SUSU PEKAT | Susu pekat ialah susu yang telah dipasteurkan dan dipekatkan. Ia dibuat dengan menyejatkan air daripada susu untuk mengurangkan isi padu susu sebanyak setengah susu. Susu ini tidak disteril, dan mesti disimpan dalam peti sejuk untuk mencegahnya daripada rosak. Susu pekat adalah sumber protein, kalsium, dan vitamin B2 yang baik. | UMUM | |
SUSU SEJAT | Susu sejat ialah susu manis penuh yang kirakira 60 peratus airnya telah dikeluarkan. Susu sejat disediakan dengan memanaskan susu penuh pasteur homogen dalam tangki vakum untuk menyejatkan airnya. Susu ini kemudiannya ditinkan, dikedapkan dan serta-merta disteril dengan haba. Tidak seperti susu pekat, susu sejat tidak ditambah dengan gula untuk mengawetnya, tetapi vitamin D sering ditambah untuk pemakanan. John Meyenberg, pereka berbangsa Switzerland, menerima paten pada tahun 1884 kerana pertama kali berjaya mencipta kaedah memekatkan susu tanpa menambah gula. Lihat juga Susu. | UMUM | |
SAPPORO | Sapporo (pend. 1 542 979) ialah ibu negeri Hokkaido, pulau yang paling utara di Jepun. Ia terletak di bahagian barat pulau berhampiran Teluk Otaru. (Lihat Jepun [peta politik]). Sapporo dibina pada tahun 1871, dan dibentuk berdasarkan bandar di negara Barat. Ia menjadi pusat pembuatan dan kebudayaan pulau itu. Keluarannya meliputi kain jerami, barangan getah, susu pekat dan kacang soya yang diproses. Tarikan utama Sapporo meliputi Hokkaido University dan taman bunganya yang khusus kepada flora alpin. Penduduk dan pengunjung menikmati cerun ski yang terletak di subbandar dan mata air panas Jozãnkei, 18 kilometer ke barat daya bandar. Pada tahun 1972, Sukan Olimpik Musim Sejuk berlangsung di Sapporo. | UMUM | |
KUMIS | Kumis ialah minuman yang ditapai yang dibuat daripada susu kuda atau susu unta. Perkataan ini juga dieja koumis, koumiss, atau koumyss. Kumis adalah jernih, masam, lut sinar, pekat, dan berbuih seperti soda berkarbonat. | UMUM | |
SOW THISTLE | Sow thistle ialah nama bagi sekumpulan rumpai yang tumbuh liar di Eropah. Sow thistle tahunan tumbuh dari 60 sentimeter hingga 90 sentimeter tingginya dan mempunyai batang bercabang. Ia mengandungi jus seperti susu, dan kuntum bunganya mempunyai gugusan bunga kecil bak dandelian berwarna kuning pucat. Sow thistle saka mempunyai bunga berwarna kuning pekat. | UMUM | |