SALUKI | Saluki, juga dinamakan anjing perburuan gazel , dipercayai sebagai anjing baka jati yang tertua di dunia. Anjing ini dibiakkan di Timur Tengah lebih kurang pada tahun 5000 S.M. Satu daripada anjing yang terpantas, saluki pernah digandingkan dengan burung lang untuk memburu gazel. Mangsa diterkam oleh lang dan saluki menekan mangsa sehingga pemburu sampai. Saluki mempunyai bulu licin, halus dengan jumbai bulu yang panjang di telinga, kaki dan pahanya. Tingginya 58 sentimeter hingga 70 sentimeter pada paras bahu dan beratnya dari 13 kilogram hingga 30 kilogram. Lihat juga Anjing (gambar: Anjing perburuan). | UMUM | |
ARTEMIS | Artemis ialah dewi kelahiran dan perburuan dan kadang-kadang disamakan dengan dewi bulan Selene dalam mitologi Yunani. Dewi Rom, Diana sangat menyerupai Artemis. Artemis ialah puteri Zeus, raja segala dewa, dan dewi Leto. Dewa Yunani Apollo ialah saudara kembar Artemis. | UMUM | |
ANJING FOXHOUND | Anjing foxhound ialah anjing perburuan yang bersaiz sederhana. Kumpulan anjing pemburu ini memburu musang dengan cara menghidu baunya di atas tanah untuk mengesannya. | UMUM | |
ANJING BEAGLE | Anjing Beagle ialah anjing perburuan Inggeris yang paling kecil. Anjing beagle mempunyai deria bau yang kuat dan kadangkala digunakan untuk memburu arnab. Kebanyakan anjing Beagle adalah peka dan mudah mesra. | UMUM | |
ANJING PENGUTIP HASIL BURUAN | Anjing pengutip hasil buruan ialah anjing perburuan yang dilatih khas untuk mendapatkan semula (mencari dan membawa balik) haiwan buruan yang telah ditembak. | UMUM | |
SEMENANJUNG KAMCHATKA | Semenanjung Kamchatka menganjur ke arah selatan dari timur Siberia, Rusia, di antara Laut Bering dengan Laut Okhotsk. Untuk lokasi, lihat Rusia (peta muka bumi). Luas semenanjung ini kirakira 350 000 kilometer persegi dengan penduduk kira-kira 422 000 orang. Di sepanjang semenanjung ini terdapat banjaran gunung berapi. Semenanjung ini dilitupi oleh hutan tebal. Perikanan dan perburuan merupakan industri utamanya. Kawasan ini membekalkan kulit beruang, sabel, musang, memerang, otter, dan singa laut. Anak sungainya mengandungi banyak ikan salmon. Di pantai baratnya terdapat beberapa kawasan penangkapan ketam yang utama. | UMUM | |
SENAPANG PATAH | Senapang patah ialah senapang bahu yang melepaskan kartrij yang mengandungi serbuk peledak dan muatan peluru-peluru logam kecil, yang dikenali sebagai syot. Syot tersebut akan tersebar di kawasan yang luas. Ia lebih mudah untuk mengenai sasaran yang bergerak berbanding dengan peluru tunggal daripada senapang atau pistol. Pada asasnya senapang patah ialah senapang perburuan. Peluru penabur senapang patah dikenali sebagai syot kecil. Peluru yang lebih besar yang dikenali sebagai syot besar, digunakan untuk menembak haiwan seperti rusa. | UMUM | |
AIREDALE TERRIER | Airedale Terrier ialah baka anjing terrier yang besar. Beratnya 23 kilogram hingga 27 kilogram apabila dewasa. Badannya berbulu keras berwarna hitam atau putih di belakangnya dan warna perang di bahagian badannya yang lain. Anjing ini dinamakan sempena nama Lembah Aire di utara England. Baka ini telah dibiakkan di England kira-kira pada tahun 1880-an. Satu daripada leluhurnya ialah anjing perburuan memerang. Airedale ialah anjing yang berani, yang terkenal sebagai anjing pengawal, dan penyayang terhadap pemiliknya. Ia juga pandai berenang. | UMUM | |
DATO' BAHAMAN | DATO’ BAHAMAN (1838- ?), orang besar Pahang yang menyebelahi Wan Ahmad dalam rebutan kuasa di Pahang pada abad ke-19. Bahaman anak kepada Tuanku Imam Noh dengan Rokiah binti Tuk Setia Perkasa Semantan Abdul Rahman. Tuanku Imam Noh dipercayai berasal dari Kampar, Sumatera. Ketika kecil, Bahaman diserahkan kepada Bendahara Pahang, Wan Ali dan dia berkawan dengan Wan Ahmad, putera Bendahara Wan Ali. Bahaman mahir dalam bidang perburuan, bermain gasing, berlaga buah keras dan bermain sepak raga. Bahaman bersama-sama Wan Ahmad menjual ikan dan garam kepada penduduk di Hulu Pahang. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Tokoh |