consortium | konsortium | Kesusasteraan | Tiada | Kerjasama sementara antara beberapa kuasa, badan-badan, bank dan sebagainya untuk mencapai matlamat yang sama, biasanya dalam perdagangan atau politik. |
government | kerajaan | Sains Politik | Politik Perbandingan | Badan, agensi atau jentera bagi unit politik dalam sesebuah negara yang dikenali juga sebagai badan eksekutif. Badan ini bertanggungjawab melaksanakan autoriti atau menjalankan tugas pentadbiran seperti yang diperincikan dalam perlembagaan negara tersebut. Badan ini juga merupakan antara bahagian utama dalam konsep pemisahan kuasa pemerintahan di samping legislatif dan kehakiman. Kerajaan biasanya dianggotai oleh pemimpin yang telah memenangi pilihan raya dan melaksanakan dasar yang telah digubal oleh dewan perundangan. Badan ini bertanggungjawab dalam memelihara keselamatan serta menentukan dasar yang boleh membawa kepada pembangunan negara. Kerajaan ini boleh berubah sekiranya kumpulan atau parti yang memerintah tewas kepada parti lain dalam pilihan raya. Lihat juga pemerintah. |
body shaming | kecam badan/ sindir badan | Umum | Tiada | Kritikan terhadap seseorang berdasarkan bentuk, saiz, atau rupa tubuh mereka. |
abduction | abduksi | Sains Sukan | Biomekanik | Pergerakan anggota badan dari posisi anatomi yang berlaku pada satah frontal. Anggota badan seperti tangan dan kaki bergerak secara lateral menjauhi garis tengah badan. Abduksi tangan melibatkan pergerakan tangan dari sisi badan ke atas, manakala abduksi kaki melibatkan pergerakan kaki dari sisi badan ke atas. Contohnya, fasa yang melibatkan abduksi kaki semasa aksi acara kekuda berpelana dalam gimnastik artistik. Lihat juga posisi anatomi, satah frontal. Banding aduksi. |
adduction | aduksi | Sains Sukan | Biomekanik | Pergerakan anggota badan dari posisi anatomi yang berlaku pada satah frontal. Anggota badan seperti tangan dan kaki bergerak secara lateral mendekati garis tengah badan. Aduksi tangan melibatkan pergerakan tangan dari atas ke sisi badan, manakala aduksi kaki melibatkan pergerakan kaki dari atas ke sisi badan. Contohnya, fasa yang melibatkan aduksi kaki semasa aksi acara kekuda berpelana dalam gimnastik artistik. Lihat juga posisi anatomi, satah frontal. Banding abduksi. |
body condition score | skor keadaan badan | Penternakan | Genetik dan Pembiakbakaan | Satu kaedah pengurusan ternakan dalam menentukan kandungan relatif lemak badan pada haiwan ternakan hidup. Skor keadaan badan dapat membantu penternak pada peringkat pembiakan ternakan betina serta peringkat penggemukan. Contohnya, dalam ternakan lembu pedaging, skor 1 hingga 9 digunakan. Perubahan pada skor keadaan badan juga boleh digunakan sebagai petunjuk sama ada nutrien yang dibekalkan berpadanan dengan keperluan ternakan tersebut. |
cardinal plane | satah kardinal | Sains Sukan | Biomekanik | Satah yang merentasi garis tengah badan atau pusat graviti badan. |
cartwheel axis | paksi putar roda | Sains Sukan | Biomekanik | Paksi yang merentasi dari hadapan badan ke belakang badan. |
legislative | legislatif | Sains Politik | Politik Perbandingan | Badan yang terdiri daripada wakil rakyat dan anggota terpilih yang bersidang di dewan perundangan (parlimen) dan bertanggungjawab dalam menggubal dan meminda undang-undang, perlembagaan atau dasar negara. Badan ini dipimpin oleh ketua negara dan merupakan salah satu badan pemerintahan di samping eksekutif dan kehakiman. Badan ini bertanggungjawab menggubal semua dasar negara yang melibatkan pembangunan ekonomi, keselamatan negara dan perpaduan nasional. Ia bersidang mengikut jadual dan anggotanya boleh bertukar secara lantikan atau selepas pilihan raya. Contohnya, Parlimen Malaysia merupakan satu badan legislatif. Sinonim perundangan. |
grievous bodily harm | kecederaan parah tubuh badan | Kriminologi | Keadilan Jenayah | Kecederaan fizikal yang serius yang dilakukan oleh seseorang secara sengaja terhadap mangsa. Kecederaan ini boleh disebabkan oleh penggunaan senjata atau kekuatan fizikal. Contohnya, pergaduhan yang mengakibatkan kehilangan anggota badan atau fungsi anggota badan seperti penglihatan dan pendengaran. |