Spiritualisme ialah kepercayaan bahawa roh orang yang telah mati boleh berhubung dengan orang yang masih hidup. Kepercayaan ini wujud dalam berbagai-bagai bentuk di seluruh dunia. Pergerakan spiritualis moden bermula di Amerika Syarikat pada tahun 1848. Pada tahun tersebut, dua orang wanita adik-beradik bernama Katherine dan Margaret Fox, dari Hydesville, dekat Rochester, New York, mendengar bunyi ketukan dalam rumah mereka. Mereka tidak dapat mengesan punca yang boleh menyebabkan bunyi ketukan itu. Kedua-dua wanita adik-beradik itu berikhtiar membuat satu kod untuk mentafsirkan bunyi ketukan itu supaya mereka dapat berhubung dengan roh yang dipercayai cuba menghantar isyarat kepada mereka. Peristiwa yang berlaku di Hydesville itu membawa kepada penubuhan beberapa pertubuhan bebas di bawah anjuran gereja dan juga kumpulan falsafah yang lain yang bertujuan untuk mengemukakan idea tentang spiritualisme. |