limpaga | limpaga | Perhutanan | Sains Kayu dan Hasil Hutan | Nama piawai bagi kayu Cedrela spp. daripada famili Meliaceae. Nama tempatannya di Semenanjung ialah surian dan tangsian burung, dan di Sabah ialah ranggau. Spesies utama kayu ini ialah Cedrela serrata dan C. sureni. Gubal kayu limpaga berwarna putih kelabu atau merah jambu, dan mudah dibezakan daripada teras kayunya yang berwarna putih kelabu, merah muda atau merah coklat. Tekstur kayunya kasar dan sekata, kerana mempunyai struktur liang bergelang, dengan ira yang bersimpul atau beralun. Kayu ini mempunyai nilai ketumpatan keringan udara yang berjulat antara 270 hingga 530 kg/m3, dan tergolong dalam kumpulan kayu yang lembut dan ringan. Kayu limpaga mudah dikerjakan dan dikeringkan tetapi tidak tahan. Struktur kayu ini amat menarik, dan sesuai digunakan dalam pembuatan perabot mewah, hiasan dalaman, papan lapis mewah, papan lapis hiasan, dan ukiran kayu. |