PUPA | Pupa ialah peringkat yang agak tidak aktif dalam metamorfosis (perkembangan) kebanyakan serangga. Dalam metamorfosis lengkap , larva makan sehingga membesar sepenuhnya (lihat Larva ). Kemudian larva bersalin kulit menjadi pupa, satu bentuk sementara yang membolehkan struktur dewasa berkembang. Serangga dewasa muncul dengan memecahkan “kulit” pupa. Peringkat pupa mungkin lamanya satu atau dua hari, atau sehingga satu tahun atau lebih, bergantung pada spesies. Peringkat ini membolehkan sesetengah serangga dewasa, seperti rama-rama, mempunyai ciri-ciri yang sangat berbeza daripada ciri-ciri larva. Ia juga membolehkan sesetengah serangga yang berkembang mengelakkan kepanasan dan kesejukan yang melampau, kebuluran, dan kemarau. | UMUM | |
KELENJAR TIROID | Kelenjar tiroid ialah kelenjar endokrin (pengeluaran hormon) yang terletak di depan leher. Ia mempunyai dua lobus (bahagian) di setiap sisi trakea (salur udara). Kedua-dua lobus ini disambungkan oleh satu jalur nipis tisu. Rangkaian pembuluh darah menyelaputi kelenjar ini. Tiroid mengambil iodin dari darah dan menggunakannya untuk membuat hormon aktif, tiroksina yang juga dikenali sebagai tetraiodotironina dan triiodotironina . Hormon tiroid tidak aktif tersimpan di dalam lobus dalam ruang yang dikenali sebagai folikel . | UMUM | |
PLASEBO | Plasebo ialah sejenis bahan yang kadangkala digunakan oleh doktor sebagai ubat walaupun ia tidak mengandungi sebarang ramuan bahan yang aktif. Plasebo boleh melegakan pesakit dan ada kalanya menyembuhkan pesakit. Plasebo kelihatan sama seperti dadah biasa, tetapi biasanya hanya mengandungi larutan gula atau garam. Doktor ada kalanya menggunakan plasebo sebagai dadah biasa kerana mendatangkan kesan positif terhadap kira- kira 30 peratus pesakit. Pembaikan hasil penggunaan bahan bukan aktif ini dikenali sebagai kesan plasebo. | UMUM | |
KELPIE AUSTRALIA | Kelpie Australia ialah anjing biri-biri yang benar-benar aktif dan sangat bijak dengan naluri semula jadi untuk mengawal biri-biri dan yang tidak mengenal penat untuk bekerja. Kelpie adalah anjing yang gemalai, berotot dan berlari dengan pantas. Kelpie berasal daripada anjing collie Scotland berbulu pendek. Anjing ini mempunyai bulu yang pendek dan telinga yang tegak. Warna bulunya adalah hitam, sawo matang, merah, perang muda, coklat atau biru asap. Pemenang lumba percubaan anjing biri-biri Australia yang pertama pada tahun 1872 dikenali sebagai Kelpie (bahasa Gaelic bagi pari-pari air) dan nama bakanya diperoleh daripada jualan anak Kelpie. | UMUM | |
SKLEROSIS LATERAL AMIOTROFIK | Sklerosis lateral amiotrofik, juga dikenali sebagai ALS (Amyotrophic Lateral Sclerosis) ialah penyakit sistem saraf yang jarang berlaku dan tidak dapat disembuhkan. Ia juga dikenali sebagai Penyakit Neuron Motor. ALS secara beransuransur memusnahkan saraf yang mengawal otot. Kelemahan, lumpuh, dan akhirnya kematian berlaku. Doktor menasihati pesakit supaya terus aktif selagi mereka boleh. Tiada rawatan yang boleh menghentikan ALS. | UMUM | |
STROMBOLI | Stromboli ialah sebuah pulau di Laut Tyrrhenian di luar pantai timur laut Sicily (lihat Itali [peta muka bumi]). Pulau ini meliputi lebih kurang 12 kilometer persegi dan mempunyai 386 orang penduduk. Stromboli terkenal kerana gunung berapinya yang menjulang setinggi 924 meter. Gunung berapi ini ialah salah sebuah daripada sebilangan kecil gunung berapi di Eropah yang sentiasa aktif. Penulis zaman purba pernah melaporkan aktiviti gunung berapi ini berkurun-kurun yang lalu. Ledakan gunung berapi yang membawa kemusnahan jarang-jarang berlaku di Stromboli kerana laharnya mengalir bebas, dan tidak mengumpulkan tekanan dalaman yang boleh menyebabkan ledakan dahsyat. | UMUM | |
BADAN BERKANUN | BADAN BERKANUN, sebuah perbadanan awam dalam struktur pentadbiran kerajaan. Badan berkanun ditubuhkan oleh kerajaan Persekutuan di bawah undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen, dan oleh kerajaan negeri di bawah enakmen yang diluluskan oleh Dewan Undang Negeri masing-masing. Penubuhan badan berkanun pada umumnya bertujuan untuk membolehkan penglibatan kerajaan secara terus dan lebih berkesan dalam bidang perkhidmatan awam dan pembangunan sosioekonomi yang memerlukan modal yang banyak dan kurang mendapat sambutan daripada sektor swasta. Badan berkanun dijangka akan dapat memainkan peranan yang lebih aktif dan bebas kerana badan tersebut tidak perlu mengikut peraturan biasa yang diamalkan dalam pentadbiran kerajaan, walaupun badan itu diletakkan di bawah kuasa kerjaaan Persekutuan dan kerajaan Negeri. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Konsep |
KESATUAN MELAYU MELAKA | KESATUAN MELAYU MELAKA, persatuan politik nasionalisme Melayu yang ditubuhkan di Melaka pada tahun 1927. Pemimpinnya terdiri daripada guru sekolah Melayu dan pegawai rendah kerajaan. Salah seorang pemimpin aktif kesatuan ialah Haji Talib Karim, Ketua Menteri Melaka (1970-an). Guru merupakan tenaga pemimpin yang utama di Melaka, kerana di Melaka tidak terdapat golongan pembesar tradisional seperti negeri Melayu yang lain. Sistem feudalisme Melayu telah hilang di Melaka sejak penjajahan Portugis pada tahun 1511. Akibatnya, sistem feudalisme atau tradisional masyarakat Melayu yang bermula di Melaka pada abad ke-15 telah berkembang ke negeri lain yang muncul selepas kejatuhan empayar Melaka. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Institusi/Organisasi |