TENIS PELANTAR | Tenis pelantar ialah permainan tenis yang berlainan dan diperkenalkan pada tahun 1928 di Amerika Syarikat. Pemain biasanya terdiri daripada dua pemain di setiap gelanggang servis dengan menggunakan bet untuk memukul semula bola melepasi jaring. Permainan ini dimainkan di luar bangunan di gelanggang yang ditinggikan dan dipagari dengan skrin dawai setinggi 3.7 meter. Bet yang digunakan lebih besar daripada bet ping pong dan terdapat lubang kecil pada permukaan bet tersebut. Bolanya diperbuat daripada span getah yang berwarna kuning. | UMUM | |
TENIS DIRAJA | Tenis diraja, juga dikenali sebagai tenis sebenar ialah bentuk tenis purba yang rumit. Ia pertama kali dimainkan oleh raja-raja Perancis kira-kira 600 tahun yang lalu. Pemain bermain di gelanggang tidak semukur yang berbumbung curam atau emper, bersangga, dilengkapi dedans (ruang berjaring untuk penonton) dan grille (ruang gelanggang). Suatu jaring direntang di tengah-tengah gelanggang. Di lantai terdapat pelbagai garisan dengan nama-nama tertentu seperti chase a yard worse than last gallery dan hazard chase the door. | UMUM | |
TENIS | Tenis ialah sejenis permainan yang mempunyai seorang atau dua orang pemain pada setiap gelanggang, yang menggunakan raket untuk memukul dan mengembalikan bola lawan melepasi jaring. Sukan ini dimainkan di atas permukaan rata yang dikenali sebagai gelanggang. Setiap pemain cuba memungut mata dengan memukul bola supaya pemain lawan gagal mengembalikan bola itu melepasi jaring ke dalam gelanggang. | UMUM | |
PIALA DAVIS | Piala Davis ialah sebuah piala perak yang dihadiahkan setiap tahun kepada negara yang memenangi kejohanan tenis dunia bagi pemain lelaki. Pada tahun 1900, kejohanan tenis bermula apabila Dwight F. Davis, seorang pemain tenis Amerika yang handal, mendermakan piala ini. Pertandingan bagi meraih Piala Davis ini dijalankan secara kalah mati antara 16 negara yang layak. Satu pertandingan yang berasingan diadakan bagi negara-negara yang tidak layak. | UMUM | |
EVERT, CHRIS | Evert, Chris (1954– ) ialah jaguh tenis wanita dari Amerika Syarikat dan salah seorang pemain tenis terkemuka dunia. | UMUM | |
KING, BILLIE JEAN | King, Billie Jean (1943– ), bintang tenis Amerika, menjadi salah seorang pemain tenis wanita yang teragung dalam sejarah. | UMUM | |
ASHE, ARTHUR | Ashe, Arthur (1943–1993), pemain tenis Amerika, orang kulit hitam pertama memenangi kejohanan perseorangan kebangsaan lelaki Amerika. Dia memenangi kejuaraan itu pada tahun 1968. Pada tahun yang sama, dia bermain dengan pasukan Amerika Syarikat yang memenangi Piala Davis (lihat Piala Davis ). Pada tahun 1975, Ashe menjadi orang kulit hitam pertama yang memenangi kejuaraan perseorangan Wimbledon di England. Dia bersara daripada pertandingan tenis pada tahun 1980. | UMUM | |
NAVRATILOVA, MARTINA | Navratilova, Martina (1956– ), salah seorang pemain tenis wanita utama dunia. Dari tahun 1973 hingga pengumuman persaraannya pada tahun 1994, dia mencatat rekod dengan memenangi 167 kejohanan perseorangan. | UMUM | |
SEDGMAN, FRANK | Sedgman, Frank (1927– ), salah seorang pemain tenis terbaik Australia. Dari tahun 1950 hingga tahun 1952, dia bermain sebanyak 19 kali untuk Australia dalam pertandingan Piala Davis dan hanya kalah dua kali. Pada tahun 1951, dia menjadi orang Australia yang pertama menjuarai acara perseorangan Amerika Syarikat. Pada tahun 1952, dia menjuarai acara perseorangan Amerika, Itali, dan Wimbledon. Francis Arthur Sedgman lahir di Melbourne. | UMUM | |
PINGPONG | Pingpong ialah permainan dalam dewan yang menyerupai permainan tenis. Pemainnya menggunakan raket yang dikenali sebagai raket atau daun bet untuk memukul bola melepasi jaring yang dipasang merentangi meja pingpong. Pemain memperoleh mata apabila pihak lawan tidak dapat mengembalikan bola yang dipukulnya. Pingpong boleh dimainkan oleh dua atau empat orang. Jika dimainkan oleh dua orang pemain, ia dikenali sebagai perseorangan . Jika ia dimainkan oleh empat orang pemain, ia dikenali pula sebagai beregu . | UMUM | |