imagination | imaginasi | Kesusasteraan | Tiada | Kebolehan menggambarkan sesuatu dalam fikiran. Imaginasi tidak bersifat kenyataan tetapi dipenuhi khayalan dan angan-angan. Imaginasi mampu membentuk imej atau representasi dalam karya sastera. Bagi para pemikir zaman klasik, imaginasi ialah daya fikir membina yang mampu mengubah pengalaman serta melahirkan intuisi dan wawasan. Sejak 1800, imaginasi dianggap sebagai daya kreatif yang utama dalam pengkaryaan. Coleridge dalam karya berjudul Biographia Literaria (1817) berpendapat bahawa imaginasi ialah suatu daya magis dan daya sintesis yang melahirkan penciptaan baharu dan keaslian dalam penulisan kreatif. Para penyair menganggap bahawa sumbangan utama imaginasi adalah untuk merangsang keupayaan mereka menyelesaikan percanggahan dan kontradiksi. Justeru, daya imaginasi menolong pengarang mencipta naratif atau puisi yang indah dan harmonis daripada pengalaman yang berbeza dan bercanggah. Dalam penciptaan puisi, pengarang lebih mengutamakan kepentingan imaginasi berbanding dengan kepentingan kehendak sedar mereka. Pada dasarnya, para penyair romantis menganggap imaginasi sebagai positif dan menyumbang kepada pengkaryaan seni mereka. Namun, sejak zaman Yunani, ahli pemikir seperti Plato telah meragui kesan imaginasi. Hal ini demikian kerana imaginasi dikaitkan dengan ilusi, kekeliruan, dan penipuan. Menurut Plato, jika tidak dikawal, imaginasi boleh membawa kepada kegilaan. Imaginasi berasal dariapda perkataan Latin imaginatio bermaksuk �membentuk sesuatu imej�. |
patriarchy | patriarki | Kesusasteraan | Tiada | Institusi sosial yang meletakkan lelaki sebagai pemegang kuasa dominan atau utama. Contoh kuasa boleh diperlihatkan melalui peranan utama yang dimainkan oleh lelaki dalam pentadbiran, institusi sosial, pemilikan, dan pewarisan harta. Patriarki dikaitkan dengan nilai seperti sikap persaingan dan bukan empati, intelek dan bukan intuisi. Nilai ini membawa kepada sikap materialistik dan keinginan untuk berkuasa dan menakluk. Walau bagaimanapun, konsep patriarki tidak membawa maksud monolitik kerana ciri-ciri patriarki turut bergantung pada konteks budaya yang khusus, menyebabkannya berbeza dari satu budaya kepada budaya yang lain. Contohnya, kritikan feminis dalam bidang sains sosial dan kesusasteraan berpusat kepada kritikan hegemoni patriarki. Para pengkritik feminis berpendapat bahawa patriarki dapat dilihat dari pelbagai aspek kehidupan. Contohnya, dalam sektor ekonomi, wanita dibayar upah yang lebih rendah berbanding lelaki walaupun menjalankan tugas yang sama. Dari segi budaya, contohnya dalam media massa, wanita sering dipaparkan stereotaip sebagai lambang seks dan wanita dikatakan kurang pintar berbanding lelaki. Dalam kritikan kesusasteraan dari sudut feminis, diskriminasi patriarki ini didedahkan melalui kritikan terhadap stereotaip watak wanita. Kritikan dari sudut ini menampilkan kejayaan pengarang wanita yang selama ini terabai. Kritikan ini juga mencadangkan gaya penulisan bersifat kewanitaan yang tidak membawa nada yang tegar tetapi lebih bersifat empati. Patriarki berasal daripada perkataan Yunani patriarches, iaitu pater yang bermaksud �bapa� dan archein yang bermaksud �memerintah�. Lihat juga ginokritisisme. |
transcendantalism | transendentalisme | Kesusasteraan | Tiada | Pergerakan falsafah dan sastera idealis yang bermula di bawah pengaruh pergerakan Romantik Jerman dan Inggeris. Transendentalisme ini memerikan suasana pemikiran dan rasa hati manusia berdasarkan prinsip pengetahuan intuitif ahli falsafah Jerman, Immanuel Kant (1724-1804), dan seperti yang diungkapkan oleh goethe, Carlyle, dan Coleridge. Gerakan ini menekankan dimensi rohani dan mistik pada diri manusia serta kewujudan dimensi alam yang melewati alam pancaindera. Secara lebih khusus, golongan transendentalis merupakan reformis sosial, penulis dan pemikir Amerika pada awal abad ke-19. Golongan ini bersama-sama membangunkan falsafah yang bersifat tidak konformis (non-conformist) dan individualistik, dengan menolak agama berstruktur atau formal. Mereka meraikan unsur ketuhanan dalam diri setiap manusia, dengan mempercayai bahawa kesedaran dalaman atau rohani manusia adalah bersifat ketuhanan. Persis kaum panteis, bagi mereka tuhan hadir secara pasti (imminent) dalam alam dan diri manusia. Jiwa hadir dalam segala benda, dan deria fizikal harus diatasi menerusi kebenaran intuisi seseorang. Penulis utama golongan transendentalis ialah Ralph Waldo Emerson yang menulis esei bertajuk Nature. Beliau mengetengahkan fenomena semula jadi sebagai simbol kebenaran kerohanian yang lebih tinggi. Selain itu, esei Henry David Thoreau yang bertajuk The Transcendentalist (1842) merupakan esei yang bersifat autobiografi, menentang materialisme moden. Pada dasarnya, transendentalisme merupakan pergerakan agama pemikiran, kursusnya yang berkait dengan epistemologi dan amalan kehidupan seni dan budaya. Kaedah mentafsir alam secara simbolik bagi golongan transendentalis mempunyai pengaruh yang mendalam terhadap kesusasteraan semasa Amerika, terutamanya dalam karya pengarang seperti Nathaniel Hawthorne, Herman Melville, dan Walt Whitman. Transendentalisme dalam bahasa Latin bermaksud �memanjat� atau �melintasi�. |