Motosikal, juga dikenali sebagai motor ialah kenderaan yang beroda dua atau tiga, berkuasa enjin petrol yang dipasang di bahagian tengah antara roda depan dan roda belakang. Motosikal mempunyai rangka yang lebih berat dan kuat daripada basikal iaitu kenderaan yang menjadi asas penciptaannya. Manusia di merata pelosok dunia menggunakan motosikal sebagai pengangkutan atau menunggangnya sebagai aktiviti sukan dan rekreasi. Di seluruh dunia, polis menggunakan motosikal dalam usaha mengejar dan mengawal trafik kerana kenderaan tersebut boleh dikendalikan dengan mudah di celah-celah lalu lintas. Di Amerika Syarikat, sesetengah pasukan bomba menggunakan motosikal untuk membawa kakitangan perubatan ke tempat kemalangan. Di bandar-bandar besar di United Kingdom dan di tempat-tempat lain, motosikal digunakan untuk menghantar dokumen dan bungkusan kecil. |