SURAH MUHAMMAD | Surah Muhammad ialah salah satu daripada surah Makkiyyah, surah yang ke-47 mengikut susunan surah-surah al-Qur’an al-Karim dan mengandungi 38 ayat. Surah ini dinamakan demikian kerana memfokuskan keadaan orang yang beriman dengan Nabi Muhammad s.a.w. dan juga orang yang mendustai kerasulannya. | UMUM | |
SURAH AL-INSHIRAH | Surah al-Inshirah ialah salah satu daripada surah Makkiyyah, surah yang ke-94 mengikut susunan surah-surah al-Qur’an dan mengandungi lapan ayat. Surah ini dinamakan al-Inshirah (perihal melapangkan dada Nabi) kerana dalam ayat pertamanya Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud: “Bukankah Kami telah lapangkan dadamu (wahai Muhammad serta mengisinya dengan iman dan hidayah petunjuk)?” (Surah al-Inshirah 94:1) | UMUM | |
SURAH AL-MUZZAMMIL | Surah al-Muzzammil ialah salah satu daripada surah Makkiyyah, surah yang ke-73 mengikut susunan surah-surah al-Qur’an dan mengandungi 20 ayat. Surah ini dinamakan al-Muzzammil (orang yang berselimut) kerana Allah S.W.T. menggunakan perkataan itu ketika menyeru Rasulullah s.a.w. seperti firman Allah S.W.T. yang bermaksud: “Wahai orang yang berselimut, (Muhammad)”. (Surah al-Muzzammil 73:1) | UMUM | |
SURAH AL-GHASHIYAH | Surah al-Ghashiyah ialah salah satu daripada surah Makkiyyah, surah yang ke-88 mengikut susunan surah-surah al-Qur’an dan mengandungi 26 ayat. Surah ini dinamakan al-Ghashiyah (hari kiamat yang huru-hara) kerana ada disebutkan di dalam ayat yang pertama sebagaimana dalam firman Allah S.W.T. yang bermaksud: “Sudahlah sampai kepadamu (wahai Muhammad) perihal hari kiamat yang huru-haranya meliputi?” (Surah al-Ghashiyah 88:1) | UMUM | |
SURAH AL-IKHLAS | Surah al-Ikhlas adalah salah satu daripada surah Makkiyyah, surah yang ke-112 mengikut susunan surah-surah al-Qur’an dan mengandungi empat ayat. Surah ini dinamakan dengan al-Ikhlas (ikhlas) kerana ia menceritakan tentang kebenaran iman yang tidak diselit oleh sifat riya’. Diriwayatkan bahawa golongan musyrikin datang bertemu Rasulullah s.a.w., lantas berkata: “Wahai Muhammad, gambarkan kepada kami tentang Tuhan kamu. Adakah ia daripada emas ataupun perak, atau batu delima ataupun batu jed? Maka turunlah ayat yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad) bahawa Allah itu Maha Esa. Allah tempat bergantung”. (Surah al-Ikhlas 112:1–2) | UMUM | |
SURAH AL-HUJURAT | Surah al-Hujurat ialah salah satu daripada surah Madaniyyah, surah yang ke-49 mengikut susunan surah-surah al-Qur’an dan mengandungi 28 ayat. Surah ini dinamakan al-Hujurat (bilik-bilik) kerana Allah S.W.T. menyebut tentang kemuliaan rumah Nabi Muhammad s.a.w., di dalamnya terdapat bilik-bilik yang telah diduduki oleh isteri-isteri Rasulullah s.a.w. yang suci. | UMUM | |
SURAH AL-DUKHAN | Surah al-Dukhan ialah salah satu daripada surah Makkiyyah, surah yang ke-44 mengikut susunan surah-surah al-Qur’an dan mengandungi 57 ayat. Surah ini dinamakan al-Dukhan (asap) kerana Allah S.W.T. menurunkan ayat ini untuk menakutkan (menggerunkan) orang-orang kafir dengan mengazabkan mereka dengan kemarau dan kelaparan disebabkan pendustaan mereka terhadap rasul. Allah S.W.T. telah mengutuskan mereka asap tebal yang menyebabkan mereka hampir binasa tetapi Nabi Muhammad s.a.w. telah menyelamatkan mereka dengan berkat doanya. | UMUM | |
SURAH AL-SYU'ARA' | Surah al-Syu‘ara’ ialah salah satu daripada surah Makkiyyah, surah yang ke-26 mengikut susunan surah-surah al-Qur’an dan mengandungi 127 ayat. Surah ini dinamakan al-Syu‘ara’ (para penyair) kerana Allah S.W.T. menyebut di dalamnya perihal para penyair. Ia bertujuan untuk menolak anggapan musyrikin yang mengatakan Nabi Muhammad s.a.w. seorang penyair dan semua yang dibacakan olehnya ialah syair-syair. Oleh itu, Allah S.W.T. menolak anggapan tersebut melalui surah ini. | UMUM | |
SURAH AL-ANFAL | Surah al-Anfal ialah salah satu daripada surah Madaniyyah, surah yang kelapan mengikut susunan surah-surah al-Qur’an dan mengandungi 75 ayat. Surah ini dinamakan al-Anfal (harta rampasan perang) kerana ayatnya dimulai dengan firman Allah S.W.T. yang bermaksud: “Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang harta al-Anfal (rampasan perang)”. (Surah al-Anfal 8:1) | UMUM | |
SURAH AL-FURQAN | Surah al-Furqan ialah salah satu daripada surah Makkiyyah, surah yang ke-25 mengikut susunan surah-surah al-Qur’an dan mengandungi 77 ayat. Surah ini dinamakan al-Furqan kerana Allah S.W.T. menyebut tentang al-Qur’an melalui ayat-ayat surah ini dengan menyatakan bahawa ia adalah kitab yang diturunkan kepada hamba-Nya, Muhammad s.a.w. Al-Qur’an adalah suatu nikmat yang terbesar kepada seluruh manusia kerana ia umpama cahaya terang dan gemilang yang dijadikan oleh Allah S.W.T. sebagai pembeza antara kebenaran dengan kebatilan, antara cahaya dengan kegelapan serta antara kekufuran dengan keimanan. Lantaran itu al- Qur’an selayaknya diberi nama al-Furqan atau pemisah. | UMUM | |