PERTOLONGAN CEMAS | Pertolongan cemas ialah rawatan serta-merta yang diberi kepada mangsa yang mengalami kemalangan, sakit yang mendadak, atau lain-lain kecemasan perubatan. Pertolongan cemas yang betul dapat menyelamatkan nyawa mangsa, lebih-lebih lagi jika mangsa itu mengalami pendarahan yang banyak, terhenti pernafasannya, atau terkena racun. Pertolongan cemas juga boleh mencegah masalah perubatan yang selanjutnya yang terhasil daripada kecederaan atau sakit. | UMUM | |
PERAKUAN KESIHATAN | Perakuan kesihatan ialah sijil yang dikeluarkan dan ditandatangani oleh pihak berkuasa pelabuhan tertentu. Ia memperakukan keadaan kesihatan anak kapal dan penumpang, dan keadaan kebersihan kapal semasa ia hendak belayar. Kapal dikuarantin apabila ada wabak penyakit di atas kapal atau apabila pengasapan diperlukan (lihat Kuarantin). Apabila sesebuah kapal itu tiba di pelabuhan, ia akan dikuarantin sehingga praktik (izin untuk berkomunikasi) telah dibenarkan. Permit praktik percuma mengizinkan kapal untuk masuk tanpa sekatan kuarantin selanjutnya. Praktik sementara menunjukkan syarat yang membolehkan praktik percuma dikeluarkan. | UMUM | |
SUMPAH PEMUDA | SUMPAH PEMUDA, ikrar pergerakan pemuda Indonesia pada masa pergerakan nasional pada 28 Oktober 1928 di Jakarta. Pemuda Indonesia adalah tunggak penting dalam sejarah pertumbuhan bangsa dan negara Indonesia. Ketika dibuat sumpah ini hanya disebut sebagai ‘putusan kongres pemuda pemudi Indonesia’. Istilah Sumpah Pemuda hanya muncul dalam perkembangan kebangsaan Indonesia selanjutnya. Keputusan ini dipersetujui pada penutupan Kongres Pemuda II yang diadakan pada 27-28 Oktober 1928 di Jakarta. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Konsep |
ISLAM DI JAWA | ISLAM DI JAWA, perkembangan agam Islam di Jawa yang mula bertapak di beberapa bandar pesisir utara sejak abad ke-11. Agama Islam dibawa oleh para pedagang Islam yang berdagang di pelabuhan seperti Gresik, Jepara, dan lainnya. Dari sana, agama Islam disebarkan kepada penduduk Jawa. Seterusnya, ‘pusat pendidikan agama’ dan pesantren didirikan oleh penduduk tempatan. Selanjutnya, agama Islam disebarkan melalui pusat pendidikan agama dan pesantren. Antara pemimpin di Jawa yang telah menerima dan mengembangkan agama Islam termasuklah Raden Patah (Raja Islam pertama di Jawa), Sunan Gunung Jati (Sultan Cirebon pertama) dan Maulana Hasanudin (Raja Banten pertama). | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Konsep |
JOSE RIZAL | JOSE RIZAL, (1861- 1896), nasionalis Filipina. Dia lahir pada 19 Jun 1861 di Kalamba, Laguna, Filipina. Dia ialah anak Francisco Mercado dan Teadora Alonza. Dia mendapat pendidikan awal daripada seorang pengajar persendirian di Binyang dan kemudian dihantar ke Manila untuk mengikuti pendidikan selanjutnya. Dia mendaftar diri di Afeneo Municipal untuk mempelajari puisi, matematik, retorika, lukisan dan seni ukir yang dijalankan oleh golongan Jesuit. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Tokoh |
LARAS BAHASA | LARAS BAHASA, ciri gaya penceritaan dalam bahasa baku yang digunakan untuk sesuatu jenis bidang. Ciri-ciri itulah yang membolehkan kita dapat menjangka apa yang menjadi topik utama sesuatu teks sebaik-baik kita membaca ayat pertama. Sebagai contoh, jikalau ayat pertama berbunyi ‘Alkisah, pada suatu masa di zaman dahulu....’, kita terus dapat meneka dengan tepat bahawa apa yang akan kita baca selanjutnya ialah sebuah cerita lama. Ayat seperti itu tidak digunakan untuk teks-teks lain. Laras ialah unsur bahasa, bukan unsur makna. Maksudnya, makna yang sama boleh diungkapkan dalam beberapa laras. Sebagai contoh, topik tentang penyakit kolera boleh diterangkan dalam laras teknikal atau laras umum tanpa mengubah makna yang asal. Satu contoh lagi ialah topik agama boleh diterangkan dengan menggunakan laras agama atau laras umum. | BAHASA | Bahasa |