BUTA WARNA | Buta warna yang kadangkala dikenali dengan istilah daltonisme ialah ketakbolehan membezakan kesemua warna. Kebolehan untuk melihat warna berpunca daripada sel penglihatan khusus, yang dinamakan kon, yang terdapat pada retina mata. Seseorang yang normal penglihatan warnanya mempunyai tiga jenis kon, dan setiap jenis kon itu peka terhadap warna yang berbeza. Orang yang buta warna tidak mempunyai satu, atau dua, atau kesemua jenis kon ini. | UMUM | |
ADAT PERKAHWINAN MINANGKABAU | ADAT PERKAHWINAN MINANGKABAU, adat perkahwinan yang diamalkan oleh masyarakat Minangkabau yang tinggal di Sumatera Barat, Indonesia. Adat perkahwinan Minangkabau mengikut pola sistem nasab ibu. Fungsi terpenting perkahwinan adalah untuk mengakrabkan hubungan antara kaum, atau menaikkan status dan prestij kaum atau keluarga. Perkahwinan yang paling baik adalah antara anak dengan kemenakan atau anak dengan bako (keluarga sebelah bapa), antara mereka yang telah punya hubungan kerabat dan antara mereka yang sekampung. Baik Islam mahupun adat, melarang perkahwinan sesuku, demi mencegah keterkongkongan suku. Orang yang melanggar adat di pulau atau diusir keluar dari ‘nagari’ (kampung). Satu lagi perkahwinan yang tidak direstui dan melanggar adat ialah perkahwinan dengan janda seorang kerabat, kaum atau tetangga. Orang Minangkabau juga mengamalkan perkahwinan yang unik ialah ganti lapik dan cina buta. Ganti lapik perkahwinan antara seorang duda atau janda dengan saudara pasangannya yang telah meninggal dunia. Perkahwinan ini bertujuan menyambung semula ikatan yang diputuskan oleh takdir. Cina buta disebut juga cendera buta. | BUDAYA | Konsep |
METANOL | Metanol ialah sejenis alkohol yang digunakan untuk banyak tujuan perindustrian. Ia juga dinamakan metil alkohol atau alkohol kayu. Metanol ialah sebatian organik yang jernih, tidak berwarna, ia mudah terbakar dan sangat beracun. Meminum atau menyedut wasapnya untuk tempoh yang lama, boleh menyebabkan buta atau kematian. Ia juga berbahaya kepada kulit. | UMUM | |
AIR MATA | Air mata ialah rembesan kelenjar lakrimal yang sentiasa membasuhi kornea , iaitu lapisan luar yang liat pada bola mata. Air mata menolong membersihkannya daripada zarah asing, seperti habuk dan bulu, dan menjaganya agar tidak kering, yang boleh menyebabkan orang menjadi buta. | UMUM | |
DAUD BEUREUEH | DAUD BEUREUEH (1899 -1987), ulama dan pemimpin Aceh, Indonesia. Dia lahir di Beureueh, sebuah kampung dekat Sigli, Aceh, Indonesia. Dia menerima pendidikan agama tetapi tidak mahir membaca dan menulis rumi, sehingga pada masa revolusi, dia diejek oleh sebahagian pegawai yang datang dari Jawa sebagai pemimpin yang buta huruf. Pada tahun 1920-an, dia berhubung rapat dengan ulama Aceh yang bermukim di Makkah dan hubungan ini mendorongnya menjadi salah seorang pelopor pembaharuan agama di Aceh. Ketika ulama reformis membentuk Persatuan Ulama Seluruh Aceh (PUSA) pada tahun 1939, dia dipilih sebagai ketua. Melalui organisasi inilah pengaruh politik Daud Beureueh mula berkembang terutama pada masa pendudukan Jepun.
| SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Tokoh |
MILTON, JOHN | Milton, John (1608–1674) ialah penyair dan penulis bahan berunsur politik Inggeris. Dia ialah pengarang Paradise Lost (diterbitkan pada tahun 1667, edisi semakan 1674), yang dianggap ramai sebagai puisi epik agung dalam bahasa Inggeris. Dia juga menulis Paradise Regained (1671) dan Samson Agonistes (1671). Milton mengarang dua buku yang pertama ini dan mungkin juga yang terakhir, apabila dia menjadi buta sepenuhnya. Tarikh karya Samson Agonistes tidak dapat dipastikan. | UMUM | |
TUK BAGIH | TUK BAGIH, orang yang memainkan peranan penting dalam upacara bagih. Tuk bagih biasanya terdiri daripada seorang lelaki yang berusia sekitar 50-an atau 60-an. Tuk bagih mewarisi ilmu bagihnya daripada keluarga. Ilmu bagih tidak diajar atau diturunkan kepada sembarang orang, kecuali ahli keluarga yang didapati layak dan sesuai mengamalkan ilmu tersebut. Tuk bagih juga terdiri daripada orang kampung yang berpendapatan rendah dan tidak berpelajaran kecuali sekadar tahu menulis dan membaca, malah terdapat tuk bagih yang buta huruf. | BUDAYA | Jawatan/Gelaran |