plural society | masyarakat majmuk | Sains Politik | Politik Perbandingan | Masyarakat yang mengandungi beberapa etnik yang dicirikan dengan kepelbagaian bahasa, budaya, agama dan tempat tinggal. Perbezaan etnik ini mengurangkan perhubungan antara satu dengan yang lain. Interaksi minimum hanya terdapat di pasar dalam urusan jual beli apabila mereka terpaksa bertemu. Jenis pekerjaan yang terdapat dalam masyarakat ini juga terbahagi mengikut kaum. Walau bagaimanapun penduduk yang majmuk ini berada dalam satu pemerintahan dan mereka akur dengan kerajaan tersebut. Idea ini diperkenalkan oleh J.S. Furnivall yang mengkaji masyarakat Indonesia dan Burma ketika mereka masih berada dalam zaman penjajahan. Masyarakat majmuk menurut Furnivall ini tidak wujud lagi tetapi kepelbagaian tersebut masih terdapat dalam beberapa masyarakat yang memiliki beberapa etnik yang berbeza seperti Malaysia, Sri Lanka dan Fiji. Masyarakat ini tidak lagi berada dalam zaman penjajahan dan interaksi antara kaum juga sudah banyak bertambah. |
hybridization | penghibridan | Kesusasteraan | Tiada | Perkataan yang mempunyai gabungan ciri-cirki pinjaman daripada bahasa atau pelbagai bahasa lain dari sudut leksikologi. Dalam kritikan sastera, penghibridan merujuk kepada gabungan ragam gaya bahasa (heteroglossia) dalam suatu pengucapan atau ayat oleh dua �suara� atau watak yang berlainan. Konsep ini diutarakan oleh M.M. Bakhtin. Dalam teori pascakolonial, penghibridan merujuk kepada kacukan budaya atau tradisi hasil daripada kewujudan masyarakat majmuk akibat proses kolonialisme. Dalam keadaan kacukan budaya ini, kacukan tradisi dan teknik penulisan penjajah dan peribumi dan budaya lain akan menghasilkan sesuatu yang baharu, segar dan dinamik. Walau bagaimanapun, kacukan ini dihantui pelbagai masalah berkaitan penerimaan, kebergantungan kepada tradisi yang lebih besar dan sebagainya. Penteori utama pascakolonial termasuklah Homi Bhabha, Wilson Harris dan Edward Said. |
analytical tool | alat analisis | Sains Politik | Politik Perbandingan | Teori, konsep atau model yang kerap digunakan oleh ahli sains sosial, khususnya ahli antropologi, sosiologi, psikologi dan juga sains politik bagi memandu mereka memahami, meneliti dan menghurai sesuatu fenomena sosial yang wujud secara ilmiah. Melalui penggunaan alat ini, mereka akan melakukan generalisasi terhadap sesuatu fenomena sosial yang diteliti. Contohnya, konsep demokrasi permuafakatan digunakan oleh sarjana sains politik dalam meneliti fenomena politik gabungan yang wujud dalam masyarakat majmuk. |
heterogenous society | masyarakat heterogen | Sains Politik | Politik Perbandingan | Masyarakat kompleks yang terdiri daripada berbilang etnik dengan pelbagai amalan agama, bahasa, budaya dan warna kulit. Dalam masyarakat heterogen, tidak wujud satu unsur identiti yang jelas bagi satu-satu kelompok masyarakat. Perbezaan ini tidak terbatas kepada unsur etnik dan budaya semata-mata tetapi juga dari sudut jenis pekerjaan, tempat tinggal, pendidikan, gender dan kelas. Masyarakat ini lebih kompleks daripada masyarakat majmuk yang melihat perbezaan kaum itu selari dengan perbezaan bahasa, agama dan budaya. Dalam masyarakat heterogen ini, perbezaan juga boleh terdapat dalam satu kaum. Contohnya, masyarakat metropolitan kota yang besar seperti Kuala Lumpur, London dan New York merupakan masyarakat heterogen. |
pluralism | Faham majmuk | Sains Politik | Politik Perbandingan | Fahaman yang menjelaskan sebuah masyarakat yang memiliki kepelbagaian sama ada dari segi kelompok etnik, parti politik, pertubuhan pendesak atau individu. Setiap kelompok memiliki minat dan kepentingan yang berbeza serta bersaing antara satu sama lain dalam mempengaruhi dasar negara mengikut peraturan yang ditetapkan. Kepelbagaian dan kebebasan merupakan ciri utama fahaman ini iaitu hak dan tanggungjawab setiap kelompok atau individu perlu dihormati. Dalam masyarakat yang majmuk, kepelbagaian ini sering ditonjolkan dalam bentuk kaum atau ras manakala dalam masyarakat yang lebih kompleks ditonjolkan oleh parti politik dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang pelbagai. Fahaman ini menolak penguasaan kelas atasan terhadap masyarakat atau sekatan terhadap kebebasan persaingan politik. Sinonim pluralisme. |
consociational democracy | demokrasi permuafakatan | Sains Politik | Politik Perbandingan | Sistem demokrasi yang kerjasama atau perkongsian kuasa politiknya terbentuk kesan daripada struktur masyarakat yang berbeza dari sudut etnik, agama, bahasa dan budaya. Dalam masyarakat yang majmuk ini, amalan demokrasi yang liberal sukar untuk dipraktikkan. Bagi mengelakkan sebarang konflik, kerjasama di kalangan elit politik atau disebut juga sebagai elit kartel diwujudkan untuk mewakili kepentingan kelompok masing-masing. Melalui cara ini, persefahaman dapat dicapai berhubung dengan pembahagian kuasa dalam kerajaan, amalan budaya, pengagihan kekayaan ekonomi, peluang pekerjaan dan sebagainya. Idea demokrasi permuafakatan dikemukakan oleh sarjana politik Belanda iailu Arend Lijphart sewaktu Persidangan IImu Politik Antarabangsa di Brussel, Belgium pada tahun 1967. Malaysia merupakan salah sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi ini. |
social environment | persekitaran sosial | Sains Politik | Politik Perbandingan | Latar yang melibatkan hubungan manusia dalam masyarakat seperti hubungan keluarga, struktur masyarakat sama ada majmuk atau tidak, kedudukan kelas yang berbeza dan pembahagiannya, kehadiran pendatang luar serta kaitannya dengan pembandaran, sifat migrasi dalaman, kemiskinan, kesesakan, sifat perumahan, kehadiran setinggan dan sebagainya. Semua faktor ini merupakan persekitaran sosial yang tidak melibatkan persekitaran alam dan memiliki hubungan yang sangat rapat dengan pembangunan ekonomi dan politik. Contohnya, persekitaran sosial di Brunei Darussalam berbeza dengan Singapura. |
disintegration | perpecahan | Sains Politik | Politik Perbandingan | Situasi atau keadaan berpecah belah yang wujud dalam sesebuah masyarakat atau negara akibat daripada perbezaan pendapat, kepuakan, tuntutan autonomi pentadbiran dan persaingan politik. Perpecahan ini biasanya wujud dalam masyarakat yang bersifat majmuk. Situasi ini biasanya mengakibatkan masyarakat atau negara berkonflik sesama sendiri. Konflik ini boleh bersifat permusuhan, pemisahan kawasan, pergaduhan kecil atau peperangan terbuka. Perpecahan boleh menyebabkan struktur negara tersebut berubah daripada sifat asalnya kepada penubuhan negara baru manakala perpecahan masyarakat pula akan menggugat kesepaduan sesama anggota. Contohnya, perang saudara yang berlaku di negara bekas Yugoslavia pada dekad l990-an telah menyebabkan perpecahan di negara tersebut. |
affirmative action | tindakan afirmatif | Sains Politik | Politik Perbandingan | Dasar yang digubal untuk memperbetulkan keadaan atau fenomena ketidakseimbangan sosial ekonomi yang wujud dalam sesebuah masyarakat, khususnya yang bersifat majmuk. Dasar atau tindakan ini diambil secara drastik oleh pemerintah setelah berlaku sesuatu peristiwa yang melibatkan hubungan kaum. Kerajaan Amerika Syarikat pada tahun 1970 telah mengambil tindakan afirmatif dalam bidang pendidikan untuk memberi peluang yang lebih saksama kepada minoriti kulit hitam. Sementara di Malaysia, Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang digubal pada tahun 1970 boleh diklasifikasikan sebagai tindakan afirmatif untuk memperbaik ketidakseimbangan yang wujud antara kaum. Sinonim tindakan pengesahan. |
minority | minoriti | Sains Politik | Politik Perbandingan | Kelompok yang lebih kecil berbanding dengan kelompok lain dalam sesebuah masyarakat. Dalam konteks sosial dan politik, minoriti tidak membawa makna bilangan sahaja tetapi juga kedudukannya yang lebih terpinggir, tidak mendapat keutamaan, tidak berkuasa, dan sering dieksploitasi. Golongan minoriti mempunyai semangat kekitaan dan sentimen yang kuat. Semangat ini dilahirkan sama ada melalui latar budaya, bahasa, agama, adat atau tradisi yang sama. Golongan minoriti juga terbentuk melalui penghijrahan satu kelompok ke negara lain seperti minoriti India di Malaysia atau kesan daripada struktur masyarakat yang sedia majmuk apabila kaum yang kecil saiznya dianggap sebagai minoriti seperti Melayu di Thailand dan Champa di Cambodia. |