ARIFIN NGAH | Penulis. Dia lahir pada 28 Mac 1939 di Kuala Terengganu, Terengganu. Dalam bidang penulisan dia juga menggunakan nama samaran Moriffin SN dan Melati Timur. Ariffin mendapat pendidikan asas di Sekolah Rendah Bukit Tunggal, Kuala Terengganu sebelum menyambung pendidikannya ke Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim, Perak dan Institut Bahasa, Kuala Lumpur. Dia melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya dalam bidang Penulisan Kreatif dan Deskriptif dan memperoleh ijazah Sarjana Muda Sastera dengan kepujian. | SASTERA | Tokoh |
ABDUL KADIR | ABDUL KADIR (1914-?), guru pondok dan ahli politik. Dia lahir di Padang Midin, Kuala Terengganu, Terengganu. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Konsep |
KESULTANAN TERENGGANU | KESULTANAN TERENGGANU, institusi kerajaan Terengganu. Kesultanan Terengganu yang wujud pada hari ini diasaskan oleh Tun Zainal Abidin bin Tun Habib Abdul Majid, Bendahara Padang Saujana Johor. Buku Tuhfat al-Nafis karangan Raja Ali Haji mencatatkan Tun Zainal Abidin diabsahkan di atas takhta kerajaan Terengganu pada tahun 1726 oleh Raja Tua atau Daeng Menampuk dengan titah Sultan Sulaiman Badrul Alam Syah Johor. Buku Sejarah Darul Imam Hingga 1361H. = 1942M. karangan Dato' Haji Muhammad Salleh yang berdasarkan tulisan lama Terengganu, mencatatkan Tuan Zainal Abidin ditabalkan sebagai Sultan Terengganu oleh Raja Mas Jayam Patani pada tahun 1702. Baginda diiringi oleh 80 keluarga dari Patani dan ditabalkan di Tanjung Baru, Kuala Berang. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Kesultanan/Kerajaan/Pemerintahan |
KUALA TERENGGANU | Kuala Terengganu (pend. 272 300), ibu negeri Terengganu Darul Iman. Kuala Terengganu ialah salah sebuah bandar besar yang terletak di pantai timur Semenanjung Malaysia. Ia merupakan pusat pentadbiran kerajaan negeri Terengganu. Dari catatan sejarah, Kuala Terengganu telah wujud sebagai penempatan sekitar abad ke-14. | UMUM | |
TERENGGANU | Terengganu ialah negeri yang terletak di pantai timur Semenanjung Malaysia. Negeri ini bersempadan dengan negeri Kelantan dan Pahang. Sempadan di bahagian timurnya ialah Laut China Selatan, manakala sempadan di bahagian selatan ialah negeri Pahang. Pantainya sepanjang lebih kurang 225 kilometer menghadap Laut China Selatan dari Besut di utara hingga ke Kemaman di selatan. Terdapat tujuh daerah di Terengganu iaitu Besut, Dungun, Kemaman, Marang, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu, dan Setiu. | UMUM | |
DIALEK MELAYU HULU TERENGGANU | DIALEK MELAYU HULU TERENGGANU, dialek yang dituturkan oleh penduduk lebih kurang 60 buah kampung di Hulu Terengganu sebagai bahasa ibunda mereka. Kesemua kampung itu terletak di Lembangan Sungai Terengganu, iaitu di bahagian hulu kampung Kuala Telemong. Selain penutur dialek Hulu Terengganu (DHT), di daerah Hulu Terengganu itu terdapat juga penutur dialek lain, terutamanya di Kuala Berang, dan di Mukim Penghulu Diman, yang sebenarnya terletak di kawasan sistem pengairan Sungai Marang, bukan Sungai Terengganu. | BAHASA | Bahasa |
ADAT PERTABALAN SULTAN TERENGGANU | ADAT PERTABALAN SULTAN TERENGGANU, upacara menabalkan Sultan Terengganu yang baharu bagi menggantikan sultan yang mangkat. Mengikut Undang-undang Tubuh Negeri Terengganu 1911, telah ditetapkan bahawa Negeri Terengganu juga mempunyai seorang waris ganti yang bakal menjadi raja yang diberi gelaran Yang Dipertuan Muda. Waris inilah yang akan diangkat menjadi sultan jika sultan yang ada mangkat. | BUDAYA | Konsep |
SUNGAI TERENGGANU | SUNGAI TERENGGANU, sungai utama dan terpenting di Terengganu. Sungai ini pernah menjadi pusat tamadun awal Terengganu pada abad ke-13 dan kemasyhurannya terkenal hingga ke negeri China dengan nama ‘Teng-Ya-Nung’. Sungai ini merupakan pusat pelabuhan dengan dunia luar dan alat perhubungan utama bagi penduduk yang tinggal di kawasan hilir sungai, khususnya di daerah Kuala Terengganu sebelum terbinanya satu sistem jaringan jalan raya moden. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Bandar/Negeri/Negara/Tempat |
ALAT KEBESARAN DIRAJA NEGERI TERENGGANU | ALAT KEBESARAN DIRAJA NEGERI TERENGGANU, sekumpulan alatan yang menjadi lambang kekuasaan serta pengesahan Sultan Terengganu. | BUDAYA | Konsep |
UNDANG-UNDANG TUBUH KERAJAAN TERENGGANU | UNDANG-UNDANG TUBUH KERAJAAN TERENGGANU, undang-undang yang dipakai di negeri Terengganu sejak tahun 1911. Undang-undang ini dibuat pada 2 November 1911 ketika zaman pemerintahan Sultan Zainal Abidin III. Undang-undang ini juga dikenal sebagai Perlembagaan Negeri Terengganu 1911. Ia adalah satu-satunya undang tertinggi yang terpakai di seluruh kerajaan Terengganu dalam hal yang berkaitan dengan kesultanan dan kedaulatan, pentadbiran dan pengurusan negeri berkenaan. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Konsep |