SOVIET | Soviet ialah perkataan bahasa Rusia yang bermaksud majlis. Kumpulan revolusioner Rusia digelar soviet. Soviet pertama ditubuhkan semasa berlaku pemberontakan pekerja Rusia pada tahun 1905. Soviet dibentuk di seluruh Rusia selepas kejatuhan Tsar pada bulan Mac 1917. Soviet ini berbentuk majlis yang dianggotai oleh pekerja, petani dan tentera. Majlis ini mengumpul sokongan rakyat terhadap rancangan pihak Sosialis untuk membentuk sebuah kerajaan Rusia. | UMUM | |
KESATUAN REPUBLIK SOSIALIS SOVIET (K.R.S.S.) | Kesatuan Republik Sosialis Soviet (K.R.S.S.), juga dikenali sebagai Kesatuan Soviet, ialah negara Komunis pertama dan paling kuat di dunia. Negara ini wujud dari tahun 1922 hingga tahun 1991. Pada tahun 1991, Parti Komunis hilang kuasa, dan Kesatuan Soviet berpecah menjadi beberapa buah negara merdeka. | UMUM | |
SAKHAROV, ANDREI DMITRIYEVICH | Sakharov, Andrei Dmitriyevich (1921–1989) ialah ahli fizik Soviet yang menjadi terkemuka kerana penyelidikannya tentang tindak balas termonuklear terkawal. Usahanya membantu ahli sains Soviet mencipta bom hidrogen pada awal tahun 1950-an. Tetapi, Sakharov menjadi terkenal kerana usahanya mempromosi hak asasi manusia dan keamanan dunia. Dia dianugerahi Hadiah Nobel tahun 1975 kerana usaha ini. Mulai akhir tahun 1960-an, Sakharov dan isterinya Yelena Bonner, berkali-kali mengkritik kerajaan Soviet dengan menuduhnya tidak memberikan hak asasi manusia kepada warganegara Soviet. Pada tahun 1980, Sakharov ditangkap oleh pihak berkuasa Soviet dan dibuang negeri ke Gorki (kini Nizhniy Novgorod), iaitu bandar yang tertutup kepada orang asing. Pada tahun 1986, dia dibebaskan dan dibenarkan pulang ke Moscow. Pada tahun 1989, Sakharov dipilih menjadi ahli dewan perundangan Soviet yang baru dibentuk yang dinamakan Kongres Wakil Rakyat. | UMUM | |
MOLOTOV, VYACHESLAV MIKHAILOVICH | Molotov, Vyacheslav Mikhailovich (1890– 1986), terkenal semasa menjadi Menteri Luar Kesatuan Soviet selama dua penggal. Dia diturunkan pangkat pada tahun 1957 kerana penentangannya terhadap Nikita S. Khrushchev, Setiausaha Pertama Parti Komunis Soviet. Dia dipecat daripada menganggotai Presidium Parti Komunis dan dapat dianggap seperti dibuang negeri apabila dia dilantik sebagai duta ke Mongolia Luar. Pada tahun 1960, dia menjadi wakil Soviet ke Agensi Tenaga Atom Antarabangsa di Vienna, Austria. Parti Komunis Soviet mengutuknya pada tahun 1961, dan dia pun pulang ke Moscow. Pada tahun 1962, dia disingkirkan daripada parti. Majlis Tertinggi Soviet mengarahkan namanya ditarik balik daripada digunakan untuk bandar, bangunan, dan objek lain di seluruh Soviet. Dia dilantik semula sebagai anggota parti pada tahun 1984. | UMUM | |
ROMANOV, GRIGORIY VASILYEVICH | Romanov, Grigoriy Vasilyevich (1923– ), tokoh terkemuka Parti Komunis Kesatuan Soviet. Parti Komunis menguasai kerajaan Kesatuan Soviet sehingga tahun 1991. Romanov telah berkhidmat sebagai ahli penuh Politburo parti tersebut dari tahun 1976 hingga tahun 1985, dan sebagai ahli Urusetia Jawatankuasa Pusat Parti tersebut dari tahun 1983 hingga tahun 1985. Dia juga merupakan ahli Presidium dari tahun 1970 hingga tahun 1985. Politburo merupakan badan yang menentukan dasar parti dan urusetia mengurus pentadbiran hariannya. Presidium ialah sebuah badan penting bagi kerajaan Soviet. Pada tahun 1985, Romanov memohon untuk bersara dari semua jawatan, disebabkan kesihatannya yang tidak mengizinkan. Akan tetapi ramai pemerhati berpendapat bahawa dia telah digugurkan kerana dia telah kehilangan pengaruh dalam parti. | UMUM | |
ANDROPOV, YURI VLADIMIROVICH | Andropov, Yuri Vladimirovich (1914–1984), berkhidmat sebagai Setiausaha Agung Parti Komunis Kesatuan Soviet dari bulan November 1982 hingga kematiannya pada bulan Februari 1984. Pada masa itu, jawatan Setiausaha Agung sangat berkuasa di Kesatuan Soviet. Andropov juga berkhidmat sebagai Pengerusi Presidium of the Supreme Soviet – Ketua Negara Kesatuan Soviet pada masa yang sama – dari bulan Jun 1983 hingga kematiannya. Andropov telah menjadi polis rahsia negara, KGB, dari tahun 1967 hingga bulan Mei 1982. Dia kemudian menjadi Ahli Sekretariat Jawatankuasa Pusat Parti Komunis. | UMUM | |
NEGARA-NEGARA BALTIK | Negara-negara Baltik terdiri daripada negara Estonia , Latvia dan Lithuania. Ketiga-tiga negara ini merdeka dari tahun 1918 hingga tahun 1940, apabila negara-negara ini dirampas oleh Kesatuan Soviet dan dijadikan republik Soviet. Pada tahun 1991, setiap negara itu berpecah dari Kesatuan Soviet dan mencapai kemerdekaan semula. | UMUM | |
PRAVDA | Pravda ialah akhbar rasmi Parti Komunis Kesatuan Soviet hingga Parti Komunis itu hilang kuasanya dalam kerajaan Soviet pada tahun 1991. | UMUM | |
ZHUKOV, GEORGI KONSTANTINOVICH | Zhukov, Georgi Konstantinovich (1896–1974) ialah pegawai tentera Rusia yang menjadi wira Kesatuan Soviet dalam Perang Dunia II (1939–1945). Pada tahun 1941, dia menubuhkan pasukan untuk mempertahankan bandar Moscow dan juga bertanggungjawab terhadap kemenangan Soviet di Stalingrad (kini Volgograd) pada tahun 1942 dan 1943. Dia mengetuai tentera Soviet menawan Berlin pada tahun 1945. Pada tahun 1943, Zhukov menjadi marsyal – pangkat paling tinggi dalam tentera darat Soviet. | UMUM | |
SHOSTAKOVICH, DIMITRI | Shostakovich, Dimitri (1906–1975) ialah penggubah Rusia yang paling penting. Pendidikan muzik dan kerjayanya hanya di Kesatuan Soviet (lihat Kesatuan Republik Sosialis Soviet). Karya utamanya ialah 15 simfoni dan 15 kuartet alat tali. Dia juga menulis konserto, lagu, nota muzik filem, balet, dan opera. Gubahannya yang paling popular termasuk “Polka” yang rancak daripada balet The Golden Age (1930). | UMUM | |