Nasafiy, Abu al-Barakat -al (meninggal dunia pada 710 H/1310 M), ahli fiqh Mazhab Hanafi, dan ahli tafsir. Nama sebenarnya ialah ‘Abdullah ibn Ahmad ibn Mahmud Hafiz al-Din Abu al-Barakat. Namanya dinisbahkan kepada nama tempat asalnya iaitu daerah Nasaf di Sind. Buku-buku bibliografi tokoh tidak menyebut tarikh kelahirannya. Al- Nasafiy belajar dari beberapa orang ulama pada zamannya, antaranya ialah Shams al-Din al-Kurdy dan Ahmad al-‘Itabiy. Al-Nasafiy ialah salah seorang ulama mutakhir yang zuhud dan beramal dengan ilmunya. Dia mempunyai banyak karya dalam bidang ilmu Fiqh, Usuluddin dan juga Tafsir. Antara karyanya yang terkenal ialah kitab tafsirnya Madarik al-Tanzil wa Haqa’iq al-Ta’wil iaitu sebuah kitab tafsir yang sederhana bentuknya yang diringkaskan daripada kitab tafsir al-Kashaf dan tafsir al-Baydawiy. Al-Nasafiy meninggal dunia di negeri Izaj berdekatan Asbahan. |