MIRANDA, FRANCISCO DE | Miranda, Francisco de (1750–1818) ialah patriot Venezuela yang bertempur dalam Revolusi Amerika, Perancis, dan Sepanyol-Amerika. Dia mengetuai pengisytiharan kemerdekaan Venezuela daripada Sepanyol pada tahun 1811. (Lihat Venezuela [Perjuangan untuk menuntut kemerdekaan]). Dia gagal menjadi diktator dan menyerahkan kuasanya kepada Royalist. Simón Bolívar dan bekas orang bawahannya menyerahkan Miranda kepada kerajaan Sepanyol (lihat Bolívar, Simón). Miranda meninggal dunia di dalam kurungan bawah tanah di Sepanyol. Dia lahir di Caracas. | UMUM | |
SUNGAI ORINOCO | Sungai Orinoco ialah sungai di Amerika Selatan yang panjangnya 2066 kilometer. Ia diketahui mempunyai dua punca, kedua-duanya di tanah tinggi Parima di Venezuela, berdekatan dengan sempadan Brazil. Ia mengalir ke barat daya memasuki Colombia dan membentuk sempadan antara Colombia dengan Venezuela. Kemudian ia melencong ke arah timur. Kira-kira 180 kilometer sebelum sampai ke pantai, ia terbahagi kepada banyak saluran. Untuk lokasinya, lihat Venezuela (peta muka bumi). | UMUM | |
TASIK MARACAIBO | Tasik Maracaibo ialah jalan air perdagangan bagi kawasan perladangan dan petroleum yang kaya di bahagian barat laut Venezuela. Tasik Maracaibo merupakan tasik yang terbesar di Amerika Selatan. Tasik ini meliputi kawasan seluas 13 512 kilometer persegi. Tasik ini dihubungkan dengan Laut Caribbean oleh sebuah terusan pendek dan Teluk Venezuela. Sebuah jambatan yang panjangnya 8.9 kilometer merentasi terusan tersebut. Jambatan tersebut cukup tinggi bagi membolehkan kapal-kapal besar belayar di bawahnya. Terdapat banyak telaga minyak di dalam tasik tersebut dan di sepanjang pesisirnya. | UMUM | |
AIR TERJUN CUQUENÁN | Air terjun Cuquenan terletak di Sungai Cuquenan, Venezuela. Air terjun ini merupakan salah satu daripada tiga air terjun tertinggi di dunia. | UMUM | |
MARACAIBO | Maracaibo (pend. 1 151 933) merupakan pelabuhan pengeksport kopi yang utama dan juga bandar raya kedua terbesar di Venezuela. | UMUM | |
ARUBA | Aruba ialah pulau tanggungan Belanda di Hindia Barat. Ia terletak di selatan Laut Caribbean, lebih kurang 25 kilometer di utara Venezuela dan 77 kilometer di barat Curasao, yang terletak di Antilles Belanda. Ibu negara dan bandar terbesar di Aruba ialah Oranjestad. Pulau Aruba adalah sebahagian daripada Antilles Belanda dari tahun 1954 hingga 1986. | UMUM | |
AIR TERJUN ANGEL | Air Terjun Angel ialah air terjun yang tertinggi di dunia. Ia mengalir masuk ke Sungai Churun di sebelah timur Venezuela. | UMUM | |
DOMINICA | Dominica ialah negara pulau yang merdeka di Laut Caribbean. Dominica terdiri daripada sebuah pulau yang terletak 515 kilometer ke utara Venezuela. Dominica ialah pulau yang paling ke utara dalam Kepulauan Windward, satu kumpulan pulau dalam rangkaian Lesser Antilles (lihat Kepulauan Windward). | UMUM | |
MARTINIQUE | Martinique ialah sebuah pulau di bawah tanggungan Perancis di Laut Caribbean. Ia terletak di Lesser Antilles lebih kurang 430 kilometer ke utara Venezuela dan di antara negeri-negeri kepulauan Dominica di sebelah utara dengan Saint Lucia di sebelah selatan. | UMUM | |
SAINT LUCIA | Saint Lucia ialah negara pulau yang merdeka di sebelah timur Laut Caribbean. Ia terletak di antara Martinique dengan Saint Vincent, lebih kurang 386 kilometer ke utara Venezuela. Saint Lucia ialah salah sebuah pulau di Kepulauan Windward, iaitu serangkaian pulau dalam gugusan pulau yang lebih besar dalam Antilles Kecil di Hindia Barat. Ibu negaranya, Castries, terletak di pinggir laut barat laut (lihat Castries ; Kepulauan Windward ). Pulau ini ialah tempat lahir dua orang penerima Hadiah Nobel dari Hindia Barat. Sir Arthur Lewis menerima Hadiah Nobel bagi bidang ekonomi pada tahun 1979 dan Derek Walcott menerima Hadiah Nobel bagi bidang kesusasteraan pada tahun 1992. | UMUM | |