SPENDER, SIR STEPHEN | Spender, Sir Stephen (1909–1995) ialah pemuisi British. Puisi-puisinya yang terkenal menggabungkan unsur romantik tradisional dengan subjek serta sikap yang benar-benar moden. Dengan itu, dalam sebuah kereta api ekspres pun dia mendapati kewujudan jenis keindahan yang penyair romantik awal temui pada air terjun dan matahari terbenam. | UMUM | |
BYRON, LORD | Byron, Lord (1788–1824) ialah penyair romantik Inggeris yang paling cemerlang. Ramai orang mendapati hidupnya yang penuh cabaran sebagai sama menarik dengan puisinya. Byron mengarang puisinya di Eropah dan di Timur Tengah, dan puisinya mencerminkan pengalaman dan kepercayaannya. Puisinya kadang-kadang kasar, kadang-kadang lembut, dan selalunya eksotik. | UMUM | |
SCOTT, SIR WALTER | Scott, Sir Walter (1771–1832) ialah penulis romantik Scotland. Dia menulis novel sejarah yang dipopularkan dalam satu siri karya yang panjang dikenali sebagai Novel-novel Waverley . Dalam novelnya seperti Ivanhoe, The Heart of Midlothian , dan The Talisman , Scott menunjukkan kebijaksanaannya yang unik mencipta sejarah sosial. Dia mengatur plot dan watak dalam karyanya supaya pembaca dapat menyelami kehidupan kedua-dua golongan bangsawan dan golongan biasa yang terdapat dalam perubahan sejarah yang ganas dan dramatik. | UMUM | |
MAHLER, GUSTAV | Mahler, Gustav (1860–1911) ialah penggubah zaman romantik kelahiran Bohemia. Dia berhasil menyiapkan sembilan buah simfoni tetapi meninggal dunia sebelum sempat menyiapkan yang kesepuluh. Dia juga menggubah banyak lagu yang diiringi oleh persembahan orkestra. | UMUM | |
NOVALIS | Novalis (1772–1801) ialah nama pena Friedrich von Hardenberg, penyair romantik Jerman. Lima buah puisi oleh Novalis, yang berjudul Hymns to the Night (1800), menerangkan kealiman, sifat mistik, dan harapannya untuk menemui ajal. Dalam esei Christianity or Europe (1799), Novalis cuba menunjukkan bahawa manusia menjalani kehidupan yang lebih bermakna dalam kesatuan spiritual Zaman Pertengahan Katolik daripada zamannya. Ini menjadi tema romantisisme Jerman. Dia meninggal dunia sebelum menghabiskan novelnya, Heinrich von Ofterdingen. | UMUM | |
MILLAY, EDNA ST. VINCENT | Millay, Edna St. Vincent (1892–1950) ialah penyair Amerika. Kebanyakan puisinya bertema romantik. Dia menulis tentang cinta dan kematian, tentang diri dan alam sejagat, dan tentang perasaan anak muda yang memberontak. Dalam menghasilkan puisi ini, dia menggabungkan sikap sentimental dengan jenaka pintar dan kecanggihan. | UMUM | |
BIERSTADT, ALBERT | Bierstadt, Albert (1830–1902) ialah salah seorang daripada pelukis landskap romantik Amerika yang terkemuka. Dia mula-mula melihat pemandangan yang indah di Barat Amerika pada tahun 1859 semasa menyertai ekspedisi tinjauan. Dia membuat lakaran pada ketika itu juga dan mengambil gambar yang kemudian dilukis menjadi panorama besar Pergunungan Barat. Hanya sedikit berasaskan kepada lakarannya dan foto, lukisan Bierstadt mengungkapkan landskap yang tersergam indah, yang diperhebat dengan penggunaan pencahayaan yang dramatik. Bierstadt menerima 25 000 dolar Amerika untuk sebuah lukisan, harga yang paling tinggi yang pernah dibayar bagi lukisan di Amerika pada masa itu. Walau bagaimanapun, reputasinya merosot di akhir kerjayanya. Pada hari ini, terutama lukisannya yang lebih kecil, kembali popular disebabkan timbulnya minat baru terhadap pergerakan romantik tahun 1800-an. | UMUM | |
MOLNÁR, FERENC | Molnár, Ferenc (1878–1952) ialah penulis drama Hungary yang terkenal pada zamannya. Dia menulis drama komedi romantik dengan dialog yang lucu. Dalam The Guardsman (1910), seorang suami yang cemburu, berpura-pura menjadi musuhnya sendiri. The Glass Slipper (1924) mempersembahkan drama komedi berdasarkan kisah Cinderella. Liliom (1909) sebuah drama yang lebih serius mengenai taman hiburan, kemudiannya yang menjadi asas kepada drama muzikal Rodger dan Hammerstein, Carousel (1945). Antara drama komedi Molnár yang lain, termasuklah The Devil (1907), The Swan (1920), dan The Play’s the Thing (1926). | UMUM | |
MÖRIKE, EDUARD | Mörike, Eduard (1804–1875) ialah penyair lirik Jerman. Dia berjaya mengatasi kekaburan yang menjadi ciri kebanyakan puisi romantik. Karya-karya Mörike banyak yang membayangkan suasana aman dan menyeronokkan. Tetapi puisinya yang amat dikagumi ialah mengenai sesuatu objek atau detik waktu, seperti sebuah lampu usang dalam rumah musim panas, atau sepasang kekasih ketika menghilangkan diri di satu sudut. | UMUM | |
SCHUMANN, ROBERT | Schumann, Robert (1810–1856) ialah penggubah dan penulis muzik Jerman. Sesetengah pengkritik menganggap Schumann sebagai penggubah yang paling penting dalam gerakan romantik di Jerman. Dia menjadi terkenal kerana hasil gubahan pianonya yang cemerlang dan lagu yang indah. | UMUM | |