, lihat Perancis. Avignon ialah pusat perdagangan untuk wain, buah- buahan, sayur-sayuran, dan keluaran lain yang dihasilkan di kawasan ini. Aktiviti ekonomi lain termasuk perkapalan, memproses makanan dan pengilangan bahan kimia, kulit, alatan mesin, sabun dan tekstil. Pesta teater yang besar biasanya diadakan di sini pada musim panas. Bandar raya ini merupakan ibu negara Vaucluse department (daerah pentadbiran). | UMUM | |
ARKWRIGHT, SIR RICHARD | Arkwright, Sir Richard (1732–1792) ialah pereka cipta dan pengilang British. Pada tahun 1769, dia telah mendapatkan paten untuk sebuah mesin pemintal benang yang dinamakan kerangka air kerana alat tersebut dijalankan oleh kuasa air. Mesin itu dipusingkan oleh beberapa set penggelek yang bergerak pada kelajuan yang berlainan untuk menarik kapas daripada mesin penyisir dan meluruskan seratnya. Kemudian, kapas itu diputar oleh gelendong supaya menjadi benang. Bagaimanapun, benang yang dihasilkan oleh kerangka air adalah keras, liat dan kasar. Arkwright dan dua pekilang lain mula membina kilang kapas yang menggabungkan pelbagai proses pengilangan yang terdiri daripada penyisir, penarik, peracik dan pemintal supaya menjadi satu proses sahaja. Dia dikatakan bekerja 16 jam sehari dan belajar pada waktu malam untuk menyambung semula alam persekolahannya yang tercicir. | UMUM | |
TEPUNG JAGUNG | Tepung jagung ialah tepung halus putih yang dibuat dengan mengisar dan menapis butir jagung. Ia dibuat daripada jagung yang telah dibuang bahagian yang mengeluarkan biji benih yang dinamakan germa . Jagung dikisar dalam proses yang dikenali sebagai kisaran basah. Selepas dibuang protein jagung, tepung jagung yang tertinggal dikeringkan dalam ketuhar. Oleh kerana hanya 10 peratus lembapan yang masih ada dalam tepung jagung selepas dikeringkan, tepung jagung biasanya dicampurkan dengan makanan lain untuk melindunginya daripada lembapan. Pembuat menggunakan tepung jagung dalam keluaran berbakar, serbuk penaik, gula-gula dan kuah salad. Tukang masak menggunakannya untuk memekatkan kuah dan puding. Pembuat juga menggunakan tepung jagung dalam bahan letupan, cat, dan tekstil. Lihat juga Jagung (Industri pengilangan basah). | UMUM | |