TENDON | Tendon , yang juga dikenali sebagai sinew, ialah korda yang kuat, berwarna putih yang melekatkan otot pada tulang. Otot menggerakkan tulang dengan menarik tendon. Tendon adalah satu berkas banyak serat yang liat. Sesetengah tendon berbentuk bulat, yang lain berbentuk panjang atau leper. Satu hujung tendon muncul daripada satu hujung otot. Hujung satu lagi terjalin dalam bahan tulang. Tendon ini boleh menggelongsor ke atas dan ke bawah di dalam selaput tisu berserat, sebagaimana tangan bergerak dalam lengan baju. Tendon dan selaput dikekalkan di tempatnya oleh tisu penghubung yang dikenali sebagai ligamen . Tendon yang terpotong boleh dicantumkan semula (dijahit). Penyembuhannya mungkin mengambil masa enam minggu atau lebih. Lihat juga Tangan; Tendon Achilles; Tubuh manusia (gambar: Ligamen dan tendon). | UMUM | |
TENDON ACHILLES | Tendon Achilles ialah tendon di belakang pergelangan kaki. Ia melekatkan otot betis pada tulang tumit. Jika terluka, seseorang tidak dapat berlari, dan sukar berjalan, dan tidak dapat berjengket. Namanya berasal daripada legenda Yunani tentang Achilles. Lihat juga Achilles; Tendon. | UMUM | |
REUMATOLOGI | Reumatologi ialah kajian tentang penyakit yang menjejaskan sendi badan dan tisu yang berkaitan, termasuk tulang, otot, tendon, rawan, dan ligamen. | UMUM | |
ORTOPEDIK | Ortopedik ialah cabang perubatan yang berkaitan dengan gangguan tulang dan otot dan tisu-tisu yang berkaitan dengannya. Doktor yang mengamalkan ortopedik dinamakan pakar bedah ortopedik. Mereka merawat pelbagai masalah perubatan, termasuk tulang patah, kecederaan pada tendon dan ligamen, dan kecacatan kaki dan tangan serta tulang belakang. | UMUM | |
SINDROM SALURAN KARPAL | Sindrom saluran karpal ialah gangguan biasa yang menyebabkan kesakitan, dan mengganggu penggunaan tangan. Ia disebabkan oleh tekanan pada saraf median apabila saraf ini melalui saluran yang dibentuk oleh tulang dan ligamen pada pergelangan tangan. Saluran ini dikenali sebagai saluran karpal. Pelbagai keadaan boleh menyebabkan saluran karpal menjadi sempit dan memberi tekanan pada saraf median. Ini termasuk kecederaan, seperti fraktur pergelangan tangan; artritis yang menjadi teruk kerana bengkak tendon dalam saluran karpal; kehamilan, yang boleh menyebabkan sinovium (membran) di sekeliling tendon menjadi tebal; dan ketaknormalan kelenjar, seperti diabetes dan gangguan tiroid. Kerja yang melibatkan pergerakan pergelangan tangan yang berulang-ulang juga boleh menyebabkan sindrom saluran karpal. | UMUM | |
PERUBATAN OSTEOPATIK | Perubatan osteopatik ialah suatu sistem perubatan yang berasaskan kepercayaan bahawa semua sistem tubuh adalah saling berkait. Penyakit di salah satu bahagian tubuh akan menjejaskan bahagian tubuh yang lain. Oleh itu, seluruh tubuh seseorang itu mesti diperiksa apabila memberi rawatan. Perubatan osteopatik menekankan kepentingan sistem otot skeletal tubuh. Sistem ini terdiri daripada otot dan tulang serta tendon dan ligamen yang menyambungkannya. | UMUM | |
SERAT | Serat , juga dikenali sebagai serabut atau gentian, ialah lembar bak rambut bagi sesuatu bahan yang benar-benar panjang berbanding dengan lebarnya. Serat sekurang-kurangnya 100 kali lebih panjang daripada lebarnya. Serat adalah fleksibel dan boleh dipintal menjadi yan dan dibuat kain. Serat ialah unit nampak yang paling kecil daripada sebarang keluaran tekstil. Pembuat menggunakan serat dalam pakaian atau dalam perhiasan rumah seperti permaidani, langsir, dan upholsteri. Mereka juga menggunakan serat dalam banyak keluaran industri, termasuk payung terjun (paracut), hos bomba, bahan penebat, dan pakaian angkasa. Dalam perubatan, serat digunakan untuk membuat arteri dan tendon artifisial. | UMUM | |
PERSEPS | Persepsi ialah satu proses yang melaluinya kita dapat menerima dan mentafsir segala maklumat dari dunia sekeliling kita. Dunia sekeliling kita mengandungi pelbagai jenis dan tahap tenaga fizikal. Pengetahuan kita tentang dunia datangnya dari organ-organ deria yang bertindak balas dengan tenaga fizikal berkenaan. Sesetengah jarak gelombang radiasi elektromagnetik merangsang mata kita. Telinga kita mendengar beberapa jenis getaran mekanikal di udara. Hidung dan lidah pula adalah sensitif kepada rangsangan bahan-bahan kimia tertentu. Sesetengah organ di dalam kulit kita bertindak kepada tekanan, perubahan suhu dan pelbagai rangsangan yang berkaitan dengan rasa sakit. Organ-organ deria yang terdapat pada sendi, tendon dan otot kita adalah sensitif kepada gerakan dan kedudukan tubuh. | UMUM | |