AUTOGRAF | Autograf ialah apa saja yang ditulis tangan. Istilah ini selalunya merujuk kepada tandatangan seseorang. Walau bagaimanapun, autograf juga boleh jadi banyak contoh tulisan, seperti surat kiriman, dokumen, dan manuskrip. Istilah autograf berasal dari perkataan Yunani autos bermakna diri, dan graphein, bermakna menulis . | UMUM | |
KEKABUH | Kekabuh ialah nama bagi banyak jenis kumbang yang bermuncung panjang. Kekabuh terdapat di mana saja wujud tanaman yang mengeluarkan biji, dan ia terutamanya banyak terdapat di kawasan tropika. Kebanyakan kekabuh berwarna malap. Walau bagaimanapun, sesetengah kekabuh adalah antara serangga yang paling berwarna-warni. | UMUM | |
YUSUF ISHAK, TUN | YUSUF ISHAK, Tun, (1910-1970), Presiden Republik Singapura yang pertama (1965-1970). Dia lahir pada 12 Ogos 1910 di Padang Gajah, Trong, Perak. Dia mendapat pendidikan awal di sekolah Melayu di Perak sebelum memasuki Victoria Bridge School, Singapura. Yusuf lulus Sijil Cambridge dengan keputusan yang cemerlang pada tahun 1927. Dengan keputusan itu, dia diberi peluang meneruskan pelajarannya selama dua tahun di Raffles Institution Special Class, Singapura. Sejak di bangku sekolah, Yusuf seorang pelajar yang aktif dan sentiasa menjalankan apa saja tugas yang diberikan kepadanya. Hal ini terbukti apabila dia dilantik sebagai seorang pengawas di sekolahnya. Selain itu, dia juga pernah menganggotai pasukan kadet dan merupakan pelajar yang pertama di Singapura pernah dilantik sebagai leftenan muda. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Tokoh |
SURUHANJAYA PILIHAN RAYA | Kapsyen : Mengundi sebagai satu simbol demokrasi SURUHANJAYA PILIHAN RAYA, sebuah badan atau agensi bebas bertaraf perlembagaan dan menjadi pengawas serta penyelia satu proses dalam sistem demokrasi. Suruhanjaya ini ditubuhkan mengikut perintah Perlembagaan Malaysia (Fasal 114). Dalam menjalankan tugasnya, suruhanjaya bukan saja harus bersikap dan bertindak berkecuali, saksama dan adil, tetapi harus kelihatan demikian, kerana sifat-sifat itu sendiri sudah menjadi sebahagian daripada lunas-lunas demokrasi. Dalam mentadbirkan dan menjalankan fungsinya, Suruhanjaya Pilihan Raya dibekalkan dengan kuasa-kuasa berkanun seperti yang terdapat dalam Perlembagaan Malaysia (Bahagian VIII) serta Jadual Kedua Belas, akta-akta khusus, dan peraturan-peraturan terbitan. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Institusi/Organisasi |