majority government | kerajaan majoriti | Sains Politik | Politik Perbandingan | Kerajaan yang mendapat kepercayaan dan sokongan rakyat untuk menjalankan pemerintahan di sesebuah negara setelah mendapat kemenangan yang besar dalam pilihan raya. Kerajaan akan diwakili oleh pemimpin yang terdiri daripada parti yang mendapat sokongan terbanyak masyarakat dan parlimen untuk menerajui pemerintahan. Kerajaan ini biasanya mempunyai pemimpin popular yang mendapat undi terbanyak dalam pilihan raya. Contohnya, Parti Tindakan Rakyat (PAP) merupakan kerajaan majoriti Singapura yang memerintah negara itu sejak merdeka. |
majority leader | pemimpin majoriti | Sains Politik | Politik Perbandingan | Pemimpin dari parti politik yang mendapat undi terbanyak dalam pilihan raya. Pemimpin ini mempunyai sifat yang berwibawa dan berkarisma untuk menjadi seorang pemimpin yang unggul. Pemimpin majoriti merupakan pemimpin yang mendapat sokongan rakyat dan ahli parlimen untuk menerajui pemerintahan negara. Contohnya, Dr. Mahathir Mohamad pemimpin majoriti yang mendapat sokongan besar pengundi kawasan dan ahli parlimen. |
second ballot system | sistem undi kedua | Sains Politik | Politik Perbandingan | Sistem pilihan raya yang diadakan sehingga dua pusingan bagi memastikan calon yang menang merupakan calon yang mendapat majoriti undi yang banyak. Dalam sistem ini, sekiranya seorang calon mendapat undi yang paling tinggi majoritinya akan diisytihar sebagai pemenang. Walau bagaimanapun, sekiranya tidak ada pemenang yang memperoleh majoriti yang ditetapkan maka dua calon tertinggi undinya akan bertanding dalam pusingan kedua. Calon yang mendapat undi yang tertinggi dalam pusingan ini akan dipilih sebagai pemenang. Contohnya, Indonesia merupakan salah sebuah negara mengamalkan sistem undi kedua. Dalam pilihan raya Presiden Indonesia 2004 menyaksikan persaingan antara Megawati Sukarnoputri dengan Susilo Bambang Yudhiyono yang telah dipilih untuk meneruskan pilihan raya dalam pusingan kedua dan akhirnya dimenangi oleh Susilo. |
alternative vote | undi alternatif | Sains Politik | Politik Perbandingan | Kaedah pemilihan yang dilakukan untuk memilih calon yang mendapat undi majoriti. Kaedah ini dipraktikkan dengan mengarahkan pengundi menyenaraikan calon berasaskan kepada susunan kedudukan tertinggi dan terendah. Calon yang paling banyak mendapat kedudukan tertinggi akan diisytiharkan sebagai pemenang. Kaedah ini diamalkan dalam parlimen Australia, pilihan raya umum Perancis dan pemilihan kepimpinan Parti Buruh Great Britain. Sinonim sistem pengundian alternatif. |
preferential voting | pengundian keutamaan | Sains Politik | Politik Perbandingan | Sistem pengundian yang memerlukan satu wakil dari satu kawasan tetapi memberi peluang kepada pemilih menyenarai calon yang disukai menurut keutamaan pengundi berdasarkan nombor 1, 2, 3 dan seterusnya. Calon pertama yang mendapat undi tertinggi melepasi 50%+1 undi akan dianggap pemenang dan akan dipilih menjadi wakil rakyat. Walau bagaimanapun sekiranya tiada calon yang mendapat majoriti sedemikian maka calon yang mendapat undi yang tercorot akan terkeluar daripada pemilihan dan kertas undi beliau akan disemak dan seterusnya calon yang menjadi pilihan kedua dari kertas ini akan mendapat undi tersebut. Daripada pengumpulan undi ini, calon yang melepasi majoriti seperti di atas yang akan menang. Proses tersebut akan berulang sehingga pemenang diperoleh. Sebagai contoh, Australia mengamalkan sistem pengundian keutamaan ini dalam pilihan raya mereka. |
quasi-sovereign unit | unit separa berdaulat | Sains Politik | Politik Perbandingan | Kawasan atau badan yang belum sepenuhnya berdaulat kerana masih tidak mendapat persetujuan antarabangsa untuk mengiktirafnya sebagai satu badan atau wilayah yang sah. Wilayah yang sedang berjuang seperti Taiwan, Chehnya dan Catalina (berdekatan Kanada) dianggap sebagai separa berdaulat. Mereka ini masih belum mendapat pengiktirafan antarabangsa seperti PBB dan juga dari pemerintah pusat yang mendominasinya. |
simple majority voting system | sistem pengundian lebih suara | Sains Politik | Politik Perbandingan | Sistem pengundian yang hanya memerlukan majoriti kecil untuk menentukan kemenangan. Dalam sistem ini, calon yang mendapat majoriti walaupun lebih satu undi akan diisytiharkan sebagai pemenang. Majoriti di sini bermaksud calon tidak semestinya perlu mendapat lebih daripada 50 peratus undi, tetapi undi terbanyak dalam maksud ini melebihi undi yang diperoleh oleh calon-calon lain. Sistem ini pada umumnya diamalkan di negara tanah jajahan British seperti Fiji, India, Malaysia, Nigeria dan Singapura. Dalam sistem ini, negara dibahagikan kepada kawasan pilihan raya dan setiap kawasan akan memilih seorang wakil. Kawasan pilihan raya itu dikenali sebagai ridings di Kanada, district di Amerika Syarikat dan constituencies di Great Britain. |
insurgent | pemberontak | Sains Politik | Politik Perbandingan | Individu atau kelompok yang melancarkan penentangan secara kekerasan dan di luar batas undang-undang terhadap autoriti atau kerajaan yang sah. Tindakan ini biasanya mendapat sokongan daripada kelompok lain yang berkongsi kepentingan atau sentimen yang sama. Tindakan ini dilakukan untuk mendapat kuasa politik atau kerana sesuatu ideologi, faktor perkauman atau sokongan daripada kuasa luar. Secara tidak langsung, pemberontakan ini boleh membahayakan kedudukan pemerintah, keselamatan awam dan negara. Contohnya, kumpulan Abu Sayaf yang bergerak di Selatan Filipina yang sering melakukan penculikan dan pembunuhan. |
proportional representation | perwakilan berkadar | Sains Politik | Politik Perbandingan | Sistem pilihan raya yang berasaskan nisbah penduduk dengan wakil rakyat untuk memastikan setiap kelompok memiliki wakil rakyat di dewan perundangan. Melalui sistem ini, pembahagian kawasan berasaskan jumlah penduduk iaitu penduduk yang ramai akan mendapat lebih ramai wakil manakala yang lebih kecil mendapat wakil yang kurang. Sistem ini mempunyai dua bentuk amalan yang utama iaitu sistem Hare dan List. Dalam sistem ini, pengundi diberikan senarai calon yang bertanding dan mereka diminta memilih beberapa bilangan calon yang ditetapkan, seperti tiga sahaja atau lima sahaja. Sementara itu, satu jumlah purata yang munasabah telah ditetapkan oleh suruhanjaya pilihan raya dan calon yang mengatasi bilangan ini dianggap menang. Walau bagaimanapun, calon yang mendapat jumlah undi yang besar mengatasi jumlah purata boleh memindahkan lebihan undi kepada calon lain dari parti yang sama. Sistem ini berbeza dengan sistem majoriti mudah apabila lebihan undi majoriti tidak boleh dipindahkan. Sinonim sistem berkadar. |
preferential system | sistem keutamaan | Sains Politik | Politik Perbandingan | Sistem perdagangan antarabangsa yang memberi kelonggaran cukai kepada beberapa negara tertentu yang mendapat keutamaan kerana menganggotai satu pertubuhan yang sama atau memiliki latar belakang yang sama dan sebagainya. Persetujuan ini diterima secara bersama untuk kebaikan ahli. Walaupun begitu, apabila mereka berurusan dengan negara lain di luar komuniti tersebut mereka akan dikenakan cukai yang berlainan kadarnya. Contohnya, anggota Kesatuan Eropah (EU) mendapat sistem keutamaan percukaian dalam perdagangan antara negara tersebut. |