ANEMIA | Anemia ialah keadaan jumlah sel darah merah yang sihat berkurangan di bawah paras normal. Sel darah merah mengambil oksigen di dalam paru-paru dan membawanya ke tisu-tisu di seluruh badan. Di sana, oksigen digabungkan dengan makanan untuk mengeluarkan tenaga. Dalam diri orang yang mengalami anemia, darah tidak dapat membekalkan tisu dengan oksigen yang mencukupi. Maka orang itu berasa lemah atau letih. Simptom lain ialah pening, sakit kepala, kulit pucat atau sejuk, degupan jantung yang deras, dan kesukaran bernafas. | UMUM | |
KIRAAN DARAH | Kiraan darah ialah ujian untuk menentukan bilangan sel darah merah dan sel darah putih di dalam darah. | UMUM | |
STREPTOKOKUS | Streptokokus ialah genus (kumpulan) bakteria yang berkongsi ciri-ciri tertentu. Di bawah mikroskop, streptokokus kelihatan sebagai rantaian organisma berbentuk sfera. Streptokokus dikelaskan sebagai bakteria hemolitik. Bakteria ini mengeluarkan toksin yang memusnahkan seluruhnya atau sebahagiannya sel darah merah. Pemusnahan ini dikenali sebagai hemolisis. | UMUM | |
MONYET RHESUS | Monyet Rhesus ialah monyet yang terkenal kerana ia berguna dalam penyelidikan perubatan dan gelagat. Ia juga adalah satu daripada monyet yang paling popular dipamerkan di zoo. Penyelidikan tentang monyet Rhesus membawa kepada penemuan faktor Rh, iaitu bahan dalam sel darah merah kebanyakan manusia (lihat Faktor Rh). Ahli sains menamakan bahan ini sempena nama monyet ini. | UMUM | |
OSTEOSKLEROSIS | Osteosklerosis bermakna pengerasan, penebalan dan peningkatan kepadatan tulang. Ia boleh melibatkan sebahagian tulang, keseluruhan tulang, atau keseluruhan rangka. Bentuk yang paling biasa yang dikenali sebagai tulang marmar atau osteopetrosis , adalah penyakit keturunan yang jarang berlaku yang menyerang kanak-kanak. Dalam penyakit ini, tulang menjadi amat padat dan tebal. Ketebalan yang bertambah ini mengisi ruang yang mengandungi sumsum tulang, iaitu tisu yang membuat sel darah merah. Akibatnya, kanak-kanak mengalami anemia yang teruk. Tulang yang mengalami osteosklerosis menjadi rapuh dan lebih mudah retak daripada tulang normal. Osteosklerosis boleh berlaku pada sebahagian tulang akibat jangkitan atau tumor. | UMUM | |
SIANOSIS | Sianosis ialah proses penyahwarnaan kepada kebiru-biruan yang berlaku pada kulit dan membran mukos. Sianosis berlaku apabila darah yang mengalir pada kulit dan membran mukos mengandungi paras hemoglobin terturun yang terlalu tinggi – iaitu hemoglobin yang tidak bergabung dengan oksigen. Hemoglobin adalah kandungan sel darah merah yang membawa oksigen. Apabila hemoglobin bergabung dengan oksigen, warna darah menjadi merah cerah. Darah yang mengandungi paras hemoglobin terturun yang banyak berwarna kebiru-biruan jika dilihat pada kulit ataupun membran mukos. | UMUM | |
ABSES | Abses ialah nanah yang terjadi dalam bahagian tubuh yang dijangkiti bakteria. Nanah mengandungi bakteria, plasma darah, dan debris daripada sel yang mati. Ia juga mengandungi sel darah putih yang digunakan oleh badan untuk mencegah jangkitan. Abses biasanya akan kelihatan merah dan bengkak yang boleh pecah dan mengalir. Abses mungkin terjadi di dalam mana-mana tisu yang dijangkiti bakteria. | UMUM | |
TALASEMIA | Talasemia ialah penyakit darah secara keturunan yang menyebabkan anemia. Penyakit ini terjadi terutamanya pada kanak-kanak yang keturunannya berasal dari kawasan Mediterranean. Talasemia juga terjadi pada orang Amerika kulit hitam dan sesetengah orang Asia dan Timur Tengah. Tubuh kanak-kanak yang menghidap talasemia tidak dapat menghasilkan hemoglobin yang mencukupi, iaitu pigmen yang memberikan warna merah pada sel darah. Hemoglobin juga membawa oksigen ke tisu tubuh. Kekurangan hemoglobin menyebabkan organ mangsa kekurangan oksigen yang diperlukan. Gejala talasemia wujud semasa kelahiran atau muncul kira-kira enam bulan kemudian. Gejala ini termasuk kulit pucat, keletihan, kerengsaan, selera terjejas, dan pertumbuhan terencat. Kanak-kanak yang terlibat mempunyai jantung, hati dan limpa yang membesar. Penyakit ini juga mencacatkan dan melemahkan tulang tertentu, khususnya tulang di bahagian muka. | UMUM | |
SENGKENIT LEMBU | Sengkenit lembu , juga dikenali sebagai sengkenit demam Texas, ialah pembawa penyakit demam Texas, sejenispenyakit lembu. Sengkenit ini berbentuk bulat dan berwarna perang berangan. Ia membawa organisma bersel satu yang menyebabkan penyakit tersebut. Sengkenit ini menyuntik organisma satu sel tersebut ke dalam badan lembu dengan air liurnya semasa ia menghisap bendalir badan lembu. Organisma satu sel ini akan membiak dalam darah lembu dan memusnahkan korpuskel darah merah. | UMUM | |