SOUTH SEA BUBBLE | South Sea Bubble ialah bencana kewangan yang menggegar kerajaan Britain pada awal tahun 1700-an. South Sea Company yang ditubuhkan pada tahun 1711 untuk mempertingkatkan dagangan antara Britain dengan Amerika Selatan memonopoli dagangan pada tahun 1718 dengan memberi rasuah kepada beberapa orang ahli parlimen. Sebagai balasan, syarikat ini sanggup mengambil alih beban hutang negara. Spekulasi menyebabkan harga saham melambung naik dari 100 paun ke-1000 paun. | UMUM | |
NEW SOUTH WALES | New South Wales ialah negeri yang terletak di tenggara Australia. Ia disempadani oleh Queensland di utara, Lautan Pasifik di timur, Victoria di selatan, dan Australia Selatan di barat. New South Wales mempunyai tiga bandar utama – Sydney, Newcastle, dan Wollongong. Lebih separuh penduduk negeri itu tinggal di Sydney. | UMUM | |
TELUK JERVIS | Teluk Jervis ialah serokan di pantai New South Wales, Australia. Kerajaan Persekutuan mempunyai hak terhadap teluk tersebut dan kawasan seluas 73 kilometer persegi di sekelilingnya. Tentera Laut Australia menggunakan teluk berkenaan sebagai sebuah pangkalan bagi kapal mereka. Pada tahun 1915, New South Wales menyerahkan kuasa terhadap kawasan tersebut kepada kerajaan persekutuan untuk dijadikan sebuah pelabuhan bagi Wilayah Persekutuan Australia. | UMUM | |
TASIK GEORGE | Tasik George, terletak di New South Wales, Australia iaitu 32 kilometer di timur laut Canberra. Tasik ini terletak kira-kira 600 meter di atas aras laut. Apabila tasik tersebut dipenuhi air, panjangnya kira-kira 25 kilometer dan lebarnya 10 kilometer dan meliputi suatu kawasan yang seluas 96 kilometer persegi. Tasik tersebut menjadi kering dari semasa ke semasa. Ketika paras hujan tinggi dan penyejatan rendah, Tasik George dipenuhi ikan dan boleh digunakan untuk perlumbaan bot. Pada ketika lain, tebingnya merupakan dataran berumput yang boleh dibajak untuk bercucuk tanam. Untuk lokasinya, lihat New South Wales (peta). | UMUM | |
LIGHTNING RIDGE | Lightning Ridge ialah pusat perlombongan opal yang terletak di kawasan tengah, utara New South Wales, Australia. Ia terletak lebih kurang 770 kilometer dari Sydney, 75 kilometer ke utara Walgett, dan 50 kilometer ke selatan sempadan Queensland. Ia adalah lombong opal yang paling produktif di New South Wales dan sumber terbesar opal hitam (batu baiduri) yang berkualiti tinggi di dunia. | UMUM | |
TEROWONG PELABUHAN SYDNEY | Terowong Pelabuhan Sydney , di New South Wales , Australia, ialah jalan perhubungan empat hala sepanjang 2.3 kilometer antara lebuh raya ke utara dengan selatan Pelabuhan Sydney. Projek tersebut yang dibiayai bersama oleh sebuah syarikat Australia dan sebuah syarikat Jepun, termasuk tiub bawah aras laut sepanjang 960 meter melintasi pelabuhan, yang dipasang pada lurah yang dibina di dasar laut. Tiub tersebut terdiri daripada lapan bahagian. Setiap bahagian ialah sepanjang 120 meter dan seberat 23 000 tan metrik. Terowong ini dibuka kepada lalu lintas pada bulan Ogos 1992. | UMUM | |
SYDNEY HARBOUR BRIDGE | Sydney Harbour Bridge di New South Wales ialah jambatan Australia yang paling terkenal di Australia dan salah sebuah jambatan satu rentangan yang paling panjang di dunia. Bersama dengan rentangan jalan masuknya, panjangnya ialah 1149 meter. Jambatan ini terbentang menyeberangi Pelabuhan Sydney dari Dawes Point ke Milsons Point. Jambatan ini, yang dibuka pada 19 Mac 1932, mengambil masa sembilan tahun untuk dibina dan menelan belanja hampir 20 juta dolar Australia. | UMUM | |
MACARTHUR, JOHN | Macarthur, John (1767–1834), mengasaskan industri bulu biri-biri di Australia. Dia tiba di New South Wales pada tahun 1790, sebagai pegawai tentera British. Pada waktu itu kerajaan British menganggap koloni tersebut semata-mata sebagai sebuah petempatan penal dan peneroka yang tiba terpaksa berusaha sendiri untuk menampung hidup mereka. Macarthur mempunyai wawasan yang berbeza. Dia percaya bahawa peneroka yang telah dibebaskan boleh mengembangkan perdagangan dan pertanian di New South Wales dan menjadikan diri mereka dan koloni tersebut kaya. Dia berpegang kuat kepada kepercayaan ini dan berjuang untuk menjayakannya sepanjang hidupnya. Dia berjuang tanpa kompromi dan dengan perasaan yang sombong. Akibatnya, dia mempunyai sedikit sahabat dan banyak musuh. | UMUM | |
PERPUSTAKAAN MITCHELL | Perpustakaan Mitchell, di Sydney, New South Wales , mengandungi koleksi penyelidikan berjumlah lebih 200 000 buah buku bercetak dan beberapa ribu manuskrip, peta, lukisan, cetakan, dan gambar tentang Australia. Koleksi ini juga meliputi koleksi kawasan Pasifik dari Indonesia hingga ke Hawaii, dan dari Filipina hingga ke Antartik. | UMUM | |
SNOWY | Snowy ialah sebatang sungai di tenggara New South Wales dan timur Victoria, Australia. Sungai ini bermula berhampiran Gunung Kosciusko di Pergunungan Snowy dan mengalir kira-kira sejauh 430 kilometer menuju muaranya berhampiran Orbost di timur Gippsland. Sungai ini mempunyai kawasan tadahan seluas 12 945 kilometer persegi. Sungai ini menjadi masyhur apabila penyair berketurunan Australia yang bernama Banjo Paterson menerbitkan puisinya, “The Man from Snowy River” pada tahun 1895 (lihat Paterson, Banjo). | UMUM | |