| PADA SEBUAH KAPAL | PADA SEBUAH KAPAL, novel karya Nh. Dini. Novel ini diterbitkan oleh Pustaka Jaya di Jakarta pada tahun 1973. Pada Sebuah Kapal merupakan karya semi-autobiografi. Banyak peristiwa yang terjadi dalam kehidupan Nh. Dini, seperti perkahwinannya dengan seorang diplomat Perancis dan ketidaksesuaian pasangan suami isteri dipaparkan dalam novel ini. Para pengkritik pula menganggap novel ini sebagai karya yang bermutu. | SASTERA | Penerbitan |
| SEMENDA | SEMENDA, pertalian untuk seorang lelaki yang mengahwini seorang wanita yang masuk menjadi ahli baharu dalam keluarga wanita tersebut. Istilah ini digunakan dalam sistem kekeluargaan adat perpatih. Mengikut adat perpatih, orang semenda ialah orang yang datang daripada satu suku dan dia mengahwini seorang wanita daripada suku yang lain. Mengikut adat, sistem perkahwinannya ialah eksogami, iaitu kahwin di luar suku. Bagi seseorang yang tanpa suku, dia semestinya dikadimkan kepada suku yang berlainan daripada suku bakal isterinya. | BUDAYA | Adat |
| LONG YUNUS | LONG YUNUS ( ? -1795), Sultan Kelantan (m.m. 1763-1795) keturunan Dato’ Pangkalan Tua, Patani. Tarikh dan tempat lahirnya tidak diketahui. Pada kurun ke-17, dua orang anak Dato’ Pangkalan Tua, Tuan Sulong dan Tuan Besar datang ke Kelantan. Tuan Sulong berkahwin dengan Che Biru, anak Penghulu Kampung Laut; manakala Tuan Besar berkahwin dengan Raja Pah, anak Sultan Omar. Tuan Sulong membina kediaman di Kota Kubang Labu, Tuan Besar pula tinggal di Jembal. Hasil perkahwinannya, Tuan Sulong mendapat Long Muhammad dan Long Pandak. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Tokoh |