Safariyyah, Kerajaan (254–289 H./ 868–902 M.). Kerajaan Safariyyah didirikan di bahagian selatan Iran. Nama kerajaan ini bersempena dengan nama Ya‘kub ibn al-Layth al-Safar, seorang yang berani, yang mengambil kesempatan semasa kerajaan Abbasiyyah lemah akibat bergolak politik serta kekacauan yang semakin serius, yang dilakukan oleh orang Negro. Dia memang bercita-cita untuk menguasai kawasan selatan Iran, Parsi dan Khurasan. Dia berjaya menubuhkan kerajaannya selepas menjatuhkan kerajaan al-Tahiriyyah, dan diiktiraf oleh Baghdad sebagai gabenor yang merdeka. Namun, dia masih belum berpuas hati malah bercita-cita untuk mengambil alih kedudukan orang Turki di Baghdad. Kerajaan terpaksa akur kepada kehendaknya apabila dia menyiapkan angkatan tentera untuk tujuan tersebut. Justeru itu, al-Safar diberi pengiktirafan sebagai gabenor di wilayah Khurasan, Tabaristan, Jurjan, Ray dan Parsi. Dia juga dilantik sebagai Ketua Polis Baghdad dan Samarra’. Al-Safar masih belum berpuas hati. Dia berhasrat untuk ke Baghdad dan mengambil alih Baghdad yang merupakan pusat kekuasaan bangsa Turki. Khalifah al-Muwaffaq tidak ada pilihan lain kecuali bertindak memerangi al-Safar. Khalifah mengetuai satu angkatan tentera lalu menyerang al- Safar berserta tenteranya dan berjaya menewaskan mereka. Al-Safar tewas kerana tenteranya berpaling tadah dan menyertai tentera khalifah apabila mereka melihat pasukan yang akan ditentang diketuai oleh khalifah sendiri. |