SIDANG | SIDANG, satu jawatan dalam pentadbiran kampung tradisi di Melaka, baik dalam daerah yang mengamalkan adat perpatih seperti di Naning, mahupun di daerah-daerah lain yang mengamalkan adat temenggung, seperti di Alor Gajah atau bandar Melaka. Asal usul perkataan sidang dipercayai berasal dari Sumatera, khususnya di Minangkabau. Dalam penggunaannya di Melaka, ia bertunjang kepada adat perpatih, walaupun konsepnya berlainan, iaitu berdasarkan wilayah dan bukan keturunan perut atau suku. | BUDAYA | Konsep |
BAHAGIAN BAHASA MELAYU USM | BAHAGIAN BAHASA MELAYU USM, bahagian yang menawarkan kursus Bahasa Melayu kepada guru Bahasa Melayu. Bahagian ini ditubuhkan pada sidang akademik 1980/81 dalam Unit Bahasa Universiti Sains Malaysia. | BAHASA | Konsep |
DEWAN SISWA | DEWAN SISWA, majalah bulanan khusus untuk golongan remaja dan pelajar sekolah menengah. Majalah ini diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur sejak Januari 1979, dengan moto “Bulanan Pengetahuan dan Kreatif Siswa Menengah”. Majalah ini berukuran 21 cm x 28 cm. Anggota sidang pengarang pertama majalah ini terdiri daripada M. Noor Azam sebagai ketua pengarang, Haji Ahmad Ismail (Ajikik) sebagai pengarang, Jaafar Abdul Rahim, Mohammad Bahadon dan Kamariah Yusof sebagai penolong pengarang. | SASTERA | Penerbitan |
TITIE SAID | TITIE SAID (1935 - ), penulis Indonesia. Dia lahir pada 11 Julai 1935 di Bojonegoro, Jawa Timur, Indonesia. Nama penuhnya ialah Titie Raya Said Sadikun. Dia adalah pelajar arkeologi di Universitas dan mendapat ijazah Sarjana Muda pada tahun 1959. dia pernah menjadi sidang redaksi beberapa terbitan berkala seperti Wanita, Hidup dan Kartini dan pada tahun 1980, dia memimpin pula majalah Famili. Dia turut menjadi anggota DPRD Tingkat I Propinsi Bali setelah mengikut suaminya bertugas di sana | SASTERA | Tokoh |
PIAGAM JAKARTA | PIAGAM JAKARTA, persetujuan yang dicapai antara nasionalis Islam dengan nasionalis (kebangsaan) Indonesia mengenai pembentukan negara bangsa Indonesia menjelang pengisytiharan kemerdekaan Indonesia. Persetujuan ini telah dicapai oleh Badan Penyelidik Usaha-Usaha Persiapan Kemerdekaan Indonesia (BPUPKI), iaitu satu panitia yang telah dibentuk pada 28 Mei 1945. Pada sidang kedua BPUPKI, satu panitia kecil telah ditubuhkan. Ahli-ahlinya terdiri daripada Sukarno, Mohammad Hatta, A.A. Maramis, Abiskusno Tjokrosujoso, Abdul Kahar Muzakar, Haji Agus Salim, Ahmad Subardjo, Wahid Hasjim dan Muhammad Yamin. Pada 22 Jun 1945, panitia ini berjaya mencapai suatu modus persetujuan yang kemudian dikenal sebagai Piagam Jakarta (Jakarta Charter). Kandungan Piagam Jakarta hampir sepenuhnya tercermin dalam Pembukaan Undang-Undang Dasar 1945 (UUD 45), iaitu sistem pemerintahan negara Indonesia. Modus persetujuan itu juga mempengaruhi rumusan rancangan UUD bagi Indonesia merdeka. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Konsep |
IDARAN ZAMAN | IDARAN ZAMAN, akhbar mingguan tulisan Jawi yang diterbitkan pada tiap-tiap hari Jumaat. Akhbar ini mula diterbitkan pada 1 Januari 1925 di Pulau Pinang. Usaha untuk menerbitkannya dilakukan oleh Haji Abdul Aziz. Sidang pengarang pertama akhbar ini ialah Mohd. Yunos Abdul Hamid, dari 1 Januari 1925 hingga Ogos 1938. | SASTERA | Karya |
BAKRI SIREGAR | BAKRI SIREGAR (1922 - ), penulis Indonesia. Dia lahir pada 14 Disember 1922 di Langsa, Aceh, Indonesia. Bakri Siregar pernah bertugas sebagai sidang pengarang akhbar Pendorong dan majalah Arah di Medan. Namun sebagai seorang pakar dalam bidang bahasa dan sastera Indonesia, dia lebih banyak mengajar. Dari tahun 1956 hingga tahun 1957, Bakri mengajar di University of Warsaw, Poland. Dia pernah menjadi pensyarah bahasa Indonesia di Falkutas Keguruan dan Ilmu Pendidikan, Universitas Sumatera Utara, Medan (1957 – 1959) di samping mengajar di sekolah swasta. Setelah itu, dia dilantik sebagai pensyarah Sejarah Sastera Indonesia Moden di Universiti Beijing, China (1959 – 1962). Bakri pernah menjadi anggota Pimpinan Pusat Lembaga Kebudayaan Rakyat (LEKRA) (1959 – 1965); Ketua Umum, Lembaga Sastera LEKRA (hingga 1965), dan setelah Gerakan 30 September (GESTAPU) meletus, dia ikut ditahan hingga tahun 1977. | SASTERA | Tokoh |
SENI | SENI, majalah bulanan kesenian. Ia diterbitkan di Jakarta pada tahun 1955. Majalah yang terbit selama satu tahun (12 keluaran) ini memuatkan cerpen, puisi, drama, esei, sketsa dan vignet. Sidang pengarangnya ialah H.B. Jassin, Trisno Sumardjo, Amir Pasaribu dan Zaini. Majalah ini diterbitkan di Jalan Gunung Sahari, No. 46 Jakarta, Indonesia. | SASTERA | Penerbitan |
WAWASAN 2020 | WAWASAN 2020, wawasan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara industri maju menurut acuan sendiri menjelang tahun 2020. Wawasan 2020 dicetuskan oleh Dr. Mahathir bin Mohamad, Perdana Menteri Malaysia, dalam ucapannya yang bertajuk “Malaysia Melangkah Ke Hadapan” yang dibentangkan dalam sidang pertama Majlis Perdagangan Malaysia pada 28 Februari 1991 di Kuala Lumpur. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Kegiatan |
JURNAL PERSATUAN LINGUISTIK MALAYSIA | JURNAL PERSATUAN LINGUISTIK MALAYSIA, jurnal terbitan persatuan ahli bahasa dan penggiat bahasa Melayu di Malaysia. Jurnal ini terbit kali pertama pada tahun 1983. sidang Editornya terdiri daripada Prof. Dr. Nik Safiah Karim selaku Ketua Editor, Dr. Abd. Aziz Idris selaku Editor dan Prof. Dr. Farid M. Onn serta Awang Sariyan selaku Editor Pelaksana. | BAHASA | Karya |