strategic option | pilihan strategik | Pengurusan | Perancangan | Alternatif keputusan hasil daripada analisis persekitaran dalaman dan luaran organisasi. Pilihan strategik bertujuan untuk membantu organisasi menghasilkan keputusan yang lebih tepat dan mampu melaksanakan tindakan yang relevan bagi memastikan pencapaian matlamat strategik organisasi. Pilihan strategik wujud apabila organisasi mempunyai beberapa alternatif keputusan dan tindakan yang boleh diambil tetapi mempunyai implikasi keberkesanan dari segi daya saing yang berbeza. Contoh pilihan strategik ialah pilihan antara melabur dalam teknologi baharu atau mengambil alih pesaing yang memiliki teknologi baharu tersebut. |
strategic approach | pendekatan strategik | Pentadbiran | Pentadbiran Awam | Usaha atau tindakan sistematik yang dilaksanakan oleh pihak pengurusan atasan sesebuah organisasi bagi memastikan perkara yang dirancang dapat disempurnakan. Pendekatan strategik biasanya merangkumi kerangka strategik, perancangan jangka panjang, matlamat dan hala tuju yang jelas, prosedur dan sistem pentadbiran yang rapi, senarai semak tugas yang terkini, jadual kerja yang lengkap dan anggaran risiko masa depan yang tepat. Bagi memastikan usaha ini berjaya, pihak pengurusan perlu mengambil kira faktor penyumbang seperti bebanan tugas yang seimbang, sikap kakitangan yang positif, persekitaran kerja yang kondusif, bayaran upah dan gaji yang setimpal, program latihan dan pembangunan yang berterusan dan hubungan baik antara majikan dengan pekerja. |
strategic decision | keputusan strategik | Pengurusan | Perancangan | Keputusan jangka panjang yang dibuat oleh pihak pengurusan atasan berdasarkan keperluan wawasan dan misi organisasi. Kebiasaannya, keputusan strategik melibatkan perancangan keseluruhan organisasi. Keputusan strategik yang tepat membantu organisasi mencapai keuntungan yang maksimum dan seterusnya mengukuhkan kedudukan organisasi dalam pasaran berbanding dengan pesaing. Contoh keputusan strategik adalah dengan membuka cawangan baharu di luar negara bagi meluaskan pasaran produk. |
strategic development | pembangunan strategik | Pentadbiran | Pentadbiran Awam | Usaha atau tindakan terancang untuk mencapai matlamat dan hala tuju sesuatu program atau projek. Pembangunan strategik melibatkan perancangan yang terperinci dan senarai kerja yang teratur supaya perkara yang dirancang dapat dilaksanakan dengan sempurna dan berkesan. Pembangunan strategik biasanya melibatkan peruntukan kewangan yang banyak, tenaga kerja yang berkemahiran, masa yang lebih panjang, serta penggemblengan tenaga dan idea daripada pihak pengurusan atasan sesebuah organisasi. Tanpa penglibatan serius daripada pihak atasan dan kakitangan, pembangunan strategik tidak dapat dilaksanakan dengan teratur dan berkesan. Impak daripada pembangunan strategik menyumbang kepada kestabilan ekonomi, pencapaian matlamat dan hala tuju organisasi serta kemantapan sistem pengurusan organisasi. |
strategic group mapping | pemetaan kumpulan strategik | Pengurusan | Perancangan | Kaedah yang dilakukan oleh pihak penganalisis strategi dengan memaparkan bilangan dan kedudukan kumpulan strategik dalam sesebuah industri. Paparan tersebut membantu organisasi mengenal pasti pesaing yang setanding dan peluang pasaran baharu yang boleh diterokai. Pemetaan kumpulan strategik adalah berdasarkan dua pemboleh ubah penting yang dipilih dalam menentukan kedudukan saingan sesebuah organisasi dalam industri. Antara pemboleh ubah yang sering diguna pakai ialah harga produk, tahap kualiti, kepelbagaian produk, liputan pasaran dan saluran pengedaran. Contohnya, pemetaan kumpulan strategik yang dibangunkan untuk industri automotif di Amerika Syarikat. Lihat juga kumpulan strategik. |
cross-border strategic alliance | perikatan strategik rentas sempadan | Pengurusan | Perancangan | Perikatan strategik yang melibatkan pembentukan kerjasama antara organisasi dari negara yang berbeza bagi meningkatkan keupayaan mereka untuk bersaing dalam pasaran antarabangsa. Perikatan strategik rentas sempadan bertujuan untuk memberikan kelebihan daya saing kepada organisasi dengan risiko yang lebih rendah berbanding tindakan pengambilalihan atau penggabungan. Contohnya, kerjasama antara syarikat penerbangan beberapa negara yang membentuk rangkaian perikatan yang mampu mengukuhkan prestasi pengoperasian pada peringkat antarabangsa. |
strategic framework | kerangka strategik | Pentadbiran | Pentadbiran Awam | Panduan atau rangka kerja yang mempunyai perancangan yang rapi untuk mencapai sesuatu matlamat dan hala tuju tertentu. Pihak pengurusan atasan bertanggungjawab sepenuhnya dalam menggubal kerangka strategik organisasi, dengan kerjasama pemegang saham untuk mencapai keuntungan. Kandungan kerangka strategik biasanya merangkumi proses perancangan jangka panjang, pelan tindakan, kedudukan kewangan, jangkauan keuntungan masa depan, anggaran pendapatan dan perbelanjaan, jumlah tenaga kerja yang diperlukan dalam tempoh tertentu, unjuran kakitangan organisasi, jangkauan kerugian dan laba serta risiko organisasi. Kerangka strategik boleh dijadikan alat untuk mengukur kelangsungan pentadbiran dan bertindak sebagai pemangkin kepada sistem pengurusan organisasi yang berkesan. |
strategic leadership | kepemimpinan strategik | Pengurusan | Perancangan | Pendekatan yang diambil oleh pihak pengurusan atasan sesebuah organisasi dalam menjayakan matlamat organisasi untuk berdaya saing. Kepemimpinan strategik menekankan kemampuan pihak pengurusan atasan untuk memotivasikan dan meyakinkan ahli organisasi dalam mendukung wawasan organisasi yang telah ditetapkan. Contohnya, pendekatan strategik pemimpin institusi pengajian tinggi yang mempunyai wawasan untuk meletakkan organisasi mereka setanding dengan universiti tersohor di dunia. Pemimpin tersebut perlu berupaya meyakinkan warga universiti keseluruhannya untuk bersama-sama merealisasikan wawasan tersebut. |
strategic planning | perancangan strategik | Pengurusan | Perancangan | Proses sistematik yang dilakukan oleh pihak pengurusan atasan dalam menentukan matlamat jangka panjang sesebuah organisasi. Perancangan strategik dilakukan dengan mengenal pasti kaedah dan pendekatan yang terbaik dan bersesuaian dengan organisasi, bagi mencapai matlamat yang ditetapkan secara bersama. Aktiviti perancangan strategik termasuklah analisis persekitaran dalaman dan luaran, isu yang dihadapi, pembentukan strategi yang bertepatan dengan situasi yang dihadapi dan penetapan matlamat dan objektif yang ingin dicapai oleh organisasi. |
strategic management | pengurusan strategik | Pengurusan | Perancangan | Satu pendekatan pengurusan yang melibatkan pembentukan, pelaksanaan, dan penilaian berterusan terhadap sesuatu perancangan strategi sesebuah organisasi. Matlamat utama pengurusan strategik adalah untuk menentukan hala tuju dan mencapai prestasi supaya sesebuah organisasi mampu bersaing dan mampan. Kejayaan pengurusan strategik dipengaruhi oleh faktor keupayaan pihak pengurusan atasan, kemampuan menganalisis persekitaran dan membuat keputusan mengikut cabaran terkini dan sesuai dengan keperluan semasa. |