NEHRU | Nehru ialah nama keluarga empat generasi pemimpin India. Mereka ialah Motilal Nehru, dan tiga perdana menteri: anak lelaki Motilal, Jawarharlal Nehru; cucu perempuannya, Indira Gandhi; dan cicitnya, Rajiv Gandhi. Lihat Gandhi, Indira; Gandhi, Rajiv. Anak perempuan Motilal, iaitu Vijayalakshmi Pandit ialah presiden wanita pertama di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Lihat Pandit, Vijayalakshmi. | UMUM | |
PLAUTUS | Plautus (254?–184 S.M.) ialah penulis komedi Rom yang penting. Dramanya merupakan versi Komedi Baru Yunani yang menekankan pemuda yang mencintai hamba perempuannya, kekeliruan identiti, orang gaji yang licik, dan tuan yang terpedaya. Plautus menggabungkan unsur komedi Itali dengan jenakanya yang riang gembira. Teknik pembinaan plot yang bijak dan perwatakan, tidak membimbangkannya kerana dia hanya menghasilkan komedi yang penuh gelak ketawa. Dia pakar dalam dialog, menulis tentang kehidupan yang penuh kata-kata, ungkapan cinta, dan penganiayaan. | UMUM | |
ADAT PERKAHWINAN SULU | ADAT PERKAHWINAN SULU, adat perkahwinan yang diamalkan oleh masyarakat Sulu di Filipina. Orang Sulu berkahwin pada usia yang amat muda, anak lelaki berumur 15 atau 16 tahun dan anak perempuannya lebih muda. | BUDAYA | Konsep |
NILAND, D'ARCY | Niland, D’arcy (1917–1967), pengarang Australia, menulis lima buah novel dan lebih daripada 500 buah cerpen. Niland merupakan penulis yang popular dan bukan novelis sastera. Tetapi pengkritik mengiktirafnya kerana kepakarannya dalam membina karyanya. Novelnya yang paling popular ialah The Shiralee (1955). Novel ini memaparkan dengan mendalam tentang seorang lelaki yang mengembara di daerah pedalaman dengan anak perempuannya yang berumur empat tahun. Karyanya yang lain termasuklah The Big Smoke (1959) dan Ballad of the Fat Bushranger (1961). D’arcy Francis Niland lahir di Glen Innes, New South Wales. | UMUM | |
TITAN | Titan ialah dewa-dewa pertama dalam mitologi Yunani. Kebanyakan mereka, dilambangkan dalam bentuk manusia, mewakili fenomena semula jadi seperti bumi, langit dan matahari. Sebelum itu, mengikut mitologi yang sama, alam semesta ini hanyalah satu kekosongan yang dipanggil “Chaos”. Titan yang pertama ialah Dewi Gaea, iaitu bumi. Dewi ini terbit daripada Chaos dan melahirkan Dewa Uranus, iaitu langit. Gaea kemudian berkahwin dengan Uranus. Gaea dan Uranus mempunyai banyak anak. Yang bongsu dan yang paling penting ialah Dewa Cronus, yang berkahwin dengan adik perempuannya, Dewi Rhea. Cronus menggulingkan Uranus dan menjadi raja segala dewa. | UMUM | |
PSYCHE | Psyche ialah seorang puteri dalam mitos purba. Dia begitu cantik sehingga orang berpaling memujanya, dan bukannya Venus, dewi cinta. Venus menjadi marah, lalu menghantar anak lelakinya, Cupid (Cinta) untuk menghukumnya. Walau bagaimanapun, Cupid jatuh cinta kepada Psyche dan melarikannya ke istana dunia pari- parinya yang diperbuat daripada emas dan batu permata. Cupid mengunjungi Psyche hanya pada malam hari sahaja dan memberitahunya bahawa sekiranya dia melihat Cupid dalam cahaya, dia terpaksa meninggalkan Psyche untuk selama- lamanya. Tetapi Psyche, selalu digesa oleh saudara- saudara perempuannya yang zalim, pada suatu malam menyalakan lampu untuk melihat Cupid semasa dia sedang tidur. Cupid terjaga dan meninggalkan Psyche. | UMUM | |
SA'ID IBN AL-MUSAYYAB (13–94 H. / 635–713 M. | Sa’id ibn al-Musayyab (13–94 H. / 635–713 M.), ketua ahli fiqh, ketua para tabi’in dan periwayat hadith. Nama penuhnya ialah Sa‘id ibn al-Musayyab ibn Hazn ibn Abi Wahab al-Makhzumi al-Qurashi. Bapa dan datuknya adalah dua orang sahabat nabi yang memeluk Islam pada hari pembukaan kota Makkah. Sa‘id mendengar hadith daripada ‘Umar ketika dia berkhutbah. Dia juga mendengar hadith daripada ‘Uthman ibn ‘Affan, ‘Ali ibn Abi Talib, Zaid ibn Thabit, ‘Aisyah, Sa‘ad ibn Abi Waqqas, Abu Hurairah (suami kepada anak perempuannya dan orang yang paling mengetahui tentang hadithnya) dan lain-lain lagi dari kalangan sahabat. | UMUM | |
‘ABD AL-RAHMAN AL-DAKHIL | ‘Abd al-Rahman al-Dakhil (113 H.-172 H./731M.- 788M.) terkenal dengan gelaran saor quraysh; dan dikenali pula dengan al-Dakhil kerana kemasukannya ke Andalus dan seterusnya mengasaskan Kerajaan Umayyah di sana. Nama penuhnya ialah ‘Abd al-Rahman ibn Mu’awiyah ibn Hisham ibn ‘Abd al-Malik ibn Marwan. Dia lahir di Damsyik dan membesar dalam keadaan yatim. Dia telah berjaya melepaskan diri daripada ancaman golongan Abbasiyyah sewaktu mereka merampas kuasa Kerajaan Umayyah di Syam. Kebanyakan orang Umawiyyah telah dibunuh. ‘Abd al-Rahman bersembunyi dan berjaya menyusup keluar hinggalah dia tiba di Maghribi. Di sana, dia bertemu pula dengan hambanya Badar dan mendapat biaya sara hidup daripada saudara perempuannya Ummu al-Isba. Dia menumpang di rumah bapa saudaranya daripada Kabilah Tafzawah yang berbangsa Tartar. Ibunya berasal dari suku kaum ini. Di sini dia telah menghubungi golongan Umawiyyah di Andalus dengan menghantar Badar sebagai utusannya. Lantas dikirimkan satu pasukan yang terdiri daripada para pembesar Umawiyyah dan mereka memberi sumpah setia kepada ‘Abd al- Rahman. | UMUM | |