ASIMILASI | Asimilasi ialah proses yang dilalui oleh kumpulan sosial dan budaya untuk menjadi bahagian kumpulan sosial dan budaya yang lain. Umpamanya kumpulan dari beberapa banyak negeri telah menetap di Australia. Kebanyakan orang ini secara beransur-ansur melepaskan cara hidup tanah air mereka dan mengamalkan cara hidup Australia. | UMUM | |
RESIN SINTETIK | Resin sintetik ialah salah satu daripada sebatian kimia yang termasuk dalam kumpulan sebatian kimia yang besar yang termasuk juga plastik biasa yang kita guna. Resin ini boleh diolah untuk menjadi gentian atau filem, dibentuk dalam acuan untuk dijadikan berbagai-bagai bentuk, umpamanya dari sekeping sikat kecil yang boleh dimasukkan ke dalam saku sehingga ke bamper kereta. Pengilang menggunakan sebatian ini dalam pembuatan cat dan perekat dan juga sebagai salutan pada kain, kertas dan logam. | UMUM | |
ORBIT | Orbit ialah laluan objek semula jadi atau objek buatan yang bergerak di bawah suatu daya pusat. Dalam bidang astronomi, istilah orbit merujuk secara khusus kepada laluan sebarang objek yang pergerakannya dikawal oleh tarikan graviti objek lain. Ahli astronomi menamakan salah satu daripada dua objek yang lebih berjisim itu sebagai primer , dan objek yang kurang berjisim itu sebagai sekunder . Bulan, umpamanya, ialah sekunder dan berpusing mengelilingi primernya, bumi. Bumi, sebaliknya ialah sekunder yang bergerak mengelilingi primernya, matahari. Kapal angkasa menjadi sekunder kepada bumi atau planet lain, atau sekunder kepada bulan atau matahari. | UMUM | |
STRES | Stres ialah keadaan yang berlaku pada badan kerana bergerak balas terhadap kesukaran, yang sebenar atau yang dijangka dalam kehidupan. Kita sering mengalami stres akibat peristiwa besar dalam kehidupan kita seperti kematian, perceraian, atau kehilangan pekerjaan. Stres juga boleh berlaku kerana bergerak balas terhadap masalah harian seperti memandu dalam keadaan lalu lintas yang sesak atau didesak oleh seseorang. Di samping itu, kita mungkin mengalami stres apabila kita nampak sesuatu ancaman terhadap kita. Umpamanya, seseorang yang berasa tidak dapat menangani sesuatu cabaran dengan berkesan mungkin mengalami stres. | UMUM | |
SINONIM | Sinonim ialah kata yang sama maknanya atau hampir sama maknanya dengan kata lain. Sinonim berasal daripada dua kata Yunani, yang bermakna berkaitan dan nama. Terdapat banyak kes apabila satu kata boleh digunakan untuk maksud yang sama seperti kata lain. Walaupun kedua-dua kata itu mungkin bersinonim (digunakan dengan cara yang sama) dalam satu pengertian, tetapi ia mungkin tidak bersinonim dalam pengertian yang lain. Umpamanya, dull dan stupid mungkin kedua-duanya boleh digunakan untuk menerangkan seseorang. Tetapi kita tidak menggunakan kata stupid untuk menerangkan mata pisau yang dull. Sinonim memperkaya bahasa dengan membantu penutur, atau penulis menggunakan kata dengan makna dan kaitan yang tepat, dan untuk mengelakkan perulangan yang membosankan. | UMUM | |
PEMINJAMAN BAHASA EROPAH | PEMINJAMAN BAHASA EROPAH, proses peminjaman dalam bahasa Melayu. Hubungan rapat antara Nusantara dengan Eropah dari segi ekonomi berlaku semenjak 2000 tahun dahulu. Bahasa Melayu sebagai bahasa antarabangsa dalam sistem ekonomi itu dipengaruhi dan mempengaruhi bahasa lain. Sesungguhnya, kata-kata Eropah sudah lama diserapkan ke dalam bahasa Melayu melalui bahasa lain, terutamanya melalui bahasa Arab. Misalnya, perkataan ‘falsafah’ yang dipinjam daripada bahasa Arab sebenarnya berasal daripada bahasa Yunani. Begitu juga beberapa nama tempat dan orang yang terdapat dalam Sejarah Melayu , umpamanya Rom, Makaduniah dan Iskandar, berasal daripada bahasa Yunani.
| BAHASA | Konsep |
PRASANGKA | Prasangka ialah pendapat yang terbentuk tanpa mengambil waktu dan usaha untuk membuat pertimbangan dengan adil. Pendapat seperti itu mungkin baik atau tidak baik dan dibuat tanpa mempedulikan bukti yang tersedia. Dalam rencana ini, prasangka bererti pendapat tidak baik yang dipegang dengan cara ini tentang anggota-anggota suatu kumpulan sosial tertentu. Orang yang berprasangka cenderung memutarbelitkan, menyelewengkan, serta menyalahertikan ataupun mengabaikan fakta yang bertentangan dengan pendapat yang telah ditentukannya terlebih dahulu. Umpamanya, orang yang berprasangka mungkin percaya bahawa semua individu dalam suatu kumpulan umur, bangsa, kumpulan etnik, agama, seks atau wilayah sesebuah negeri itu pemalas, kejam, bodoh, tak stabil emosinya, ataupun tamak. | UMUM | |
TAHAYUL | Tahayul ialah kepercayaan tradisi bahawa sesuatu tindakan atau peristiwa boleh mengakibatkan atau menjadi alamat bagi sesuatu peristiwa akan datang yang tidak berkaitan. Sebagai contohnya, mereka yang percaya kepada tahayul akan percaya bahawa membawa kaki arnab akan membawa tuah. Ada pula yang percaya bahawa jika seekor kucing hitam melintasi laluan mereka, sesuatu musibah akan menimpa. Ada juga yang percaya bahawa tetamu akan tiba jika pisau atau garpu terjatuh ke lantai. Kepercayaan begini merupakan tahayul kerana setiap kali tindakan dan peristiwa yang diramalkan akan berlaku mengikut adat lama, dianggap berkaitan. Umpamanya kaki arnab dikaitkan dengan kesuburan. | UMUM | |
DIALEK MELAYU BERAU | DIALEK MELAYU BERAU, dialek yang dituturkan oleh lebih kurang 40 000 orang di Propinsi Kalimantan Timur, Indonesia. Dialek ini belum pernah diselidiki dengan wajar seperti kebanyakan dialek Melayu di Pulau Borneo. Maklumat dialek itu sangat penting untuk rekonstruksi bahasa Melayu purba serta untuk memahami jaringan dialek Melayu di Pulau Borneo. Seperti dalam beberapa dialek di Pulau Borneo, dalam dialek Melayu Berau (DMB) hanya terdapat tiga fonem vokal, iaitu i, a, u. Hal ini disebabkan rentensi vokal tinggi pada semua posisi. Jadi o dan e tidak wujud dalam DMB; lihat, umpamanya, ‘orang’ dan ‘olak’ tetap urang dan ulak serta ‘lebar’ dan ‘sentak’ tetap libar dan sintak. Namun, selain rentensi itu, sudah terjadi inovasi pula. Dalam DMB, bunyi purba * disatukan dengan *a; ertinya * (pepet) dan *a tidak dibezakan. Maka, melalui retensi terdapat hanya dua vokal tinggi (*i dan *u) serta melalui inovasi * hilang. Fonologi DMB sememangnya hanya berisikan tiga vokal. | BAHASA | Bahasa |