| PERHAMBAAN | Perhambaan merupakan satu amalan manusia yang memiliki manusia lain. Seorang hamba abdi menjadi hak milik kepada tuannya dan bekerja untuknya tanpa sebarang upah atau gaji. Pemilik yang disebut tuan atau puan membekalkan makanan, tempat tinggal, dan pakaian kepadanya. Perhambaan bermula pada zaman prasejarah dan diamalkan sejak dari zaman tersebut. Perhambaan pada zaman purba mencapai kemuncaknya di Greece dan Empayar Rom. Pada Zaman Pertengahan, amalan perhambaan mengalami kemerosotan. Kemudian pada tahun 1500-an dan 1600-an, penjajahan Dunia Baru oleh orang Eropah telah mengakibatkan berkembangnya perhambaan secara pesat. Kemerosotan perhambaan disebabkan oleh perubahan moral terhadap perhambaan pada tahun 1800-an. Kini, perhambaan adalah tidak sah di sisi undang-undang di hampir setiap negara tetapi amalan ini masih lagi wujud di beberapa bahagian Afrika, Asia, dan Amerika Selatan. | UMUM | |
| OISTRAKH, DAVID | Oistrakh, David (1908–1974), pemain biola Ukraine yang terkenal. Dia terkenal kerana tekniknya yang sungguh hebat dan tonnya yang lantang. Penggubah Rusia yang terkenal seperti Sergei Prokofiev dan Dimitri Shostakovich mencipta muzik kamar dan konsert biola untuknya. Oistrakh juga merupakan pemimpin yang terkenal dan guru biola yang cemerlang. Salah seorang anak muridnya ialah anak lelakinya, Igor, yang menjadi pemain biola yang terkenal di seluruh dunia. | UMUM | |
| ABELARD, PETER | Abelard, Peter (1079–1142) ialah tokoh falsafah dan ahli teologi pada Zaman Pertengahan. Tetapi dia lebih terkenal kerana hubungan cintanya dengan seorang wanita muda bangsa Perancis yang berbakat, bernama Heloise. Abelard lahir berhampiran dengan Nantes, Perancis. Bapanya, seorang bangsawan, merancang kerjaya dalam tentera untuknya, namun Abelard memilih untuk menjadi seorang ilmuan. Dari tahun 1113 hingga tahun 1118, dia mengajar ilmu teologi di Paris. Di sini dia mengasaskan dua sekolah, yang seterusnya berkembang menjadi University of Paris. | UMUM | |
| ORGAN | Organ ialah alat muzik papan kekunci. Terdapat dua jenis organ utama, organ paip dan organ elektronik. Kebanyakan organ paip terdapat di gereja, dewan konsert, dan teater. Sejarah organ paip boleh dikesani semula lebih daripada 2000 tahun dahulu. Banyak karya agung muzik digubah untuknya. | UMUM | |
| ANNE, SAINT | Anne, Saint, secara tradisi dianggap sebagai isteri Joachim dan ibu kepada Virgin Mary. Kisah mengenai kehidupannya ditemui hanya dalam buku yang keluarannya diragui, daripada Kitab Perjanjian Baru. Menurut kisah ini, seorang malaikat muncul di hadapannya dan mengumumkan bahawa anaknya akan direstui di seluruh dunia. Saint Anne mempunyai banyak makam yang didirikan untuknya. Salah sebuah makam yang paling terkenal ialah makam yang terletak berhampiran Quebec City, Kanada, iaitu makam Ste.-Anne-de-Beaupre. | UMUM | |
| SNELL, PETER | Snell, Peter (1938– ), salah seorang pelari jarak sederhana yang terhebat. Pada tahun 1962, dia mencipta tiga rekod dunia, iaitu untuk acara lumba lari sebatu (3 minit 54.4 saat), acara 880 ela (1 minit 45.1 saat), dan acara 800 meter (1 minit 44.3 saat). Penyertaannya dalam Sukan Olimpik sebanyak dua kali menghasilkan tiga pingat emas untuknya. Dia menjuarai acara 800 meter kejohanan tahun 1960 di Rom. Kemudian, pada sukan tahun 1964 di Tokyo, dia memenangi acara 800 meter dan 1500 meter. Snell lahir di Opunake, di Pulau Utara, New Zealand. Dia bersara daripada bidang olahraga pada tahun 1965. | UMUM | |
| NERINA, NADIA | Nerina, Nadia (1927– ) ialah penari balet yang mendapat sanjungan daripada kebanyakan negara di dunia kerana kecemerlangan tariannya. Dia ialah penari balet pertama Royal Ballet, iaitu syarikat balet British, yang mengadakan persembahan bersama- sama dengan penari balet Bolshoi dan Kirov di Kesatuan Soviet. Salah satu daripada peranannya yang cemerlang ialah sebagai Lise dalam La Fille Mal Gardee, yang dicipta khas untuknya oleh Frederick Ashton, seorang pereka tari. Nerina lahir di Cape Town, Afrika Selatan. Dia belajar menari balet di London di bawah tunjuk ajar Marie Rambert. Pada tahun 1946, Nerina memasuki Sadler’s Wells Ballet. Pada tahun 1947, dia menyertai Royal Ballet. | UMUM | |