PSIKOSIS | Psikosis ialah istilah yang digunakan untuk menerangkan penyakit mental yang teruk. Psikosis dicirikan dengan berbagai-bagai gejala yang dianggap tidak normal oleh kebanyakan orang. Gejala ini termasuk halusinasi , seperti mendengar suara sedangkan tiada sesiapa pun di sekitarnya, dan delusi , seperti perasaan sedang diseksa atau ada orang sedang membuat rancangan jahat terhadapnya (liha t Delu si; Halusinasi ). | UMUM | |
SCRIBE, AUGUSTIN EUGÉNE | Scribe, Augustin Eugéne (1791–1861), penulis drama Perancis. Dia merupakan penulis yang berjaya dalam bentuk drama realistik yang dinamakan, the well-made play . Drama seperti itu bergantung pada kesan dan pada penerangan yang teliti tentang peristiwa lalu, sedangkan pada masa yang sama, menunjukkan peristiwa yang akan datang. Drama yang baik mengandungi suatu babak wajib pada klimaks apabila rahsianya didedahkan. Hasil daripada pendedahan rahsia, watak-watak itu akan menerima ganjaran atau denda. | UMUM | |
SURAH AL-NISA' | Surah al-Nisa’ ialah salah satu daripada surah Madaniyyah, surah yang keempat mengikut susunan surah-surah al-Qur’an dan mengandungi 176 ayat. Ia dinamakan al-Nisa’ (wanita) kerana di dalam surah ini terdapat banyak hukum yang berkaitan dengan wanita sedangkan hukum-hukum sebegini tidak terdapat dalam surah-surah lain. Surah al-Nisa’ juga disebut surah al-Nisa’ al-Kubra berbeza dengan surah al-Nisa’ al-Sughra yang juga dikenali dalam al-Qur’an sebagai surah al-Talaq. Surah al-Nisa’ ini seperti juga surah-surah Madaniyyah lain, membahaskan secara terperinci mengenai hukum-hukum syariah yang mengatur kehidupan dalaman serta luaran kaum Muslimin iaitu tanggungjawab, hukum-hukum syariah, menceritakan mengenai asas-asas penting yang bersangkutan dengan kaum wanita, rumah tangga, keluarga, negara dan masyarakat. | UMUM | |
PERTEMPURAN BANNOCKBURN | Pertempuran Bannockburn ialah salah satu pertempuran paling penting dalam sejarah Scotland . Ia berlaku di Bannockburn, Scotland, pada tahun 1314. Dalam pertempuran itu, rakyat Scotland menyelamatkan negara mereka daripada pemerintahan asing dengan mengalahkan tentera Inggeris di bawah Raja Edward II. Robert Bruce menaiki takhta Scotland dengan kemenangan ini. Jumlah tentera Inggeris melebihi tentera Scotland, tetapi pertahanan Scotland bertempur dari kedudukan yang lebih baik, sedangkan pihak Inggeris terlalu terhimpit untuk menggunakan sepenuhnya jumlah tentera mereka yang lebih besar. Pihak Scotland menghentikan kemaraan orang Inggeris dengan menggali lubang di sepanjang garisan serangan. Orang Inggeris melarikan diri setelah mengalami kekalahan teruk. | UMUM | |
CERITA PANJI | CERITA PANJI, cerita roman atau pengembaraan yang berasal dari Jawa. Inti cerita panji berpusat pada dua buah kerajaan Jawa kuno iaitu Kuripan dan Daha dengan watak utamanya Raden Inu Kertapati dan Raden Galuh Cendera Kirana. Cerita ini lahir pada Zaman Jawa Tengahan, iaitu pada zaman kegemilangan dan kemerosotan kerajaan Majapahit di Jawa Timur. Meskipun terdapat cerita panji Melayu, Siam dan Kemboja, tetapi perbezaannya terletak hanya pada bahasanya, sedangkan ceritanya hampir tidak berbeza daripada cerita panji Jawa. | SASTERA | Konsep |
BAJU KEBAYA | BAJU KEBAYA, baju yang berlengan panjang, berpinggang dan berbelah di hadapan. Baju ini dipakai oleh wanita di Malaysia, Indonesia, Brunei dan Singapura. Pada asalnya baju ini direka labuh hingga ke paras lutut ataupun lebih. Kini banyak perubahan yang dilakukan ke atas potongan baju tersebut. Ada yang labuhnya hingga ke paras lutut disebut kebaya labuh dan ada yang singkat ke paras punggung sahaja, disebut kebaya pendek. Meskipun begitu, kedua-duanya mempunyai ciri yang sama. Kebaya labuh lebih sesuai dipakai dalam upacara rasmi, istiadat dan majlis kenduri kahwin sahaja, sedangkan kebaya pendek dipakai di mana-mana dan pada bila-bila masa sahaja, oleh semua peringkat umur. | BUDAYA | Pakaian |
NUFAYR IBN MALIK | Nufayr ibn Malik (?–80 H./?–699 M.) ulama hadith. Nama sebenarnya ialah al-Imam al-Kabir Nufayr ibn Malik ibn Amir Abu Abd al-Rahman al- Hadramiy al-Himsiy. Dia sempat mengenali Rasulullah s.a.w. dan mengunjungi Baginda seperti yang disebut oleh Ibn al-Athir. Dia meriwayatkan hadith daripada Abu Bakar (dipercayai kemungkinan dia pernah berjumpa dengan Abu Bakar), ‘Umar, al-Miqdad, Abu Dhar, Abu Darda, Aishah dan sahabat-sahabat lain. Hadith-hadith Nufayr ibn Malik diriwayatkan pula oleh anaknya Abd al-Rahman, Makhul, Khalid ibn Mi dan beberapa orang lagi. Dia tergolong dalam kalangan ulama hadith yang pakar. Hadithnya terdapat dalam semua kitab hadith kecuali kitab Sahih al-Bukhariy . Ini adalah kerana Nufayr ibn Malik meriwayatkan hadith daripada sahabat-sahabat tanpa berjumpa dengan mereka, sedangkan al-Bukhariy tidak menerima sesuatu hadith kecuali guru yang meriwayatkan hadith berjumpa sendiri dengan perawinya. Nufayar ibn Malik dikatakan meninggal dunia pada tahun 75 H. | UMUM | |
NABI DAN RASUL | Nabi dan rasul ialah orang lelaki daripada kalangan manusia yang dipilih oleh Allah SWT dan diturunkan wahyu kepada mereka. Perbezaan antara nabi dan rasul ialah: Allah SWT membangkitkan para nabi dengan membawa syariat baru atau syariat lama, dan menyuruh mereka beramal dengannya untuk menjadi ikutan kepada orang lain. Contohnya, banyak nabi di kalangan Bani Israel, tetapi mereka tidak diperintahkan berdakwah kepada seluruh manusia, kerana setiap nabi itu diutuskan kepada kaumnya sahaja. Manakala para rasul pula dipilih oleh Allah SWT dan diwahyukan syariat kepada mereka serta disuruh menyampaikannya kepada seluruh manusia. Allah SWT menurunkan kitab kepada Nabi Muhammad SAW., iaitu al-Qur’an. Manakala Nabi Isa a.s. telah berdakwah untuk beberapa ketika dengan menyeru kepada ajaran Taurat, kemudian Allah SWT menurunkan kepadanya kitab Injil, lalu dia pun menyeru kepada ajaran Injil. Dengan keterangan di atas, nyatalah bahawa gelaran rasul lebih umum daripada gelaran nabi, kerana rasul juga adalah nabi sedangkan nabi mungkin tidak menjadi rasul. | UMUM | |
KEKERABATAN MELAYU | KEKERABATAN MELAYU, amalan sistem kekerabatan dwisisi dan sistem kekerabatan senasab (nasab ibu) di kalangan orang Melayu. Pada umumnya, orang Melayu mengamalkan sistem kekerabatan dwisisi (bilateral/cognatif system), kecuali bagi mereka yang tinggal di Negeri Sembilan dan di beberapa tempat di Melaka. Penduduk di kedua-dua negeri berkenaan mengamalkan sistem kekerabatan senasab variasi nasab ibu (matrilineal system). Sistem sosial yang berasaskan prinsip nasab ibu ini lebih dikenal dengan nama sistem sosial adat perpatih, sedangkan sistem sosial yang berasaskan prinsip kekerabatan dwisisi, secara umumnya lebih dikenal dengan sistem sosial adat temenggung. Walau bagaimanapun, pengaruh sistem kekerabatan Islam ketara sekali hingga terdapat banyak persamaan dalam kedua-dua sistem kekerabatan Melayu yang dimaksudkan. | BUDAYA | Kekerabatan |
BOKOR HUTASUHUT | BOKOR HUTASUHUT (1934- ), penulis Indonesia. Dia lahir pada 2 Jun 1934 di Balige, Sumatera Utara, Indonesia. Pendidikan terakhirnya di Sekolah Menengah Atas Medan pada tahun 1956 (tamat Kelas Dua). Dia pernah menjadi redaktur kebudayaan majalah Waktu dan Pelangi di Medan (1955-1962). Kemudian dia dilantik sebagai Setiausaha Yayasan Sastra (1963-1966). Ketika berlangsungnya Konperensi Kaeyawan Pengarang Se-Indonesia di Jakarta (1-7 Mac 1964), Bokor telah dilantik sebagai setiausaha agung. Bokor mula menceburkan diri dalam bidang penulisan pada tahun 1950-an. Bagaiamapun, dia hanya produktif berkarya selama lebih kurang dua dekad sahaja iaitu hingga akhir tahun 1960-an atau awal tahun 1970-an. Karya-karyanya terutama cerpen sering tersiar dalam majalah Kisah, Mimbar, Indonesia, Konfontasi, Cerita, Siasat dan Sastra. Kumpulan cerpennya yang diterbitkan ialah Datang Malam (1963). Sedangkan novelnya pula ialah Penakluk Ujung Dunia (1964) dan Tanah Kesayangan (1965). Cerita bersirinya yang berjudul Pantai Barat menerima Hadiah Kedua majalah Sastra (1963) dan diterbitkan sebagai sebuah novel pada tahun 1988. | SASTERA | Tokoh |