Certificate of Analysis (COA) | sijil analisis (COA) | Herba | Peraturan dan Pemasaran | Dokumen yang melaporkan dan memperakukan keputusan ujian analisis suatu bahan atau produk herba yang menepati tahap kualiti atau ketulenan berdasarkan spesifikasi yang telah ditetapkan. Dokumen ini biasanya dikeluarkan oleh syarikat atau makmal berakreditasi yang menjalankan analisis tersebut. Sijil analisis diperlukan oleh syarikat pembeli atau agensi kerajaan untuk mengesahkan identiti dan tahap kualiti bahan tersebut. |
magical realism | realisme magis | Kesusasteraan | Tiada | Kaedah penulisan yang memaparkan perkara yang aneh, ajaib, luar biasa dan menakjubkan sebagai perkara biasa atau ghalib. Realiti yang diketengahkan oleh perkara ajaib dan luar biasa ini dianggap lebih berwibawa daripada realiti yang objektif. Tidak seperti cereka fantasi yang menggambarkan perkara aneh tetapi memperakukan keanehannya, realisme magis menyifatkan perkara aneh ini sebagai sesuatu yang lumrah. Berbanding surealisme yang menekankan aspek ketidaklogikan perkara ajaib yang dipaparkan, realisme magis menganggap perkara tersebut sebagai sebahagian daripada realiti harian dan tidak banyak berbeza. Realisme magis bertujuan untuk memperluaskan horison realiti serta menjangkau perkara yang di luar taakulan logik yang meliputi agama dan mitos. Istilah ini diperkenalkan oleh pengkritik Jerman Franz Roh pada tahun 1925. Konsep ini menarik perhatian Alejo Carpentier, penulis Cuba yang berada di Eropah yang mengandaikan bahawa realisme magis begitu sesuai dengan benua Amerika Latin. Benua ini luas dan kaya dengan kepercayaan, adat resam, sastera rakyat, dan mitosnya yang dibauri oleh elemen magis dan keajaiban. Realisme magis terus menapak dalam tradisi sastera Amerika Latin, walaupun penulis dari negara lain juga memaparkan realisme magis dalam karya mereka. Antara contoh terpenting yang menerapkan realisme magis ialah novel berjudul Cien Anos de Soledad atau One Hundred Years of Solitude oleh novelis Colombia Gabriel Garcia Marquez yang diterjemahkan ke bahasa Melayu dengan judul Sumpah Tujuh Keturunan oleh Zulkifli Ahmad. Novel ini memasukkan pelbagai peristiwa seperti anak kecil yang makan lumpur, watak yang terbang ke syurga, wabak sukar tidur, kealpaan yang meluas dalam kalangan penduduk sebuah masyarakat sehingga setiap benda perlu ditulis namanya untuk ingatan semua. Di luar Amerika Latin, penulis yang mengamalkan realisme magis termasuklah Gunter Grass, Angela Carter, John Fowles, Emma Tennant dan lain-lain. Contoh realisme magis dalam sastera Melayu ditemui dalam karya Anak Mat Lela Gila oleh Ishak Hj. Muhammad dan Hujan Pagi oleh A. Samad Said. Lihat juga cerita seram, novel, novel gotik. |
nouveau roman | nouveau roman | Kesusasteraan | Tiada | Gerakan di Perancis pada dekad 40-an hingga 60-an yang mempertikaikan bentuk novel konvensional. Gerakan ini rata-ratanya bersifat realistik dan menekankan plot, perwatakan, naratif dan sebaliknya. Gerakan ini membawa kelainan dan perubahan yang bersifat inovatif dalam struktur novel yang diterima pakai pada masa kini, di samping mendobrak tanggapan dan andaian khalayak terhadap bentuk sebuah novel. Antara inovasi yang diperkenalkan termasuklah menekankan kelencongan bahasa untuk tujuan mengetengahkan kepentingan bahasa dalam novel, serta memperakukan dengan jelas sifat kecerekaan sesebuah naratif. Hal ini berbeza dengan konsep novel dewasa yang menerima bentuk novel sebagai rakaman kenyataan atau gambaran kenyataan yang tepat. Salah seorang penulis yang mencetuskan gerakan ini ialah Alain Robbe-Grillet dalam tulisannya For A New Novel yang menjelaskan bahawa tujuan novel baharu ini adalah untuk �meninggalkan bentuk lama novel�. Penulis lain yang turut menyumbang kepada gerakan ini ialah Michel Butor, Claude Maurice, marguerite Dumas, Nathalie Sarraute dan sebagainya. Contoh dalam sastera Melayu ialah novel Burok oleh Rahman Shaari. Istilah nouveau roman berasal daripada bahasa Perancis yang bermaksud �novel baharu�. Lihat juga antinovel, avant-garde, metafiksyen. |
Marxist criticism | kritikan Marxis | Kesusasteraan | Tiada | Kaedah kritikan yang menganggap sastera sebagai suatu idiologi yang mencerminkan pergelutan kelas sosioekonomi masyarakat. Kaedah kritikan ini berteraskan teori Marxis yang diasaskan oleh Karl Marx dan Friedrich Engels. Mengikut teori Marxis, sejarah manusia termasuklah institusi, cara pemikiran dan hubungan manusia dipengaruhi sepenuhnya oleh sistem ekonomi yang diamalkan termasuk kaedah pengeluaran. Kaedah pengeluaran mempengaruhi hubungan kuasa dan menimbulkan konflik antara kelas dalam masyarakat. Kritikan Marxis membincangkan pertalian antara karya dengan elemen yang mempengaruhi penulisannya seperti kelas, idiologi dan ekonomi. Kritikan Marxis mementingkan paparan kehidupan yang realisitik terutamanaya mengenai isu keterasingan manusia dan konflik antara kelas dalam sistem kapitalis. Kritikan ini juga mempertikaikan tulisan yang memperakukan nilai borjuis, iaitu nilai material dalam sistem kapitalis. Pendekatan Marxis memanfaatkan kaedah realisme sosial yang berfungsi untuk menjelaskan gambaran realiti yang sebenar menurut fahaman Marxis. Antara pengkritik teori ini ialah Georg Lukacs, Pierre Macherey, Terry Eagleton dan Fredric Jameson. Lihat juga kritikan sastera, realisme sosial. |