nascent state | keadaan nasen | Fizik | Nanoteknologi | Satu keadaan aktif suatu unsur kimia selepas dibebaskan hasil daripada tindak balas kimia. Unsur akan berada pada keadaan atom untuk beberapa ketika sebelum bertindak balas untuk menghasilkan molekul. Dalam masa tersebut, atom sangat mudah bertindak balas. Contoh nasen hidrogen terdiri daripada atom hidrogen bebas yang tidak terikat seperti molekul hidrogen biasa. |
juvenilia | karya juvenil | Kesusasteraan | Tiada | Karya yang dihasilkan ketika pengarang masih remaja. Karya juvenil juga merujuk kepada sekumpulan karya yang khusus ditulis untuk pembaca daripada golongan remaja. Sesetengah pengarang mula menulis karya sastera sejak remaja. Bakat penulisan mereka berkembang dari semasa ke semasa sehingga mereka menjadi pengarang yang mapan. Contohnya, puisi berjudul �Upon the Death of Lord Hasting� (1649) ditulis oleh Dryden ketika berumur lapan belas tahun. Karya yang dihasilkan oleh pengarang remaja biasanya memperlihatkan beberapa kelemahan dan ketidakmatangan, sama ada dari segi gaya penulisan atau olahan pemikiran. Hal ini dianggap biasa kerana pada peringkat remaja, seseorang pengarang belum mempunyai banyak pengalaman, kurang pengetahuan serta masih berada pada peringkat pembentukan bakat dan kreativiti. Karya yang dihasilkan biasanya bertemakan alam kehidupan remaja dengan gaya penulisan dan olahan pemikiran yang sesuai dengan tahap golongan remaja. Antara penulis karya juvenil ialah Hizairi Othman dengan karyanya berjudul �Merungkai Deduksi� (1996) dan �Dilema� (1991), dan Ahmad Patria Abdullah dengan karyanya berjudul Permata Aurorius (1987), dan Puteri Alindalia (1993). |
plural society | masyarakat majmuk | Sains Politik | Politik Perbandingan | Masyarakat yang mengandungi beberapa etnik yang dicirikan dengan kepelbagaian bahasa, budaya, agama dan tempat tinggal. Perbezaan etnik ini mengurangkan perhubungan antara satu dengan yang lain. Interaksi minimum hanya terdapat di pasar dalam urusan jual beli apabila mereka terpaksa bertemu. Jenis pekerjaan yang terdapat dalam masyarakat ini juga terbahagi mengikut kaum. Walau bagaimanapun penduduk yang majmuk ini berada dalam satu pemerintahan dan mereka akur dengan kerajaan tersebut. Idea ini diperkenalkan oleh J.S. Furnivall yang mengkaji masyarakat Indonesia dan Burma ketika mereka masih berada dalam zaman penjajahan. Masyarakat majmuk menurut Furnivall ini tidak wujud lagi tetapi kepelbagaian tersebut masih terdapat dalam beberapa masyarakat yang memiliki beberapa etnik yang berbeza seperti Malaysia, Sri Lanka dan Fiji. Masyarakat ini tidak lagi berada dalam zaman penjajahan dan interaksi antara kaum juga sudah banyak bertambah. |
absence | ketidakhadiran | Kesusasteraan | Tiada | Kelompangan yang wujud dalam sesebuah teks sastera. Pada zahirnya, sesebuah teks dilihat sebagai sebuah entiti yang lengkap, tetapi sebenarnya terdapat beberapa kelompongan. Hal ini demikian kerana pemilihan perkataan oleh pengarang menyebabkan perkataan lain terpaksa dilenyapkan. Apabila terbitnya karya Pierre Macherey bertajuk Pour une Theorie de la Production Litteraire yang diterjemahkan sebagai A Theory of Literary Production, konsep ketidakhadiran ini semakin mendapat perhatian para pengkritik. Menurut Macherey, setiap perkataan yang dipilih oleh karyawan tertera dalam sesebuah teks, bermakna perkataan lain terpaksa dinyahkan. Jacques Derrida pula berpendapat bahawa setiap garapan oleh pengarang dipilih berdasarkan kehadiran khalayak dan pilihan tersebut bertujuan membawa khalayak kepada ideologinya. Perbuatan mengesan kelompangan dalam sesebuah teks merupakan strategi untuk menyelongkar ideologi teks tersebut. Sigmund Freud menamakan ketidakhadiran ini sebagai The Unconscious, iaitu penganalisis boleh membongkar psikologi di sebalik kelompongan teks. Contohnya dalam Sejarah Melayu, suara wanita tidak kedengaran. Situasi ini seolah-oleh memberikan gambaran bahawa wanita tidak penting dalam pembentukan kerajaan Melayu, tetapi jika diteliti, ketidakhadiran wanita tersebut akan dapat mendedahkan ideologi patriarki feudalisme ketika itu. |
counter revolution | revolusi balas | Sains Politik | Politik Perbandingan | Revolusi yang digerakkan sebagai tindak balas terhadap revolusi yang merombak sistem, aturan sosial dan pemikiran sesebuah masyarakat. Revolusi balas ini muncul disebabkan wujudnya pemikiran yang tidak bersetuju dengan gerakan revolusi yang telah tercetus sebelum ini. Revolusi balas tidak bermakna satu gerakan yang ingin mengembalikan sistem sosial sebagaimana yang wujud sebelum itu tetapi kebiasaannya merujuk kepada keinginan untuk memperbaiki beberapa aspek dalam revolusi yang dilihat tidak sesuai dengan kehidupan masyarakat. Misalnya kemunculan pemikiran Positivisme yang dipelopori oleh Henry St. Simon dan Auguste Comte pada abad ke-18 merupakan satu bentuk revolusi balas dari sudut pemikiran yang menentang aspek kebebasan mutlak yang dianjurkan oleh Revolusi Perancis ketika itu. Namun idea ini tidak bermakna mahu mengembalikan pemikiran masyarakat Perancis seperti zaman feudal sebelum revolusi tercetus. |