Mahdiy, Muhammad Ahmad al- (1260 H.– 1302 H./1844 M.–1885 M.), tokoh politik dan pemimpin agama di Sudan. Nama sebenarnya ialah Muhammad Ahmad ibn al-Sayyid ‘Abdullah yang juga digelar al-Mahdiy. Dia lahir di Pulau Labab di wilayah Danqala, di utara Sudan. Bapanya bekerja dalam industri pembuatan kapal layar di Sungai Nil, dan berasal daripada keluarga bangsawan. Dia mempelajari al-Qur’an di Khartoum sambil berguru kepada Syeikh Muhammad al-Khayr dalam bidang fiqah. Dia cenderung kepada bidang tasawuf. Oleh sebab itu, dia berguru dengan Syeikh Muhammad Sharif Nur al-Da’im, guru tarekat sufi al-Samaniyyah pada tahun 1273 H./1861 M. sehingga bertaraf syeikh (imam/guru). Dia kemudiannya pergi ke Pulau Aba lantas membina sebuah masjid untuk tujuan ibadat dan pengajian. Dakwahnya mendapat sambutan ramai di wilayah Jazirah yang terletak di tengah Sudan. Sepanjang tahun 1295 H./1876 M., al-Mahdiy dan gurunya, Muhammad Syarif sentiasa berselisih pendapat hinggakan mereka berpisah. Selepas itu, dia bergabung dengan Syeikh al- Qurshiy, salah seorang guru tarekat Samaniyyah sehingga Syeikh al-Qurshiy meninggal dunia. Dia diamanahkan untuk menggantikan tempat Syeikh al-Qurshiy dan menjadi guru tarekat Samaniyyah. Semasa berada dalam tarekat ini, dia berkenalan dengan ‘Abdullah al-Ta‘ayushiy. |