MUSIM | Musim ialah satu daripada empat tempoh dalam setahun. Setiap musim – bunga, panas, luruh, dan sejuk – berlangsung kira-kira tiga bulan dan membawa perubahan suhu, cuaca, dan panjang waktu siang. | UMUM | |
PUASA | Puasa ialah menahan diri daripada memakan makanan atau jenis-jenis makanan yang tertentu dalam satu tempoh waktu. Asal usul puasa (bukan berkaitan dengan Islam) tidak diketahui. Tetapi adat berpuasa telah menjadi amalan dalam setiap kumpulan agama utama pada sesuatu masa tertentu. | UMUM | |
SELENE | Selene ialah dewi bulan yang utama dalam mitos Yunani. Dewi Luna orang Rom pula menyerupai dewi Selene. Helios, iaitu dewa matahari ialah saudara lelaki Selene. Setiap hari Helios menaiki pedatinya yang bercahaya melintasi angkasa. Pada waktu malam selepas kepulangan Helios, Selene pula menaiki pedatinya sendiri melintasi angkasa. Sinaran daripada mahkotanya yang keemasan itu menerangi kegelapan malam. | UMUM | |
SEMUT BULL | Semut bull termasuk beberapa spesies semut di Australia. Kebanyakannya adalah besar. Sayap semut betina sesetengah spesies tumbuh sepanjang dua sentimeter. Semut bull ini boleh menyebabkan gigitan yang menyakitkan dengan rahangnya panjang, dan menonjol. Ia juga boleh menyengat. Semut ini tidak mudah takut dan akan menyerang pada waktu tertentu. Hanya beberapa ratus ekor semut tinggal dalam setiap sarang. Ia membuat sarang di dalam tanah, biasanya di pangkal pokok atau tunggul. Semut pekerja memberi lundinya makan bangkai haiwan. Ahli sains menggangap semut bull ini antara semut yang paling primitif. Ia tidak mempunyai struktur sosial sekompleks spesies yang lebih maju. | UMUM | |
PERWAKILAN BERKADAR | Perwakilan berkadar ialah satu sistem memilih anggota dewan perundangan. Sistem ini dirangka untuk memberi parti politik dalam dewan perundangan kerusi menurut kadar bahagiannya daripada jumlah keseluruhan undi dalam pemilihan. Sistem ini juga menawarkan peluang kepada calon parti minoriti supaya dapat dipilih. Perwakilan berkadar mempunyai tiga ciri asas: (1) tiga orang atau lebih ahli dewan perundangan dipilih dari tiap-tiap daerah pada waktu yang sama; (2) kertas undi dikira dengan cara khas untuk memberikan setiap parti politik bahagian undi yang dibuang; dan (3) biasanya terdapat lebih daripada dua buah parti politik yang aktif. Unsur- unsur ini terdapat dalam Sistem Senarai dan Sistem Hare . | UMUM | |
LEMBAGA MALAYA | LEMBAGA MALAYA, akhbar Melayu. Akhbar ini diterbitkan pada tahun 1934 oleh Onn bin Ja’afar dan Syed Omar Albar. Lembaga Malaya ialah akhbar mingguan dan diterbitkan pada setiap hari Isnin, di North Bridge Road, Singapura. Akhbar ini mempunyai 36 halaman dengan menggunakan tulisan Jawi. Pengarang utamanya ialah Onn bin Ja’afar dan dibantu oleh Syed Ja’afar Albar, sebagai penolong pengarang bahagian agama Islam. Akhbar ini menjadi salah satu bahan bacaan yang penting bagi masyarakat Melayu di selatan Tanah Melayu pada waktu itu. | SASTERA | Penerbitan |
SUARA MALAYSIA | SUARA MALAYSIA, rancangan penyiaran khas untuk pendengar di luar Malaysia. Suara Malaysia ditubuhkan sebagai Suara Malaya pada 15 Februari 1963. terdapat tiga perkhidmatan pada peringkat permulaan, iaitu siaran bahasa Indonesia, bahasa Inggeris dan bahasa Mandarin. Setiap unit mengendalikan satu jam masa siaran sehari. Tujuan awal penubuhan Suara Malaysia adalah untuk membanteras propaganda anti-Malaysia dan dasar Konfrontasi Indonesia. Sambutan yang menggalakkan daripada pendengar di Indonesia menyebabkan Suara Malaysia menambah waktu siaran. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Institusi/Organisasi |