SEBATIAN | Sebatian ialah bahan yang mengandungi lebih daripada satu jenis atom. Setiap sebatian mempunyai komposisi tertentu yang boleh diperikan dengan formula kimia. Contohnya, air ialah sebatian yang mengandungi dua jenis atom, hidrogen (H) dan oksigen (O). Formula kimia air ditulis H 2 O kerana terdapat dua kali sebanyak atom hidrogen dengan atom oksigen dalam mana-mana sampel air. Lain-lain sebatian biasa termasuk garam dan gula. Sebatian ini dan banyak sebatian lain wujud dalam alam semula jadi. Banyak sebatian lain juga dicipta secara artifisial. | UMUM | |
RESIN SINTETIK | Resin sintetik ialah salah satu daripada sebatian kimia yang termasuk dalam kumpulan sebatian kimia yang besar yang termasuk juga plastik biasa yang kita guna. Resin ini boleh diolah untuk menjadi gentian atau filem, dibentuk dalam acuan untuk dijadikan berbagai-bagai bentuk, umpamanya dari sekeping sikat kecil yang boleh dimasukkan ke dalam saku sehingga ke bamper kereta. Pengilang menggunakan sebatian ini dalam pembuatan cat dan perekat dan juga sebagai salutan pada kain, kertas dan logam. | UMUM | |
SODA | Soda ialah nama biasa bagi sekumpulan sebatian yang mengandungi natrium. Sebatian natrium ini dibuat daripada garam biasa (NaCl), yang terdiri daripada natrium dan klorin. | UMUM | |
SULFAT | Sulfat ialah sebatian kimia yang mengandungi kumpulan tertentu atom, sulfur dan oksigen. Kumpulan ini dikenali sebagai radikal sulfat (SO4 2—). Biasanya, sulfat adalah sebatian yang stabil, yang terbentuk dalam bentuk hablur. Sulfat biasa adalah selestit, iaitu sulfat strontium; garam Epson, iaitu sulfat magnesium; gipsum, iaitu sulfat kalsium dan spar berat, iaitu sulfat barium. Banyak sulfat larut dalam air, tetapi sesetengahnya seperti sulfat-sulfat barium, strontium, dan plumbum, tidak larut dalam air. | UMUM | |
POLIKLORINAT BIFENIL (PCB) | Poliklorinat bifenil (PCB) adalah mana-mana kumpulan sebatian sintetik yang terbentuk dengan menggantikan atom klorin (simbol kimia, CI) dengan atom hidrogen (H) dalam sebatian yang dikenali sebagai bifenil (C 6 H 5 C 6 H 5 ). Satu molekul PCB mungkin mempunyai satu atom hingga 10 atom klorin. | UMUM | |
LIKUORIS | Likuoris ialah herba yang mengandungi perisa serta sebatian berguna bagi kegunaan perubatan. Perisanya terdapat pada akar dan rizom herba yang panjang serta manis rasanya. Akar dan rizomnya mengandungi sebatian, yang dikenali glisirizin, kira-kira 50 kali lebih manis daripada gula. Likuoris adalah tumbuhan saka, iaitu ia hidup lebih daripada satu musim pertumbuhan. | UMUM | |
ASID | Asid ialah sebarang kumpulan sebatian kimia yang mempunyai sifat-sifat tertentu yang sama. Larutan asid berasa masam dan menghasilkan rasa pedih jika terkena pada kulit. Asid melarutkan banyak logam dan menukar warna kertas litmus biru kepada merah. Sebatian kimia yang dinamakan bes atau alkali meneutralkan asid. | UMUM | |
KIMIA ORGANIK | Kimia organik ialah kajian tentang sebatian yang mengandungi atom karbon. Atom karbon adalah luar biasa kerana ia boleh membentuk ikatan kimia dalam banyak cara yang berbeza, dengan lain-lain atom karbon dan dengan lain-lain unsur kimia. Hasilnya, banyak jenis sebatian yang mengandungi karbon boleh wujud. Ahli sains telah mengenal pasti beberapa juta sebatian organik. | UMUM | |
NITRAT | Nitrat ialah mana-mana jenis sebatian yang mengandungi ion nitrat tak organik (NO 3 –). Hidrogen nitrat (HNO 3 ) biasanya lebih dikenali sebagai asid nitrik . Hampir semua logam membentuk garam nitrat apabila bergabung dengan asid nitrik. Dua garam nitrat yang penting kalium nitrat (KNO 3 ) dan ammonium nitrat (NH 4 NO 3 ), digunakan sebagai baja untuk menambah lagi nitrogen dalam tanah. Bakteria tertentu dalam tanah membentuk nitrat daripada sebatian organik yang mengandungi nitrogen. Tumbuh-tumbuhan menggunakan nitrat ini untuk membuat protein. Nitrat juga adalah penting dalam pembuatan bahan letupan, mercun, ubat jantung dan filem fotografi. Nitrat dimakan setiap hari, terutamanya daripada sumber sayur-sayuran. Walau bagaimanapun, pengambilan banyak nitrat boleh menyebabkan penghasilan bahan toksik dalam badan. Lihat juga Asid nitrik; Kitar nitrogen. | UMUM | |
MONAZIT | Monazit ialah mineral berat, berwarna kuning-perang. Ia adalah sebatian fosfat (fosforus dan oksigen), yang terdiri daripada logam nadir bumi dan torium. Formula kimianya ialah (Th , Ce, la, Y)PO 4 . Monazit adalah satu sumber daripada torium, iaitu bahan api nuklear yang digunakan dalam sesetengah reaktor nuklear. Monazit juga adalah sumber penting bagi unsur dan sebatian nadir bumi, yang digunakan dengan meluas dalam pembuatan kaca dan logam. | UMUM | |