| TEOLOGI | Teologi ialah kajian dan keterangan mengenai Tuhan ataupun pernyataan mengenai kepercayaan agama. Perkataan Inggeris theology berasal daripada perkataan Yunani theos (tuhan) dan logos (percakapan). Teologi mendalami persoalan seperti: “Adakah Tuhan wujud? Bagaimanakah sifat Tuhan? Apakah hubungan Tuhan dengan dunia dan penghuninya? dan Bagaimana manusia mengenali atau mengalami kewujudan Tuhan?” Sesetengah cabang teologi mengamati sejarah agama atau kajian kitab-kitab. Manakala cabang teologi yang lain pula mengamati pembelaan doktrin agama daripada pandangan yang bertentangan ataupun penerapan doktrin tersebut dalam kehidupan seharian. | UMUM | |
| SAMALINDANG | SAMALINDANG, tarian suku kaum Brunei yang menetap di Sabah. Nama tarian ini diambil daripada dua perkataan iaitu ‘samar’ dan ‘rindang’. Perkataan ‘samar’ bermaksud kurang jelas, kabur dan tersembunyi. Manakala ‘rindang’ pula membawa maksud rindu. Dengan itu wujudlah perkataan samalindang iaitu rindu yang terpendam atau rindu secara sembunyi-sembunyi. Perkataan samalindang sebenarnya wujud daripada perkara samarlindang. | BUDAYA | Drama/Filem/Teater/Persembahan |
| BIDAYUH | BIDAYUH, Suku kaum peribumi di Sarawak, juga dikenal sebagai Dayak Darat. Perkataan ‘bidayuh’ bererti ‘orang di pedalaman’. Istilah itu merujuk semua penduduk peribumi Sarawak termasuk orang Iban atau Dayak Laut kecuali orang Melayu dan suku kaum lain yang tinggal di kawasan pesisir negeri tersebut. Inggeris telah menggunakan istilah ‘bidayuh’ yang merujuk orang Dayak yang tinggal di pedalaman, manakala orang Dayak yang tinggal di pedalaman, manakala orang Dayak yang tinggal di muara sungai dipanggil ‘Iban’. | BUDAYA | Bangsa/Suku/Kaum |
| NUTRIA | Nutria, juga dikenali sebagai coypu , ialah rodensia besar yang tinggal dalam air segar atau berhampiran dengannya. Nutria berasal dari selatan Amerika Selatan, tetapi telah diperkenalkan ke negara-negara lain untuk diternak bagi bulunya. Bulunya dikenali sebagai “nutria”, iaitu perkataan Sepanyol bagi memerang. Bulu nutria digunakan untuk membuat kot dan sarung tangan, manakala dagingnya digunakan untuk membuat makanan haiwan kesayangan. | UMUM | |
| JURUSELAM | JURUSELAM, ketua dan pakar dalam sesebuah unit penangkapan ikan di laut secara berkelompok. Di pantai barat, dan bagi sesetengah bot besar yang menggunakan pukat jerut dan pukat tunda di pantai timur, perkataan ‘taikong’ digunakan sebagai ganti pada panggilan ‘juruselam’. Ini bermakna perkataan ‘juruselam’ umumnya digunakan untuk unit penangkapan ikan yang menggunakan alatan tradisi, manakala ‘taikong’ sebagai seorang ketua adalah untuk unit penangkapan ikan yang menggunakan alat moden. | BUDAYA | Tokoh |
| ADAT PERKAHWINAN TEMIAR | ADAT PERKAHWINAN TEMIAR, adat perkahwinan yang diamalkan oleh masyarakat Temiar di Semenanjung Malaysia. Masyarakat Temiar tidak mempunyai istilah khusus untuk merujuk kepada perkahwinan kecuali perkataan ‘seklog’ yang bermaksud tidur atau tidur bersama. Masyarakat Temiar tidak membenarkan perkahwinan antara ahli keluarga dan saudara sedarah. Perkahwinan antara ahli keluarga yang rapat seperti sepupu juga tidak digalakkan. Secara umumnya masyarakat Temiar mengutamakan perkahwinan monogami, tetapi poligami khususnya poligini masih diterima oleh masyarakat ini. Perkahwinan secara endogami juga banyak berlaku berbanding dengan eksogami. Dari segi umur, orang lelaki biasanya berumur 16 tahun manakala orang perempuan lebih muda daripada itu. Selepas berkahwin, pasangan suami isteri biasanya akan membentuk keluarga asas sendiri. | BUDAYA | Konsep |
| WALI SONGO | WALI SONGO, sembilan orang wali penyebar agama Islam di Pulau Jawa dari abad ke-14 hingga abad ke-16, sebelum dan sesudah jatuhnya kerajaan Majapahit. Perkataan wali dalam bahasa Arab bererti ‘orang suci atau kudus dan dekat dengan Tuhan’. Manakala songo dalam bahasa Jawa bererti ‘sembilan’. Jadi wali songo bererti ‘wali sembilan’. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Konsep |
| SEMAI | SEMAI, suku kaum Orang Asli yang terdapat di Perak, Pahang dan Selangor. Istilah Semai berasal daripada perkataan bahasa orang Temiar iaitu “seman’ yang bermaksud orang di bukit selatan. Terdapat dua kelompok orang Semai iaitu Semai Barat dan Semai Timur. Di barat, majoriti orang Semai mendiami rumah-rumah yang berasingan berasaskan konsep keluarga nuklear. Manakala di timur, orang Semai masih tinggal di rumah-rumah panjang dan mempunyai keluarga besar. | BUDAYA | Bangsa/Suku/Kaum |
| GANGGA NEGARA | GANGGA NEGARA, kerajaan Melayu kuno di Perak. Kewujudan kerajaan tersebut tercatat dalam sumber Yunani purba, India, China dan Arab-Parsi tetapi sehingga kini amat sedikit, malahan hampir tiada langsung bahan-bahan, bertulis ataupun bukti-bukti arkeologi yang secara pasati dikaitkan dengan kerajaan Gangga Negara. Gangga mungkin mengambil sempena nama Sungai Ganges di India, manakala Negara dalam bahasa Sanskrit bermakna negeri. Gangga Negara bererti negeri di tepi sungai. Namun begitu catatan Ptolemy dalam bukunya, Georaphike Huphegesis, yang ditulis sekitar tahun 150 M, ada menyebut nama Coconagara yang secara fonetiknya seakan-akan perkataan Gangga Negara. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Konsep |