| Oxalis corniculata | sikup dada | Herba | Botani dan Bioteknologi | Tumbuhan herba kecil dan merayap dalam famili Oxalidaceae dan dikenali juga sebagai sekap dada atau semanggi gunung. Tumbuhan ini tumbuh melata di taman, di halaman rumah dan di dalam pasu. Batangnya kecil lembut dan berbulu. Daunnya jenis majmuk, bertangkai kecil dan panjang serta mengandungi tiga anak daun. Anak daun nipis berbentuk seperti jantung terbalik dan berlekuk dalam di hujungnya. Bunganya kecil berwarna kuning. Buahnya jenis kapsul mengandungi biji kemerah-merahan. Daunnya yang ditumbuk lumat dibuat pupuk untuk mengurangkan panas badan. Daunnya juga dibuat kumur untuk sakit mulut dan gusi. Jus daun dititikkan ke mata untuk mengubati sakit mata dan gatal kelopak mata. Jus daun juga diminum untuk melegakan batuk. |
| belian | belian | Perhutanan | Sains Kayu dan Hasil Hutan | Nama piawai bagi kayu Eusideroxylon zwageri daripada famili lauraceae. Nama lain di Sabah ialah tambulian, dan nama dagangannya di Eropah ialah Borneo ironwood. Gubal kayu belian berwarna kuning cerah, dan mudah dibezakan daripada teras kayunya yang berwarna coklat muda, dan bertukar menjadi coklat kemerahan apabila terdedah. Tekstur kayunya halus dengan ira yang lurus dan agak bersimpul. Kayu ini mempunyai nilai ketumpatan keringan udara yang berjulat antara 835 hingga 1185 kg/m3, dan tergolong dalam kumpulan kayu keras berat. Kayu belian merupakan salah satu kayu yang paling tahan di dunia, sukar diawet dan lambat mengering. Kayu ini kuat, mudah dikerjakan dan dapat menghasilkan permukaan yang berkilau. Kayu ini terpilih dan sesuai untuk dijadikan cerucuk laut, sirap, tiang pakar, lantai tahan lasak, atap rumah, dan untuk kerja binaan berat, bot dan dermaga. |
| malabera | malabera bukit | Perhutanan | Sains Kayu dan Hasil Hutan | Nama biasa bagi pokok dan kayu Mussaendopsis beccariana daripada famili Rubiaceae. Nama tempatannya di Semenanjung ialah mempedal babi. Gubal kayu teras kayu malabera bukit sukar dibezakan dan biasanya berwarna kuning jingga. Malabera bukit mempunyai nilai ketumpatan keringan udara yang berjulat antara 915 hingga 930 kg/m3, dan tergolong dalam kumpulan kayu yang keras dan berat. Kayu ini sukar dikerjakan dan boleh digunakan untuk kerja binaan sementara, pembinaan rumah dan lantai. |