menajam | menjadi tajam: keningnya berkerut dan cemas ~ matanya memandang kpd gadis di sisinya itu; | Kamus Dewan Edisi Keempat |
tajam I | 1. mudah memotong (mengerat, menghiris, melukai), mudah makan (pisau dll), lwn tumpul: parang yg ~; 2. runcing hujungnya, lancip: paku yg ~; 3. dapat melihat (mendengar, merasai, dll) dgn cepat atau dgn cekap: dgn menggunakan pendengarannya yg ~ sbg orang gunung, Rijnhaard dapat menggesek biola spt bapanya itu; 4. mudah menangkap atau mengerti (akal, fikiran), pintar, cerdik: ~ juga otak budak sekolah menengah ini; 5. kelihatan garang atau galak (pandangan, air muka): ia memerhati dgn pandangan yg ~; 6. keras atau pedas (kritikan, teguran, sindiran, dll): walaupun mulut Mak Siti itu ~ dan perkataannya pedas-pedas, hatinya baik juga; 7. boleh menyakiti (sabun, asap, asid, dll), dapat melukai: walaupun matanya tertutup oleh asap itu tiada sekali juga dikejapkannya, seakan-akan tidak pedih rasanya kena asap yg ~ itu; 8. menjadi genting, memuncak: pertelingkahan antara mereka semakin hari semakin ~; 9. kuat, berpengaruh: budi bahasa yg baik ialah satu drpd daya penarik yg ~ bagi pekedai; 10. jelas, ketara: ketidaksamaan taraf sosioekonomi akan memperlihatkan perbezaan yg ~ antara sektor; ~ akal = ~ fikiran pintar, cerdik; ~ mata lekas dapat melihat; ~ mulut suka mengeluarkan kata-kata yg pedas; ~ pendengaran lekas dapat mendengar; berapakah ~ pisau parang ~ lagi mulut manusia = keris lembing (pedang) tiada ~, ~ lagi lidah (mulut) manusia prb, kata-kata atau percakapan lebih menyakiti hati orang drpd dilukai dgn senjata tajam; yg ~ tumpul, yg bisa tawar prb, Mn a) kerana berkat ubat atau doa penyakit sembuh; b) kerana percakapan yg manis sengketa hilang; menajam menjadi tajam: keningnya berkerut dan cemas ~ matanya memandang kpd gadis di sisinya itu; menajamkan menjadikan tajam: pensel itu mesti ditajamkan; dia ~ telinga mendengar-dengar ke tengah rumah dan ke dapur; mempertajam menjadikan lebih tajam: pemakaian bahasa setiap hari dgn sendirinya akan ~ perasaan kita terhadap bahasa yg kita pakai; pembacaan yg luas dan mendalam pasti berfungsi ~ pemikiran; ~ sanding ki membesarkan perselisihan; adakah duri dipertajam prb a) orang yg cerdik tidak perlu diberi nasihat lagi; b) musuh tidak perlu diberi pertolongan; ketajaman hal atau sifat tajam: ia bertambah kagum dan ghairah memikirkan ~ otak gadis itu; penajaman perihal (proses, perbuatan dsb) menajamkan: ~ mata pisau. | Kamus Dewan Edisi Keempat |