ALPS | Alps ialah sistem pergunungan yang terbesar di Eropah. Puncaknya yang menjulang tinggi dilitupi salji dan lembahnya yang damai menjadikannya salah satu pemandangan yang paling menakjubkan di benua Eropah. | UMUM | |
MENDAKI GUNUNG | Mendaki gunung ialah sukan pendakian sesebuah gunung untuk sampai ke puncaknya. Pendakian gunung sebagai satu sukan bermula di Eropah apabila orang mula mendaki puncak gunung hanya untuk cabaran dan pengembaraan. Kebanyakan gunung-gunung utama, kecuali yang terletak di kawasan yang sangat terpencil di dunia, sudah didaki. Puncak yang paling tinggi di Amerika Utara yang terletak di Gunung McKinley, mula didaki pada tahun 1913. Pada tahun 1953, Sir Edmund Hillary dari New Zealand dan Tenzing Norgay dari Nepal menjadi orang pertama sampai ke puncak Gunung Everest di Asia, iaitu gunung yang tertinggi di dunia. Lihat Gunung Everest; Gunung McKinley. | UMUM | |
SUNGAI MISSOURI | Sungai Missouri ialah sungai terpanjang di Amerika Syarikat. Sungai ini mengalir 4090 kilometer dari puncaknya di Red Rock Creek di barat daya Montana hingga ke muara Sungai Mississippi. Sungai Missouri mengairi kawasan seluas kira-kira 1 371 100 kilometer persegi. Lembangan saliran ini meliputi keseluruhan atau sebahagian daripada 10 negeri di Amerika Syarikat dan dua provinsi di Kanada. Sungai ini adalah berlumpur. Penjelajah awal dan Orang Asli Amerika menamakannya Big Muddy dan peladang menyifatkannya sebagai “terlalu tebal untuk diminum dan terlalu nipis untuk dibajak”. Sungai Missouri diberi nama sempena nama Orang Asli Missouri, salah satu puak yang tinggal berhampiran dengan muara sungai ini. | UMUM | |
MAUNA KEA | Mauna Kea ialah gunung berapi di pulau Hawaii, Amerika. Puncaknya setinggi 4205 meter di atas aras laut dan 10 203 meter di atas tapak gunung di dasar Lautan Pasifik. | UMUM | |
PERGUNUNGAN WHITE | Pergunungan White merupakan sebahagian daripada sistem Pergunungan Appalachian di Amerika Utara. Ia terbentang ke arah barat daya dari Maine ke New Hampshire, Amerika Syarikat. Pergunungan White diberi nama sedemikian kerana puncaknya berwarna putih apabila diliputi salji. Pada musim bunga dan musim gugur puncak yang berwarna putih menjadi lebih mengagumkan kerana salji tidak menutupi bahagian bawah gunung ini. Untuk lokasi, lihat Pergunungan Appalachian (peta). | UMUM | |
TIAN SHAN | Tian Shan, juga dieja Tien Shan,ialah banjaran gunung di Asia Tengah. Ia memanjang sejauh 2400 kilometer ke timur laut dari Pergunungan Pamir (lihat Pamir ). Ia merentang ke barat laut China. Tian Shan bermaksud Gunung Indah. Ia merupakan sistem pergunungan yang tertinggi di utara Tibet. Puncak Pobeda, setinggi 7439 meter di atas aras laut, ialah puncaknya yang tertinggi. Banyak sungai mengalir ke utara dari Tian Shan ke Kyrgyzstan dan Kazakhstan, dan ke selatan memasuki China. Sistem pergunungan ini mempunyai beberapa glasier yang terbesar di dunia. Jalan-jalan yang melalui genting merentas banjaran Tian Shan. Untuk lokasi, lihat Asia (peta rupa bumi). | UMUM | |
SWEET FLAG | Sweet flag ialah tumbuhan tinggi bak mensiang, dalam famili arum. Ia tumbuh di sepanjang anak air dan di rawang di hampir semua bahagian di Hemisfera Utara. Daunnya leper dan panjangnya 60 sentimeter hingga 180 sentimeter. Ia berbentuk seperti pedang dua mata. Batang sweet flag hampir seperti daunnya, tetapi lebih keras dan mengeluarkan spika bunga yang kecil, hijau berhampiran dengan puncaknya. Daun dan batangnya tumbuh secara langsung dari stok akar bawah tanah. Stok akarnya digunakan sebagai tonik, dan untuk membuat minyak wangi dan sediaan bilik mandi. Di Eropah, stok akarnya dijadikan makanan. Pengelasan saintifik. Sweet flag tergolong dalam famili arum, Araceae. Ia adalah Acorus calamus. | UMUM | |