MUMIA | Mumia ialah mayat yang telah diawet dan dipulihara selama beribu-ribu tahun. Orang Mesir purba percaya bahawa orang yang telah mati terus hidup di alam lain dan tubuhnya perlu dipelihara selama-lamanya seolah-olah orang itu hidup. Mereka percaya tubuh mayat diperlukan oleh si mati dalam alam tersebut dan mereka berusaha keras untuk mencari kaedah pengawetan. Beribu-ribu tahun kemudian, ahli kaji purba telah menjumpai banyak mayat yang telah diawet di dalam makam. Kebanyakan muzium di seluruh dunia mempunyai satu atau lebih mumia orang Mesir. Mumia yang paling terkenal kemungkinannya ialah mumia Ramses II dan Tutankhamen, iaitu firaun (pemerintah) Mesir. | UMUM | |
TARPAN | Tarpan ialah kuda liar yang hidup di hutan di Eropah dan di steppe di Rusia. Tarpan telah pupus sejak tahun 1800-an. Ahli sains percaya bahawa mereka telah membiakkan baka kuda yang sama seperti kuda dari hutan Eropah yang asal. Ahli sains ini menjalankan kerja mereka di Zoo Hellabrunn di Munich, Jerman. Mereka telah mencipta proses pembiakan baka semula yang menghasilkan seekor kuda kecil pada tahun 1950-an yang kelihatan seperti tarpan purba. Lihat juga Kuda (Kuda liar); Kuda Przewalski. | UMUM | |
SELKIRK, EARL OF | Selkirk, Earl of (1771–1820) ialah penjajah Scotland yang telah membuka Kanada Barat untuk petempatan pada awal tahun 1800-an. Dia telah menubuhkan Tanah Jajahan Sungai Merah, iaitu petempatan awal, kini dikenali sebagai Manitoba (lihat Manitoba ). | UMUM | |
PTEROSAUR | Pterosaur ialah anggota sekumpulan reptilia terbang yang telah pupus. Pterosaur hidup pada Era Mesozoik, dari kira-kira 240 juta hingga 65 juta tahun dahulu. Fosilnya telah dijumpai di setiap benua. | UMUM | |
ANUGERAH SASTERA NEGARA | Anugerah Sastera Negara ialah anugerah yang diberikan oleh Kerajaan Malaysia kepada sasterawan yang menulis dalam bahasa Melayu, yang dianggap telah mencapai satu tahap yang telah ditetapkan oleh penganjur. Di samping itu sasterawan yang layak dianugerahi dengan hadiah sastera tertinggi negara ini mestilah telah memberikan sumbangan yang cemerlang dalam perkembangan kesusasteraan tanah air dengan menghasilkan karya yang bermutu tinggi. | UMUM | |
MIKROFILEM | Mikrofilem ialah sejenis filem foto yang merakamkan imej bahan bercetak atau bahan lain yang telah dikecilkan. Oleh sebab saiz imej ini telah dikecilkan, mikrofilem boleh menyimpan sejumlah besar maklumat dalam ruang yang kecil. Proses membuat salinan mikrofilem disebut sebagai mikrofotografi. | UMUM | |
ANUGERAH SENIMAN NEGARA | Anugerah Seniman Negara ialah penghargaan dan penghormatan kerajaan Malaysia kepada seseorang yang telah mencapai satu tahap yang telah ditetapkan oleh penganjur. Antara yang diambil kira ialah sumbangan yang cemerlang dalam perkembangan seni tanah air melalui ciptaan yang bermutu tinggi. | UMUM | |
PERJANJIAN SYKES–PICOT | Perjanjian Sykes–Picot telah dimeterai antara Britain dengan Perancis untuk membahagikan negara Arab Timur kepada kedua- dua kuasa besar tersebut semasa Perang Dunia I. Kedua-dua negara Berikat ini telah mencapai kata sepakat pada 16 Mei 1916 M., hasil rundingan rahsia antara wakil Britain, Sir Mark Sykes dengan wakil Perancis, François George Picot. | UMUM | |
PERJANJIAN LIMERICK | Perjanjian Limerick ialah perjanjian yang menamatkan peperangan antara raja-raja England, William III dengan James II. Orang Inggeris telah menggulingkan James, yang bermazhab Roman Katolik pada tahun 1688 dan telah melantik William yang bermazhab Protestan sebagai raja. Penyokong James yang dikenali sebagai Jacobites , mula memberontak di Ireland pada tahun 1689. William III telah mengalahkan pihak Jacobites berulang kali sehingga pada tahun 1691, mereka hanya menguasai Limerick. Angkatan Jacobites membuat keputusan untuk menyerah diri dan kedua-dua pihak menandatangani Perjanjian Limerick pada 3 Oktober. | UMUM | |
SELAKANT | Selakant ialah sejenis ikan primitif yang terdapat di barat Lautan Hindi. Ahli sains telah menemui fosil selakant yang hidup lebih daripada 300 juta tahun dahulu. Ikan ini dipercayai telah pupus sehingga seekor selakant ditangkap di luar pantai Afrika Selatan pada tahun 1938. Sejak itu, banyak lagi selakant yang ditangkap. Selakant adalah anggota kumpulan ikan purba yang dikenali sebagai sarcopterygian. Ikan peparu adalah satu-satunya anggota kumpulan ini yang masih hidup. Lihat Ikan (Zaman Ikan). | UMUM | |