Nabi Yusuf a.s. Nama penuh baginda ialah Yusuf  ibn Ya‘kub ibn Ishaq ibn Ibrahim a.s. Baginda  merupakan salah seorang daripada nabi-nabi Allah  SWT. Nabi Ya‘kub a.s. mempunyai 12 orang anak  lelaki. Nabi Yusuf a.s. merupakan seorang anak yang  kacak rupa parasnya, dan menyebabkan baginda  lebih disayangi oleh Nabi Ya‘kub. Ini telah  menyebabkan saudara-saudara baginda yang lain  berasa cemburu dan memberi kesusahan kepada  baginda. Namun begitu, kesusahan itu telah menjadi  satu kebaikan dan keberkatan kepada baginda,  negeri Mesir dan umat manusia di persekitarannya.  Pada suatu hari, ketika Nabi Yusuf masih kecil,  sebagaimana yang diceritakan dalam al-Qur'an   al-Karim, Nabi Yusuf a.s. bermimpi melihat 11 bintang,  matahari dan bulan sujud kepada baginda. Lalu,  baginda pergi menemui bapanya Nabi Ya‘kub a.s.  untuk menceritakan mimpinya itu. Nabi Ya‘kub a.s.  meminta anaknya supaya tidak menceritakan mimpi  tersebut kepada saudara-saudaranya yang lain  kerana bimbang mereka akan memperdayakannya.  Saudara-saudara baginda yang lain sememangnya  amat cemburu dengan kasih sayang yang  berlebihan yang diberikan oleh bapa mereka  kepada Nabi Yusuf. Oleh itu, mereka merancang  untuk melakukan kejahatan terhadap baginda.  Mereka sentiasa menunggu peluang untuk  melakukan sesuatu yang akan menghilangkan kasih  sayang bapa mereka kepada Nabi Yusuf a.s.  |