TELUK MORETON | Teluk Moreton ialah serokan yang besar di pantai tenggara Queensland, Australia, kira-kira 29 kilometer dari Brisbane. Teluk Moreton mempunyai pelabuhan di Sungai Brisbane membentuk pintu masuk. Tiga buah pulau besar, iaitu Bribie, Moreton dan Stradbroke Utara mengelilingi sebahagian teluk ini. Pulau-pulau ini merupakan kawasan pelancongan yang terkenal. Pulau Stradbroke mempunyai mendapan mineral pasir yang penting. Pulau Moreton dikenali dengan bukit pasirnya, kadangkala ketinggiannya mencapai 275 meter. | UMUM | |
TELUK MANILA | Teluk Manila ialah pintu masuk ke bandar raya Manila di Luzon, Filipina. Teluk ini menghala ke barat daya Laut China Selatan. Untuk lokasi, lihat Filipina (peta) . Teluk Manila adalah lebih kurang 65 kilometer panjang dan 55 kilometer lebar. Perairannya cukup dalam untuk kapal-kapal besar berlabuh. Terdapat dua pelabuhan di Cavite dan Manila. Pulau Corregidor yang berbatu-batan terletak di muara Teluk Manila. Beberapa peperangan sengit berlaku semasa Perang Dunia II (1939–1945) di pulau ini. Pulau ini diserang oleh tentera Jepun pada awal Perang Dunia II . Semasa Perang Sepanyol-Amerika (1898), sebuah armada Amerika di bawah pimpinan Komander George Dewey memusnahkan tentera Sepanyol dalam peperangan di muara Teluk Manila. Lihat juga Corregidor ; Semenanjung Bataan. | UMUM | |
PULAU FRASER | Pulau Fraser juga dikenali sebagai Pulau Great Candy ialah pulau berpasir yang paling besar di dunia. Ia terbentang di sepanjang Teluk Hervey, di sebelah pantai tenggara Queensland, Australia, dan menjadi pelindung kepada pintu masuk pelabuhan Maryborough. Keluasan pulau ini lebih kurang 1550 kilometer persegi. Ia mempunyai banyak tasik air tawar. Tasik yang paling luas ialah Tasik Boemingen. Keluasannya lebih daripada 200 hektar. Sebahagian pulau ini merupakan hutan simpan yang mengandungi kira-kira 26 300 hektar hutan komersial. | UMUM | |
MESSINA | Messina (pend. 255 890) ialah bandar ketiga terbesar di Sicily, sebuah pulau Itali di Laut Mediterranean. Bandar ini terletak di timur laut pantai Selat Messina (lihat Itali [peta politik]). Bandar ini adalah pintu masuk ke Sicily. Setiap hari, ribuan pekerja menaiki feri menyeberangi selat selebar tiga kilometer ini untuk ke tanah besar Itali. Messina merupakan pusat dagangan untuk eksport buah-buahan, wain, dan barangan lain. | UMUM | |
GUA NIAH | GUA NIAH, salah sebuah gua yang terbesar di dunia. Gua Niah juga merupakan tapak arkeologi yang terkenal di Asia Tenggara kerana mempunyai bukti kewujudan manusia lebih kurang 40 000 tahun dahulu. Gua Niah terletak di kompleks batu kapur Niah-Subis, lebih kurang 50 km dari bandar Miri, Sarawak. Gua Niah berada pada ketinggian 48.9 m dari aras laut dengan garis tegak 3° 49’ 09’’ U dan garis bujur 113° 46’ 42’’ T. Gua Niah mempunyai enam pintu masuk utama, iaitu Kuala Besar, Lubang Tulang, Lubang Hangus, Lubang Bulan, Gan Kira dan Tahi Menimbun. Pintu Kuala Besar merupakan pintu terbesar sekali dengan kelebaran lebih kurang 244 m, ketinggian hingga 61 m dan lantai gua seluas 10.5 hektar. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Bandar/Negeri/Negara/Tempat |